Sememangnya mempunyai makna yang tersirat, bagaimanapun segala-galanya terungkai apabila anda menikmati setiap juadah yang ditawarkan.

Bukan bertujuan hendak memberikan pujian yang berlebihan, tetapi ternyata setiap juadah di d’Timer Cafe mempunyai cita rasa dan keenakannya yang tersendiri.

Cukup rempah ratusnya, cukup manis dan masinnya, d’Timer Cafe menyediakan pelbagai sajian asli dari selatan tanah air, Johor.

Ingin menampilkan yang asli dari negeri kelahirannya, pemilik kafe tersebut, Azila Abu Kassim memberitahu apa jua hidangan yang ada dihasilkan daripada resipi asli ibu dan bapanya yang masing-masing berasal dari Batu Pahat dan Mersing.

Azila sendiri yang lahir di Batu Pahat, menjelaskan kelainan yang ditampilkan di kafenya sudah pasti semuanya adalah masakan Johor asli.

“Kafe ini merupakan perniagaan keluarga yang diilhamkan oleh ayah dan diusahakan oleh kami adik beradik pada 19 Februari tahun lalu.

“Buat masa sekarang, saya yang mengusahakan secara sepenuh masa, manakala yang lain akan berada di kafe ini setiap hujung minggu.

“Kami sedar apa yang ditampilkan bukanlah sesuatu yang baharu, tetapi sudah pasti kami ingin menjadikan kunjungan orang ramai ke sini satu kenangan manis dengan menikmati sajian asli sebenar dari Johor,” ujarnya ketika ditemui di premis perniagaannya di No. 11, Jalan Maju Ria 2, Blok B, Plaza Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Tampil dengan sajian terkenal Johor antaranya laksa Johor, mi rebus, mi kari, lontong darat, kacang pool, soto ayam, dan nasi ambeng ayam kicap, Azila berkata, kesemuanya hanya akan disediakan segar dan panas sebaik tempahan diterima.

Dalam usaha menjaga kualiti masakan di kafe tersebut, Azila berkata, pihaknya mengambil inisiatif menghasilkan pes bagi setiap jenis masakan yang berkuah.

Pes tersebut menurut ibu kepada dua cahaya mata ini lagi sememangnya 100 peratus dihasilkan oleh ibunya, Zaleha Mohd. Yusoff.

Pes itu kemudiannya akan dibawa ke kafe sebelum dimasak sepenuhnya oleh tukang masak dan dihidangkan kepada pengunjung.

Pastinya menggunakan bahan-bahan segar dan berkualiti, d’Timer Cafe boleh memuatkan seramai 44 pengunjung pada satu-satu masa.

Beroperasi setiap hari dari pukul 10 pagi hingga 10 malam, menu yang ditawarkan bermula pada harga RM1.20 hingga RM15.90.

Selain menawarkan sajian ‘berat’, Azila juga menyediakan sajian untuk minum petang seperti roti bakar, roti jala bersama kari ayam, dan karipap.

Berbicara pula mengenai karipap, Azila menyatakan setiap hari kuih tersebut hanya akan dibuat sekitar 20 keping mengikut kemampuan ibunya.

Yang pasti, karipap berbentuk empat segi berintikan telur dan bawang ini sentiasa dinanti-nantikan pelanggan.

Sudah pasti ‘pasangan’ untuk sajian minum petang ini adalah kopi dan untuk itu pengunjung boleh membuat pilihan salah satu daripada 10 jenis kopi.

Dengan pilihan sebanyak 14 jenis masakan dan 29 jenis minuman, kunjungan ke kafe tersebut pasti tidak mengecewakan. - Gambar Zakaria Idris