Ada isteri terpaksa berlakon di hadapan orang tua kerana tidak mahu anak-anak dan keluarga tahu masalah yang mereka hadapi.

Isteri boleh berubah dan memaafkan tetapi suami pula ambil kesempatan. Sakitkan hati isteri, lepas tanggungjawab kerana asyik leka dengan wanita idaman.

Ini kisah yang ingin saya kongsi dengan pembaca minggu ini. Kisah kiriman Intan (bukan nama sebenar) mengenai rumah tangganya yang bergoyang kerana orang ketiga.

Begini cerita Intan.

“Saya suri rumah sepenuh masa, berusia lewat 30-an, mempunyai tiga orang anak hasil perkahwinan dengan seorang lelaki yang saya kenali sejak di sekolah menengah.

“Usia perkahwinan kami sudah 12 tahun. Suami seorang ahli perniagaan yang agak berjaya. Saya akui kehidupan saya dan anak-anak agak mewah, apa yang saya mahu, semua dapat.

“Tapi biasalah orang lelaki, apabila senang sikit, harta pun dah ada, langkahnya makin panjang. Rumah mula jadi tempat persinggahan. Semua urusan diletakkan di bahu kita. Alasan tidak ada masa kerana sibuk.

“Dalam sesetengah keadaan, sebagai isteri kita faham. Kerja lebih masa, balik lewat dan selalu out station menjadi mainan hidup orang berniaga. Tapi kalau mula jadi penipu dan asyik hilang berhari-hari pula, macam mana?

“Saya tidak mahu menuduh, jauh sekali nak buat fitnah, apatah lagi suami sendiri. Tapi orang keliling bercakap, saudara mara selalu jumpa dan kawan-kawan pula, ramai yang kaki jaga ‘tepi kain’ saya. Mahu tidak mahu, saya harus terima hakikat yang suami ada perempuan lain.

“Saya bertanya dengan elok, dibalas dengan kata kesat. Ungkit apa yang dia sudah bagi kepada saya, duit ringgit, kereta dan barang kemas. Pada hal. saya tidak minta itu semua, saya hanya mahu kasih sayang dan tanggungjawabnya sebagai suami dan bapa.

“Masa tengah baik, semua indah, tapi bila sudah beralih kasih, apa kita buat, semua tidak kena. Perkara kecil boleh jadi besar. Mengamuk sahaja, keluar rumah.

“Akhirnya saya dapat tahu, dia ada perempuan lain. Mereka tinggal serumah tanpa nikah. Dah tiga tahun. Sebab perempuan itu bukan prempuan baik, dia tidak mahu nikah. Nak seronok dan hanya hendak mengikis duit suami saya sahaja.

“Tetapi lelaki yang tidak sedar diri ini pula, bukan main baik budi lagi, layan dia macam permaisuri. Yang di rumah dibiarkan makan hati. Semua urusan anak, saya yang uruskan, hantar ke sekolah, pergi mengaji dan lain-lain.

“Memang saya penat. Malang bagi saya kerana mentua pula tinggal di kawasan yang sama. Dia jadi spy untuk bagi maklumat kepada suami. Cukup waktu, saya mesti balik rumah kalau hantar anak ke mana-mana. Tidak boleh lewat, sampailah khabar kepada suami. Akhirnya, saya akan dimarahi dan diberi amaran.

“Saya dikurung, dikawal dari keluar rumah sesuka hati. Dia pula senang lenang berkepit dengan kekasih gelapnya, ke mana sahaja. Langsung tak hormat keluarga saya yang selalu terserempak dengan mereka.

“Saya malu dengan keluarga dan kawan-kawan sebab selama ini sentiasa menjaga maruah suami. Saya tidak mahu dia dikecam. Tapi kalau dia sendiri yang cari nahas, saya tidak mahu lagi bersubahat.

“Saya sudah bagi amaran akan buat laporan ke pejabat agama jika dia terus bersama kekasihnya itu. Dia ugut saya kalau berani buat laporan, dia akan jatuhkan talak kepada saya. Sekarang saya tidak kisah lagi tentang rumah tangga kami, saya mahu bebas dari semua masalah ini.

“Buat apa hendak hidup dengan orang yang tidak menghargai diri kita lagi. Saya letih memikirkan masa depan kami yang semakin rapuh dan reda dengan segala kemungkinan yang akan berlaku. Saya sudah bersedia dengan apa juga keputusan yang suami akan buat.

“Buat-buat tidak nampak, saya tidak mahu tanggung dosa dia. Saya tidak mahu bersubahat dengan perbuatannya. Kalau saya tidak bertindak, sampai bila pun dia dan perempuan itu akan hidup dalam maksiat.

“Saya pun pelik, mak dia sibuk menjaga pergerakan saya, tetapi anak dia yang buat maksiat, tidak pula dia ambil peduli. Buat-buat tidak nampak. Macam tidak ada apa berlaku, sedangkan anaknya itu bersekedudukan dengan anak orang tanpa nikah.

“Saya sudah nekad. Saya akan beritahu ibu bapa saya perkara sebenar dan minta mereka bertindak. Kalau mak dan keluarganya tidak boleh tegur, biar undang-undang yang selesaikan.

“Saya berdoa kepada Allah supaya urusan saya ini dipermudahkan. Bukan saya hendak membalas dendam tetapi saya mahukan kebenaran. Yang penting, saya tidak bersekongkol dengan mereka.

“Selepas ini, saya ada jalan saya sendiri. Moga Allah tunjukkan jalan yang Dia reda dan rahmati saya dan anak-anak di dunia dan akhirat. Saya harus tentukan kebahagiaan saya sendiri. Masa depan saya yang utama sekarang. Soal jodoh, biar Allah tentukan. Yang penting, hati saya sudah tawar untuk terus hidup bersamanya,” ujar Intan menamatkan ceritanya.

Terima kasih Intan, sudi berkongsi kisah rumah tangga anda dengan pembaca. Kadang kala kita cuba menjaga aib suami tetapi andai ia mengguris hati dan perasaan, kita perlu bertindak supaya tidak selamanya dipermainkan.

Saya mengharapkan Intan bersabar dengan masalah yang dihadapinya. Keputusan untuk melaporkan hal itu kepada pihak berkuasa adalah bijak. Biar mereka yang uruskan kes ini.

Moga suami Intan akan berubah sebelum terlambat. Perkara tidak baik, lambat laun akan terbongkar juga.

Pesanan saya sebelum menamatkan catatan, setiap mata yang tertutup belum bererti tidur. Setiap mata yang terbuka belum bererti ia melihat. Guna mata hati, bukan butakan hati.

Salam.