Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Rumah jagaan warga emas di hospital

Pelbagai kemudahan termasuk bilik yang selesa disediakan bagi 4
Pelbagai kemudahan termasuk bilik yang selesa disediakan bagi memenuhi keperluan warga emas.

Ibu Noor Aziah Rahmat sudah tua dan uzur. Dia memilih tinggal bersama Noor Aziah kerana lebih selesa dengan anak perempuan bungsunya itu.

Noor Aziah pula bekerja dan setiap hari sebelum keluar rumah untuk ke tempat kerja dia akan menyiapkan dahulu keperluan ibunya.

Bagaimanapun dia sering berasa bimbang semasa di tempat kerja dan cemas jika ibu menelefon. Apa yang ditakuti ialah jika ibunya terjatuh di bilik air dan sebagainya. Tiada sesiapa yang dapat membantu jika sesuatu terjadi kepadanya.

Semasa melawat seorang teman yang mendapat rawatan di Hospital KPJ Tawakkal, Kuala Lumpur baru-baru ini, dia terlihat satu kenyataan yang tertulis penjagaan warga emas.

Memikirkan mungkin elok jika dia menghantar ibu bapanya ke hospital tersebut untuk dijaga oleh mereka yang berkelayakan semasa dia pergi bekerja, Noor Aziah menemui Ketua Penyelia Jururawat Rumah Jagaan Kejururawatan, Hospital KPJ Tawakkal, Bahagia Zakaria, 42.

Kata Bahagia, senario inilah yang sering dihadapi anak-anak yang bekerja tetapi tetap berasa bertanggungjawab menjaga ibu bapa yang sudah tua dan uzur pula.

Mereka sentiasa dicengkam perasaan bimbang meninggalkan ibu bapa di rumah sendirian, tanpa pengawasan orang yang ‘layak’ atau tiada alatan yang sesuai.

“Anak-anak perlu bekerja sedangkan ibu atau bapa di rumah sakit terbaring dan perlu dijaga makan minumnya, dimandikan dan ditukar lampin setiap dua atau tiga jam. Jika tidak, mereka akan mendapat melecet dan sebagainya.

“Jika ada pun orang di rumah, mungkin kerja menjaga orang tua yang sakit terbaring terlalu berat dan tidak mampu dijaga seorang. Kerja seperti ini memerlukan bantuan orang lain juga.

“Mungkin ada pula yang boleh menjaga tetapi tiada alatan yang sesuai di rumah khusus untuk orang sakit seperti kerusi roda, katil hospital dan alatan menyedut kahak,” katanya.

Dia berkata, khidmat penjagaan warga emas yang disediakan bertujuan menyediakan penjagaan yang berkualiti bagi warga emas.

Rumah jagaan yang menerima penghuni yang berumur 60 tahun ke atas ini turut menyediakan perkhidmatan lain seperti rehabilitasi, pergigian, mata dan hemodialisis.

Kemudahan yang disediakan adalah sama seperti di hospital cuma tiada kemudahan untuk penjagaan akut seperti sakit jantung, sakit perut yang memerlukan pembedahan dan sebagainya.

Pun demikian, terdapat juga penghuni yang berumur 55 tahun, menghidap strok dan tiada yang menjaga di rumah.Penghuni paling tua berumur 90 tahun.

Pada masa kini terdapat seramai 30 orang penghuni. Khidmat jagaan harian turut disediakan di mana warga emas akan dihantar oleh anak mereka ke sini pada pukul 7 pagi dan menjemput mereka pada pukul 7 malam.

Menurut Bahagia, menjaga orang tua bukan tugas mudah. Mereka sukar menerima nasihat, mudah berkecil hati dan sangat sensitif. Mereka yang menjaga harus banyak bersabar dan tidak boleh mudah marah.

Katanya, warga emas sering berasa diri mereka membebankan anak-anak, tidak mahu menyusahkan orang, tidak mahu meminta simpati orang, berasa tidak berguna, mudah bersedih dan hanya menghabiskan duit anak.

“Peranan jururawat sangat penting untuk sentiasa memberitahu mereka bahawa mereka tidak menyusahkan anak-anak, banyak senyum, banyak berbual dengan mereka dan bersedia menolong.

“Rumah jagaan ini cuba memberikan perkhidmatan yang anak tidak dapat sediakan. Terdapat tiga tahap penjagaan, iaitu rendah, sederhana dan jagaan yang lebih.

“Perkhidmatan yang disediakan adalah seperti penjagaan holistik dari segi kebersihan, makanan, eliminasi (buang air besar dan kecil), pergerakan (pakar fisioterapi disediakan), dandanan, rekreasi dan berkebun ringan. Membaca Yasin turut dilakukan pada hari Jumaat.

“Penghuni turut boleh bersosial dengan kawan-kawan dan jururawat. Kemesraan yang telah terjalin semasa tinggal di rumah jagaan ini membuatkan ada penghuni yang merindui suasana dan kawan-kawan yang masih berada di sini.

“Pelbagai fasiliti disediakan di sini termasuklah bilik sama ada bilik seorang, bilik dua katil, perabot, ruang makan, taman di tingkat atas, gimnasium, perpustakaan dan dewan serba guna bagi aktiviti rekreasi.

“Seminggu sekali akan ada doktor pelawat yang akan memeriksa pesakit yang mempunyai masalah kesihatan. Penghuni yang memerlukan rawatan hospital akan dihantar ke hospital,” katanya lagi.

Nasihat Bahagia, jika tiada sesiapa di rumah yang komited menjaga dan tiada pengetahuan mengenai jagaan warga emas, lebih baik dihantar ke rumah jagaan.

Artikel Berkaitan
Artikel Lain
Video Pilihan