Hal ini jelas dengan memban­dingkan harga rawatan dan ubat antara sektor awam dan swasta melalui perkhidmatan sama yang jauh lebih murah, iaitu serendah RM1 untuk rawatan biasa, manakala bagi rawatan lanjut dan pembedahan, harganya tidak semahal hospital swasta bahkan kepakaran yang ada di hospital awam adalah bertaraf antarabangsa.

Namun, bagi golongan yang kurang berkemampuan, mereka berdepan pula dengan isu kewangan apabila ditimpa musibah seperti penyakit kritikal yang memerlukan mereka berulang-alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Kos yang tinggi untuk menanggung perjalanan termasuklah minyak, tol, dan penginapan menyebabkan ada segelintir tidak mempunyai cara lain, terpaksa tidur di dalam kereta di kawasan parkir hospital atau ‘memonteng’ rawatan yang sepatutnya dilakukan.

Bukan tidak ada perkhidmatan penginapan sementara bagi pesakit atau pengiring pesakit di hospital-hospital kerajaan, namun jumlahnya amat terhad.

Menyedari kerumitan dan kepayahan kepada keluarga pesakit terutama yang tidak berkemampuan untuk menyewa hotel, aktivis masyarakat Kuan Chee Heng dengan kerjasama ahli perniagaan, Datuk Paul Lim menawarkan kemudahan kediaman hanya dengan bayaran RM1 untuk satu malam.

Rumah dua tingkat berhawa dingin dan mempunyai empat bilik yang dilengkapi katil, tilam, dan almari selain kelengkapan set televisyen, dapur, peti sejuk dan mesin basuh serta pemanas air di setiap bilik mandi disediakan untuk memudahkan urusan mereka sepanjang menyewa.

Tidak memerlukan sebarang dokumen untuk memohon tinggal di rumah tersebut, ujar Chee Heng dia hanya memerlukan kejujuran daripada keluarga pesakit.

“Buat masa ini sebanyak dua buah rumah disediakan di Taman Puchong Utama, Selangor memandangkan lokasinya yang strategi terletak di tengah-tengah Lembah Klang yang berdekatan dengan Hospital Putrajaya, Institut Kanser Negara, dan Hospital Serdang.

“Memandangkan adanya keperluan untuk menginap di sini, kami juga menerima mereka yang mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur, Hospital Sungai Buloh, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), dan Hospital Canselor Tunku Mukhriz (HCTM).

“Bukan sekadar tempat penginapan, kami juga menyediakan pengangkutan untuk mengambil dan menghantar mereka ke hospital dengan bayaran sebanyak 10 sen sahaja dan bagi pesakit yang terlantar, ambulans kami akan menguruskan mereka,” katanya.

Ujarnya, Rumah RM1 boleh memuatkan sebanyak 18 orang dalam satu masa bagi sebuah rumah.

Selain itu, keluarga yang menggunakan kemudahan rumah boleh menggunakan bahan masakan yang disediakan, namun mereka dilarang sama sekali membawa daging khinzir dan lembu untuk menghormati kepelbagaian bangsa yang tinggal di rumah tersebut.

Setiap rumah berkenaan disewa dengan harga RM1,100 sebulan dan kos pengendalian dan penyenggaraan dijangka sebanyak RM4,500 sebulan ditanggung sepenuhnya oleh mereka. Bahan-bahan mentah berupa makanan dan keperluan mandian disumbangkan oleh beberapa penderma yang menyokong penubuhan rumah tersebut.

Menurutnya lagi, pihaknya juga menerima mangsa keganasan rumah tangga yang mencari tempat perlindungan selepas membuat laporan polis sementara menunggu kes dirujuk ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Mereka yang tinggal di situ tidak mempunyai sebarang tempoh had masa untuk menginap kerana semuanya bergantung kepada keperluan masing-masing.

“Saya berharap agar penubuhan rumah ini dapat membantu masyarakat yang memerlukan dan diharap lebih banyak lagi rumah seperti ini ditubuhkan pada masa akan datang.

“Saya mengalu-alukan kerjasama daripada individu mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mahu meluaskan pelaksanaan Rumah RM1 termasuklah di negeri-negeri seluruh Malaysia,” katanya.

Untuk memohon kemudahan Rumah RM1, orang ramai boleh menghubungi Unit Sosial Hospital masing-masing yang bekerjasama dengan Rumah RM1 atau menghubunginya terus di laman Facebooknya.