Menyedihkan sekali kerana tidak banyak yang mampu dikongsi empunya diri ketika ini. Malah ketika saya cuba bertanya pengalaman lalunya dalam bidang muzik, Datuk Ooi Eow Jin hanya mampu memberikan jawapan tidak konsisten.

Saya sendiri sebenarnya juga sudah bersedia dengan keadaan ini. Malah beberapa hari sebelum melangkah ke rumah Ooi yang kini berusia 77 tahun saya yakin tidak banyak yang dapat dikongsi oleh pemuzik tersohor ini dengan pembaca. Alzheimer merampas segala-galanya daripada empunya diri, selain turut mengalami masalah pendengaran serius.

Melihat keadaan terkini Ooi, ingatan terhadap keadaan Tan Sri Jins Shamsuddin kembali menerpa ke dalam ingatan. Turut menghidap penyakit yang sama, ternyata memori dua anak seni hebat ini semakin hilang tanpa mampu diraih kembali.

Tidak banyak beza sebenarnya kehidupan Ooi dan Jins. Berada dalam dunia sendiri, aturan kehidupan mereka kini banyak bergantung kepada insan bernama isteri.

Jika cinta Jins bersama Puan Sri Halijah Abdullah, manakala Ooi pula bersama bidadarinya, Datin Khaw Lean Kee.

Khaw yang menginjak usia 75 tahun, pada mulanya memang tidak bersedia untuk berkongsi apa-apa mengenai kehidupan terkini dia dengan suami.

Selain tidak fasih berbahasa Melayu dan Inggeris, sikap malu Khaw juga menyebabkan saya terpaksa meyakinkan dia kenapa perlu menjadi ‘subjek’ dalam pertemuan ini.

Beberapa kali berseloroh dengan jenaka tersendiri, ada kalanya saya dapat merasa ada yang tidak kena, kerana ada air matanya yang turut mengalir, berkali-kali.

“Tidak mudah sebenarnya kehidupan saya ketika ini, tetapi kami masih ada tuhan. Ini memberi kekuatan untuk kami terus hidup.

“Kehidupan suami saya tidak ubah seperti kanak-kanak. Adakalanya saya sering dimarah tanpa sebab. Sampai jiran juga ada menegur, katanya suara suami saya seperti orang sihat sebab terlalu kuat,” katanya yang pada firasat saya cuba menutup perasaan sedih yang hadir, tiba-tiba.

Pernah berhadapan dengan keadaan genting apabila Ooi tiba-tiba sahaja hilang daripada penjagaannya, sang isteri tidak mahu sekali lagi peristiwa itu berulang. Ketika itu Ooi keluar bersendirian menaiki Transit Aliran Ringan (LRT) dan terlupa stesen yang sepatutnya dia turun.

“Sangat risau ketika itu, saya tahu dengan keadaan dia yang sudah tidak ingat, apa sahaja boleh berlaku. Beberapa jam dia tidak dijumpai. Mujur ada yang membantu mencarinya, sebab itu kalau mahu ke mana-mana, saya akan membawanya menaiki kereta sahaja,” katanya sambil menunjukkan kereta Proton Saga ‘antik’ yang masih gagah di luar rumahnya itu.

Kehidupan mereka kini bergantung kepada bantuan orang awam dan badan kebajikan memandangkan Khaw tidak lagi boleh keluar bekerja. Selain kerana batas usia, keadaan suami yang tidak mampu menguruskan diri sendiri menyebabkan Khaw perlu berada di sisi Ooi sepanjang masa.

Lalu bagaimana mereka mahu meneruskan hidup? Sedangkan sama seperti orang lain, keluarganya memerlukan wang bukan sahaja untuk menampung kos untuk hidup tetapi juga kos sewa rumah yang mereka duduki kini.

“Sekurang-kurangnya saya memerlukan RM3,000 sebulan untuk menampung kehidupan kami sekeluarga. Saat ini memang saya seorang sahaja yang terpaksa menguruskan hal perbelanjaan rumah dan sebagainya. Selain bayaran untuk rumah, perbelanjaan juga termasuk kos perubatan kami sekeluarga.

“Mujur saya mempunyai keluarga dan orang ramai yang tidak serik membantu. Sebenarnya memang saya tidak mampu bekerja lagi. Dengan keadaan suami begini saya perlu berada di sisi dia sepanjang masa,” katanya.

Mahu beli piano terpakai​

Hati isteri mana yang sanggup melihat suaminya dalam keadaan begini, sementelah berdekad tinggal bersama telah mencipta sekalian banyak memori indah. Suatu hari nanti, apa yang paling ditakuti, dia akan dilupai sang suami. Enggan terlalu memikirkan dengan keadaan itu. kata Datin Khaw Lean Kee,

masih dia ingat lagi bagaimana keadaan suaminya ketika mula-mula diserang Alzheimer.

“Sewaktu saya sedar keadaan ini, keadaannya sudah agak berbeza. Mula-mula dia sering memarahi saya. Ada saja hal yang membuatkan dia marah. Malah banyak yang dia sudah lupa juga,” berita Khaw.

Ketika awal diserang penyakit itu, Ooi juga sangat suka membela kucing. Malah ketika kucing kesayangan mati, dia mengalami kemurungan. Setiap hari dia akan melawat tapak di mana bangkai kucing itu ditanam dan dari situ Khaw mengetahui ada sesuatu yang tidak kena tentang suaminya.

Sebagai isteri, Khaw tidak menolak memahami setiap apa yang berlaku dalam diri suaminya. Walaupun suaminya kini tidak sihat seperti dahulu, rasa kasih dan cinta terhadap lelaki ini kekal dan utuh. Setiap hari cinta mereka semakin subur dalam keadaan ketua keluarga itu semakin mengecil fizikalnya.

“Dia masih mempunyai adik-beradik yang lain, tetapi masing-masing juga sudah mempunyai keluarga. Jadi hanya saya sahaja kini yang bertanggungjawab ke atas dia. Bagi saya dia seorang yang baik dan kuat bekerja ketika dia sihat dahulu. Pernah saya minta dia mainkan sebuah lagu kepada saya, tetapi dengan nada melawak dia cakap janganlah cuba mendera dia di rumah, selepas penat bekerja di luar.

“Memang sepatutnya ada sebuah piano di rumah ini, tetapi saya jual atas permintaan dia juga. Kini selepas melihat keadaannya, saya fikir mungkin tidak salah sekiranya saya dapat membeli sebuah piano terpakai buat dia. Meskipun dia tidak meminta, tetapi saya anggap ini adalah suatu cara untuk dia mengurangkan penderitaan yang dialami. Biarlah dia dengan dunia yang dicintainya,” kata Khaw.

Pernah diangkat sebagai antara pemuzik terbaik, ada yang bertanya apa yang berlaku kepada Ooi sehingga menyebabkan keluarganya melarat kini.

Menurut Khaw, kebanyakan duit dihabiskan untuk mengubati penyakit dua anak mereka. Malah sehingga kini juga mereka masih menyewa rumah disebabkan kegagalan Ooi untuk mendapatkan sebuah rumah milik sendiri, ketika dia masih sihat.

“Saya tidak tahu berapa yang dihabiskan suami untuk mengubati dua anak kami. Tetapi memang dia seorang yang penyayang dan saya sangat bersyukur punya suami seperti dia.

“Cuma apa yang merunsingkan saya kini adalah masa depan kami sekeluarga. Bayangkan suatu hari nanti jika saya sudah tidak mampu membayar rumah ini entah di mana kami akan tinggal? Ketika suami saya masih sihat dia tidak terlalu memikirkan soal beli rumah. Namun selepas dia tidak sihat, saya fikir lebih elok sekiranya kami ada rumah sendiri,” katanya.

Masih minat muzik

Kalau ada yang masih ingat, nama Ooi Eow Jin cukup sinonim dengan banyak rancangan hiburan di negara ini. Selain merupakan komposer, khidmat Ooi juga sering digunakan stesen televisyen tempatan sebagai juri pertandingan nyanyian. Selepas bersama RTM, Ooi bertukar angin menjadi pengarah muzik di TV3 selama 13 tahun. Selepas itu Ooi sempat bergelar pensyarah di beberapa buah universiti tempatan. Memilih untuk terus bermain piano, Ooi diterima bekerja di sebuah hotel selama beberapa tahun sebelum terpaksa bersara kerana penyakit Alzheimer.

Walaupun kesihatannya semakin merosot kini, saya percaya ada kesan muzik yang masih tersimpan rapi dalam rutin hidupnya. Malah ketika bertanya mengapa muzik sentiasa menjadi cinta agungnya, dalam terketar-ketar, Ooi menjawab juga.

“Saya memulakan karier bersama RTM pada awal tahun 1960-an, ketika itu ramai yang mencuba nasib tetapi saya terpilih. Saya tidak tahu mengapa saya terpilih mungkin kerana saya kacak.

“Sehingga kini bila ada yang bertanya mengapa saya memilih muzik sebagai karier, jawapannya mudah kerana saya minat,”katanya dalam ketawa, cuba berseloroh.

Pernah berkhidmat selama 17 tahun bersama RTM sebelum ini, sepanjang kariernya dia pernah menyiapkan lagu-lagu buat penyanyi terkenal antaranya Datin Rafeah Buang, Datuk Dahlan Zainuddin, Allycats dan ramai lagi. Cuba mengingati kembali ketika zaman itu, katanya, tidak ramai komposer yang diberi peluang, dan ini berbeza dari sekarang.

“Kalau dahulu komposer tidak ramai, hanya ada sedikit. Setiap komposer mesti fasih mengenai lagu sendiri. Tetapi kini sudah banyak komposer, dan peluang juga sudah banyak,”katanya, dalam bahasa yang tersekat-sekat dan memerlukan daya tumpu yang cukup tinggi untuk kita memahami.