Pada awalnya, anak kecil itu hanya ditempatkan di wad biasa, namun semakin hari kesihatannya semakin merosot menyebabkan kedua-dua ibu bapanya, Mohamad Sayuti Wan Chik dan Noorlailina Moha Mohtar mencari ikhtiar lain untuk mendapatkan rawatan di hospital swasta.

Namun, kos yang tinggi iaitu sekitar RM35,000 hingga RM40,000 menyebabkan bapanya yang lebih mesra dengan panggilan Sayuti, buntu untuk mencari wang dan memuat naik perkara tersebut di laman Facebook.

Rakan-rakannya cuba membantu dengan melancarkan kempen mengutip dana untuk rawatan Muhammad Uwais dan kempen tersebut tular di media sosial.

Dalam masa seminggu sahaja dana yang diperlukan berjaya dikumpulkan dan akhirnya Muhammad Uwais boleh menjalani rawatan yang diperlukan.

Dalam tempoh tersebut, Sayuti sentiasa memaklumkan perkembangan kesihatan anaknya di Facebook kerana memikirkan anaknya mendapat rawatan hasil dana awam. Jadi, wajarlah dia berkongsi tentang anaknya supaya orang ramai sedia maklum ke mana perginya wang yang disumbangkan.

Namun, Allah adalah sebaik-baik perancang, Muhammad Uwais dijemput Ilahi selepas 37 hari dilahirkan. Sayuti dan isterinya reda dengan pemergian anak kesayangan mereka itu.

Pengalaman menyaksikan anak kandung sendiri menderita penyakit tersebut membuka hati kedua-dua pasangan suami isteri ini untuk membantu bayi-bayi lain yang senasib dengan arwah anaknya.

“Selepas kematian Uwais (panggilan untuk anaknya), saya dermakan lebihan wang yang disumbangkan untuk kegunaan anak-anak lain yang memerlukan dana perubatan melalui perkongsian kisah-kisah tular di Facebook.

“Dalam masa yang sama saya dan isteri sentiasa mendapat sokongan dan kata-kata semangat daripada rakan-rakan di media sosial tersebut.

“Mereka juga meminta kami kongsikan cerita di Facebook mengenai anak-anak yang memerlukan dana perubatan memandangkan kami sendiri pernah berada dalam komuniti ibu bapa yang mempunyai anak menghidap penyakit kronik.

“Ada yang mencadangkan kami menubuhkan sebuah yayasan atau pertubuhan bagi membantu anak-anak kecil yang sakit kerana saya mempunyai pengikut yang ramai sejak kes Uwais tular.

“Saya memikirkan ada bagusnya jika saya menggunakan ‘populariti’ tersebut untuk turut sama membantu orang lain sama seperti orang membantu arwah anak saya dahulu,” kata Sayuti.

Tidak mengambil masa lama untuk membuat keputusan tersebut, dia dan isteri akhirnya menubuhkan akaun, Sahabat Uwais di Facebook, sebelum didaftarkan secara sah sebagai sebuah pertubuhan rasmi bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) pada tahun lalu dengan nama, Pertubuhan Kebajikan Sahabat Uwais (Sahabat Uwais).

Objektif pertubuhan itu untuk membantu mengumpul dana perubatan bayi yang mempunyai masalah berkaitan jantung.

Sehingga hari ini, Sahabat Uwais telah menguruskan lapan kes bayi yang melibatkan kos berjumlah lebih daripada setengah juta ringgit yang sudah dibantu sehingga selesai pembedahan.

Selain menanggung kos perubatan, pihaknya juga membantu kes-kes kecil seperti menguruskan tempat tinggal ibu ke Institut Jantung Negara (IJN), menaja pengangkutan ibu bapa, serta bantuan seperti katil, lampin, susu, dan kerusi roda.

Katanya, setiap keluarga yang dibantu akan disaring melalui kriteria seperti kemampuan dan pendapatan keluarga, bagi mengelak berlaku penipuan dalam urusan pemberian dana.

Menurutnya, kebanyakan kes yang diterima adalah daripada ibu bapa sendiri yang menghubungi Sahabat Uwais, namun ada juga yang dicadangkan oleh orang ramai yang mengenali mereka.

Selain itu, ada juga kes atas cadangan pihak hospital yang memaklumkan ibu bapa untuk menghubungi pertubuhan itu.

“Apabila saya dihubungi, saya akan menyiasat terlebih dahulu kes tersebut dengan menziarahi ke rumah mereka untuk melihat sendiri keadaan keluarga dan anak (jika anak yang sakit ada bersama).

“Kemudian kami menetapkan beberapa syarat, iaitu keluarga atau ibu bapa tidak dibenarkan mengadakan sebarang kempen lain di media sosial menggunakan akaun peribadi, jika tidak perjanjian secara automatik terbatal walaupun kempen pengumpulan dana sudah bermula.

“Setelah semuanya dipersetujui, mereka perlu menandatangani satu dokumen perjanjian yang mana saya sendiri akan menghubungi pihak hospital untuk mendapatkan surat rujukan berkenaan kes anak tersebut sebagai bukti,” ujarnya.

Ternyata apa yang diusahakan Sayuti bukannya mudah kerana terdapat segelintir masyarakat yang mempersoal kewibawaan mereka menjalankan kerja amal tersebut.

Itu juga menjadi cabaran besar buat dia dan pasukan Sahabat Uwais, sehingga suatu ketika dia dan isteri hampir berputus asa kerana ramai yang menabur fitnah bahawa mereka mengumpul wang untuk kegunaan peribadi.

Namun, kepercayaan dan sokongan daripada pengikut-pengikut di Facebook yang sentiasa menyokong usaha tersebut, menepis keinginan untuk menutup Sahabat Uwais.

Selain mengumpul dana perubatan, pihaknya juga menganjurkan program kemasyarakatan, Natfree iaitu pasar percuma (free market).

Melalui program Natfree ini, Sahabat Uwais mengumpul sumbangan orang ramai seperti pakaian baharu dan terpakai, beras, barangan bayi, barangan rumah dan sebagainya.

“Harapan saya agar Sahabat Uwais terus mendapat sokongan orang ramai pada setiap kempen-kempen yang dijalankan,” katanya.

Bantuan boleh dihulurkan ke akaun

MAYBANK 
552170059828

Pertubuhan Kebajikan Sahabat Uwais