Inilah kenyataan Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, Datuk Yatimah Sarjiman, ketika ditanya mengenai statistik terkini keganasan terhadap wanita.

Ditemui pada majlis pelancaran Kempen Hentikan Penderaan Terhadap Semua Untuk Persekitaran Lebih Selamat dan Tiada Ketakutan (SAFE) anjuran Biro Perundangan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Pergerakan Puteri UMNO bersempena Perhimpunan Agung UMNO Ke-71 di Kuala Lumpur, baru-baru ini, Yatimah memberitahu, daripada jumlah tersebut, 70 peratus merupakan kes keganasan melibatkan wanita sebagai mangsa.

Tambah beliau, secara keseluruhan keganasan yang berlaku terhadap wanita melibatkan kes penderaan dari segi fizikal seperti dipukul, didera atau ditumbuk.

Berdasarkan laporan kes mendapati, keganasan sering dilakukan oleh pasangan ke atas pasangan wanita hanya disebabkan faktor panas baran.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, peningkatan statistik ini berlaku adalah disebabkan meningkatnya kesedaran melalui kempen yang dilakukan sebelum ini.

Ujar beliau, lagi banyak kempen dilakukan lagi ramai yang berani tampil untuk mengaku mereka merupakan mangsa keganasan.

“Statistik penderaan dan keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak yang kian membimbangkan menjadi faktor utama kempen ini digerakkan.

“Sejak pelbagai kempen yang berkaitan keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak dilaksanakan, banyak perkara telah dapat dirungkaikan dan antaranya wanita semakin berani tampil mengambil tindakan undang-undang terhadap pelaku serta laporan polis mengenai kes keganasan yang mereka alami.

“Ini menunjukkan perkara seperti ini bukan lagi sesuatu yang perlu disembunyikan atau dirahsiakan dan dianggap sebagai isu peribadi dan perkembangan positif ini menunjukkan keganasan terhadap wanita boleh dibendung dan dielak,” tuturnya.

Kempen Hentikan Penderaan Terhadap Semua Untuk Persekitaran Lebih Selamat dan Tiada Ketakutan ini merupakan satu usaha untuk meningkatkan kesedaran bagi memerangi penderaan kanak-kanak terutama penderaan seksual yag dilihat sebagai satu ancaman yang semakin membimbangkan.

Tambah Mas Ermieyati, SAFE dipilih kerana hari ini ramai wanita dikasari dan diganasi termasuk anak-anak dan juga mengambil kira tentang keganasan seksual.

“Kita perlu mendidik masyarakat tentang bagaimana perlakuan itu dan bagaimanakah ingin keluar daripada masalah dan bagaimana hendak membuat laporan?

“Kami berasa gembira kerana mendapat sokongan yang baik daripada kawan-kawan NGO dan juga Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, malah ini adalah sebahagian daripada sumbangan kecil Puteri UMNO Malaysia,” katanya.

Sebelum itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi turut melancarkan pengangkutan rasmi Skuad SAFE yang akan digunakan untuk tujuan jelajah kesedaran ke seluruh negara.

Trak ini akan digunakan untuk program-program yang bukan hanya bersama pelajar universiti tetapi juga murid-murid sekolah serta masyarakat umum di tempat-tempat awam.

Antara aktiviti yang akan diadakan termasuk pameran seni, jualan bazar amal, demonstrasi pertahanan diri, persembahan buskers, sesi interaktif dan cabutan bertuah.

Kempen ini yang sudah berjalan sejak sebulan lalu dilihat dapat meningkatkan kesedaran selain memberi pendedahan dan kesedaran kepada golongan wanita dan juga kanak-kanak mengenai kesan penderaan dari segi fizikal, seksual, dan psikologi.