Pun begitu, bukan bermakna hidup berakhir. Hidup mesti diteruskan. Dalam apa juga keadaan kena tabah, reda dan berserah kepada Allah untuk kehidupan seterusnya.

“Mungkin bukan jodoh kami, dia tinggalkan saya dengan anak kecil ini dalam keadaan terumbang-ambing, sedang dia kini bahagia dengan keluarga baharunya,” demikian kata-kata yang terbit dari bibir Endah (bukan nama sebenar) ketika saya temui dia sewaktu memberi makan gelandangan.

Sedih mendengar kisahnya tetapi wanita ini tabah membesarkan anaknya walaupun dalam kekurangan. Kita ikuti kisah Endah. Baik dijadikan teladan. Iktibar untuk wanita, jangan sembarangan menerima cinta lelaki.

Ini kisahnya.

“Saya berusia 30 tahun, pernah berkahwin dengan seorang lelaki yang mencintai saya dikenali sebagai Aman (bukan nama sebenar) tiga tahun lalu. Dia mempunyai pekerjaan tetap walaupun hanya sebagai penghantar surat. Walaupun bukan kerja berjawatan tinggi, cukup untuk kami hidup bahagia seandainya dia bijak menguruskan rumah tangga kami.

“Kami berkenalan secara tidak sengaja. Saya bekerja di sebuah restoran berdekatan pejabatnya. Bukan puji diri tetapi saya ada rupa sikit. Memang menjadi perhatian pelanggan yang singgah minum. Dia jatuh cinta dengan saya. Siang malam dia bertunggu tangga di restoran tempat saya bekerja.

“Akhirnya saya juga jatuh cinta kepadanya. Dia ajak saya kahwin. Saya setuju, maklumlah masa itu umur muda, tidak fikir panjang, ingat nak seronok sahaja. Kami bernikah di sempadan dengan bantuan seorang kawan. Mak ayah saya tidak tahu, begitu juga keluarga suami.

“Setelah kahwin saya terputus hubungan dengan keluarga. Takut dan malu nak balik. Kalau ayah tahu saya bernikah tanpa dia walikan, mati saya dikerjakannya.

Saya juga takut untuk bertemu keluarga mentua, malah sejak kahwin kami tidak pernah balik dan saya juga tidak kenal mertua saya.

“Hubungan saya dengan suami sangat baik di awal perkahwinan kami. Dia sangat penyayang dan mengambil berat. Saya terus bekerja walaupun gaji kecil sebab nak bantu suami.

“Kami menyewa bilik di kawasan Kampung Baru. Tinggal beramai-ramai di dalam sebuah rumah. Memang tidak selesa tetapi saya gagah juga sebab kami tidak mampu menyewa sebuah rumah.

“Enam bulan kemudian saya mengandung. Bayangkan dengan perut memboyot saya terpaksa berjalan kaki setiap hari ke tempat kerja. Akhirnya saya buat keputusan berhenti kerja.

“Duduk di dalam bilik setiap hari bosan juga. Menunggu suami balik juga satu penyeksaan. Mahu tidak mahu saya kena sabar. Sepanjang mengandung saya nampak perubahan pada diri Aman. Balik kerja lewat, kadang-kadang tidak balik. Hujung minggu juga tidak lekat di rumah.

“Saya syak dia ada perempuan lain. Firasat saya betul. Dia ada perempuan lain, lebih cantik 
dan bergaya dari saya. Perempuan itu kerja pejabat. Saya tanya dia, dia mengaku bercinta dengan wanita itu. Saya tidak terkejut sebab saya tahu, orang lelaki kalau 
sudah jatuh cinta dengan perempuan, memang tidak 
boleh dilarang.

“Perangai suami semakin teruk. Dia langsung tidak peduli saya. Makan minum saya semuanya saya usaha sendiri. Mujur majikan saya di restoran itu berhati perut, dia ambil saya bekerja semula. Jika tidak, saya dan bayi dalam kandungan tidak makan kerana suami tidak balik.

“Dengan gaji yang ada dapatlah saya mengisi perut dan membuat persiapan untuk bayi yang bakal lahir. Suami langsung tidak balik. Khabarnya dia sudah bernikah dengan perempuan itu.

“Buat majlis besar-besaran di kampungnya. Saya menangis mengenangkan apa yang suami buat kepada saya. Tapi saya reda. Mungkin ini balasan Allah kepada saya kerana membelakangkan ibu bapa semasa bernikah dahulu.

“Saya selamat bersalin 
ketika suami sedang berbulan madu. Kawan-kawan yang 
sama bekerja di restoran yang 
prihatin menghantar saya ke hospital. Mereka menjaga 
saya semasa di dalam pantang. Saya dibawa tinggal bersama mereka. Alhamdulillah. Saya tidak peduli lagi tentang suami.

“Anak saya daftar berbintikan Abdullah sebab surat nikah tidak ada. Suami tidak daftarkan pernikahan kami di Malaysia. Saya akan berusaha sampai dapat.

Saya akan cari kerja halal untuk menampung hidup saya dan bayi saya ini. Susah macam mana sekalipun saya akan berusaha. Saya juga nak balik kampung jumpa mak ayah, 
minta maaf dengan meeka. Semoga Allah makbulkan doa saya.

“Kepada suami, pesanan saya, di dunia mungkin awak terlepas, tetapi jawablah di akhirat nanti. Hubungan kita masih ada. Awak seksa saya dan anak kita, tetapi awak tidak tahu, awak melepaskan tanggungjawab yang sangat besar dan amanah Allah. Semoga awak sedar tanggungjawab awak itu,’’ kata Endah menamatkan ceritanya.

Sedih dan hiba saya mendengar cerita Endah. Kasihan ibu muda ini. Tiga tahun sudah berlalu, suaminya entah di mana. Anak makin membesar.

Semoga Allah rahmati kedua beranak ini serta lindungi mereka.

Pesanan saya sebelum mengundur diri, setiap masalah ada jalan penyelesaiannya. Berdoa, berusaha dan tawakal, insya-Allah ada bahagia yang menanti.

Salam