Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Sajian udang galah Pasir Penambang

Seorang pelanggan menunjukkan menu nasi goreng udang galah. 2
Seorang pelanggan menunjukkan menu nasi goreng udang galah.

Andainya anda memang seorang ‘kaki makan’ sudah tentu tidak kisah sekiranya perlu menempuh perjalanan hampir sejam dari ibu negara demi menikmati hidangan yang diinginkan.

Bersama jurugambar Zakaria Idris, dan pemandu, Amirul Mujib, kami ke Kuala Selangor, mencari lubuk hidangan ‘udang galah’ yang terkenal di Pasir Penambang, khususnya bagi pencinta hidangan itu di seluruh negara.

Uniknya, udang galah ini bukan dipelihara di dalam kolam atau dihantar oleh penternak udang, tetapi dikail menggunakan joran (pancing) atau dijala sendiri oleh penangkap udang dari sungai yang mengalir tenang, sebelum ditimbang dan dibeli oleh pemilik restoran ini.

Udang-udang hidup yang segar ini kemudian ditawar harganya oleh pengunjung restoran yang sedia menanti, sebelum dimasak mengikut cita rasa mereka.

Warong Udang Galah, di 3E, 489, Kampung Baru Pasir Penambang, Kuala Selangor, terletak berhampiran jeti Pasir Penambang betul-betul bersebelahan Sungai Kuala Selangor, memang sentiasa menjadi tumpuan mereka yang mahu menikmati pelbagai cita rasa udang galah.

Pengusaha warung berkenaan, Zalina Samui, 43, bersama suami, Rohaime Idris, 46, telah mengusahakan restoran kecil berkenaan sejak 10 tahun lalu dan restorannya itu akan dipenuhi peminat udang galah bermula hari Jumaat, Sabtu dan Ahad.

“Restoran ini beroperasi dari pukul 11 pagi hingga 11 malam dan tutup pada hari Isnin. Kami menyediakan pelbagai masakan udang galah. Sebut apa sahaja yang dimahukan, semuanya boleh dimasak.

“Antaranya udang galah masak padprik, udang galah masak tom yam, gulai lemak cili api, asam pedas, goreng berempah, udang galah masak tumis, udang galah tumis air, udang galah masak merah dan macam-macam lagi.

“Selain itu kita juga sediakan nasi goreng udang galah, mi bandung udang galah, udang galah masak kilo untuk sekeluarga makan.

“Selain udang galah, kami juga menyediakan hidangan goreng lain seperti tom yam, sayur campur, nasi goreng dan mi goreng. Pendek kata, apabila ada pelanggan yang datang selain menikmati udang galah, mereka juga boleh makan sajian Thai lain,” katanya.

Menurut Zalina, peminat udang galah akan menanti ketika air sungai berada dalam keadaan pasang, iaitu pada waktu tengah hari, bagi pengail mendapatkan banyak udang dan pada waktu malam dengan menjala.

Apa yang menjadi cabaran kepadanya apabila berhadapan dengan masalah kekurangan udang galah.

“Udang galah yang ditangkap dari sungai berbeza rasa dengan udang ternak kerana lebih manis dan sedap dimasak dengan apa cara sekalipun. Lagipun, udang ini baru sahaja dinaikkan ke darat menyebabkan rasa sangat segar dan enak,” jelasnya.

Setiap hidangan yang dipesan pelanggan hanya memerlukan sekitar 10 hingga 15 minit disiapkan berpandukan cara hidangan itu dimasak.

Biarpun dimasak secara sederhana, hidangan yang dimasak sendiri oleh Zalina ini memang sangat sedap ketika dimakan dengan nasi putih, di restoran tepi jeti sambil dibelai angin dari Sungai Kuala Selangor.

Apa yang penting harga yang ditawarkan juga berbaloi, bermula serendah RM4, anda boleh menikmati hidangan nasi goreng di sini.

Kepada mereka yang mahu menikmati hidangan udang galah boleh melayari Facebook Warong Udang Galah.

Artikel Berkaitan
Artikel Lain
Video Pilihan