“Memang terduduk sekejap, mana tidaknya simpanan yang dikumpul hasil berniaga sekian lama lesap begitu sahaja. Namun, saya tidak biarkan perasaan sedih dan kecewa berlarutan terlalu lama.

“Sebaliknya, saya jadikan kejadian itu pembakar semangat untuk bangkit, seterusnya mencipta kejayaan lebih manis,” kata pengasas dan pemilik Bawal Exclusive itu.

Kata Haliza, kejayaan yang dikecapi hari ini tidak datang bergolek, malah terlalu banyak air mata yang tumpah dalam berdepan dengan ‘sepak terjang’ perniagaan.

Bersama suami, Rosli Awang, wanita cekal ini nekad untuk meneruskan perniagaan walaupun pernah satu ketika bayaran sewa kedai tertunggak selama dua bulan.

Katanya, seperti usahawan-usahawan lain dia dan suami juga bermula dari bawah.

Memulakan perniagaan dengan menjual pelbagai jenis tudung di arked Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, pada 1998.

Sepanjang tempoh itu, mereka bukan sahaja terpaksa bersaing dengan peniaga-peniaga sedia ada, bahkan paling getir terpaksa bersaing dengan peniaga-peniaga asing terutama dari Pakistan, yang kini bagai bermaharajela mendominasi premis perniagaan di kawasan ‘lubuk emas’ itu.

Pernah perniagaan yang diusahakan tidak membuahkan hasil sehingga sampai satu tahap dengan nada sinis ditawarkan oleh seseorang untuk berniaga kacang rebus.

Ibarat satu ‘penghinaan’ yang membuatkan pasangan itu berfikir sesuatu harus dilakukan sekiranya ingin terus berada dalam industri tersebut.

Secara kebetulan, dalam satu kunjungan ke negara jiran, Singapura, untuk berjumpa dengan bekas majikan Rosli, mereka ‘ditemukan’ dengan produk daripada kristal yang dijual di Arab Street.

Dari situ timbul idea ‘menampal’ tudung bawal kosong dengan batu-batu kristal dalam usaha memberi kelainan.

Tanpa diduga, kristal yang ditampal pada tudung bawal dan dijual pada harga RM30 laris bagai ‘goreng pisang panas’, malah dalam sekelip mata 24 helai tudung bawal bertatah kristal Swarovski habis terjual pada cubaan pertama.

“Ketika itu era tudung bawal sedang mengalami kejatuhan kerana orang dah tak pandang berikutan muncul pelbagai rekaan terutama jenis yang sedia untuk pakai.

“Kristal yang dibeli sewaktu di Singapura saya tampal pada tudung bawal. Buat permulaan kami cuma sempat hasilkan 24 helai.

“Tanpa disangka, sambutan yang diterima amat mengejutkan kerana dalam sekelip mata kesemua tudung itu habis dijual. Waktu itu hanya kami sahaja yang buat begitu (tampal kristal Swarovski), ” ujar Haliza ketika ditemui bersama suami, di premis perniagaan mereka, Crystal Lounge, di Puchong, Selangor.

Ternyata penat lelah mencari idea-idea baharu untuk memastikan perniagaan terus bertahan berhasil. Jenama tudung Bawal Exclusive berhias kristal Swarovski terus mengukuh, sehingga mampu memiliki bangunan sendiri awal tahun ini dalam usaha melebarkan sayap perniagaan ke tahap lebih tinggi.

Pada masa yang sama, pasangan itu cukup berterima kasih kepada pihak Swarovski yang baru-baru ini memberi kepercayaan untuk membeli secara terus dari ribu pejabat mereka di Austria.

Selama 14 sebelum ini kata Haliza, mereka hanya dibenarkan membeli melalui ejen yang dilantik.

“Ini menunjukkan kepercayaan Swarovski terhadap syarikat kami, sesuatu yang bukan mudah untuk diperoleh,” katanya yang kini sedang berusaha memasuki pasaran penduduk Islam di Kunming, China.

Bakal membeli satu lagi bangunan tiga tingkat, sambung Haliza apa yang dilakukan adalah untuk kepuasan semua pihak.

“Mengikut permintaan, kami sepatutnya perlu menghasilkan 1,000 helai tudung sehari, tetapi buat masa ini kami hanya mampu menyiapkan 500 helai sahaja disebabkan kekurangan kakitangan.

“Jadi dengan adanya bangunan baharu nanti, kami berharap dapat menambah kakitangan bagi memenuhi permintaan harian,” katanya.