Konsep hiasan dalaman retro itu turut diterjemahkan dengan penggunaan perabot seperti bangku berkaki tirus dan bantal dengan cetakan corak geometri yang dikoordinasi dengan sempurna bagi menyeimbangkan setiap ruang agar tidak kelihatan berlebihan.

Di satu bahagian dinding bilik tidur itu turut dihiasi dengan lukisan mural yang bertemakan retro, menyuntik kelainan kepada rekaan dalaman sebuah bilik tidur. Poster berbingkai turut diletakkan di atas rak bagi menaikkan lagi mood.

Ujar Azry fazamy, konsep retro, rekaan yang menggabungkan gaya lama reka bentuk baru itu menjadi pilihan bilik anak perempuan pelanggannya yang berusia belasan tahun yang menggemari konsep retro. Bagi menyuntik ciri feminin, cadar katil dibiar ceria dengan cetakan khas flora, meyeimbangkan warna tema bilik tidur tersebut.

Bahagian tingkap unjur dihias santai sekadar diletakkan bantal hiasan, dan tingkap dibiarkan begitu sahaja tanpa meletakkan langsir bagi membenarkan cahaya semulajadi menerangi bilik, sekali gus mejadi lokasi yang tepat untuk membaca buku.

“Trend hiasan dalaman lebih kepada minat pelanggan dan selaku juruhias dalaman, kami akan memberikan kelainan yang bersesuaian dengan konsep yang diminati dengan perincian yang personal.

“Malah setiap rekaan dalaman tidak dapat ditemui di rumah yang lain kerana hampir setiap barang atau hiasan dalam bilik ini adalah ditempah khas. Sebagai contoh, corak pada cadar katil juga dicetak khas setelah direka terlebih dahulu sebelum dijahit menjadi set cadar.

“Begitu juga lampu tidur di sebelah katil, asalnya merupakan lampu kereta Volkswagen lama yang ditempah khas menjadi lampu bilik tidur. Pelanggan menghargai perincian kecil begini kerana nilai eksklusifnya,” ujarnya yang juga merupakan arkitek landskap.

Pokok-pokok kecil turut menyegarkan rupa bilik yang terletak di dalam rumah teres di Shah Alam dengan diletakkan ke dalam tempat menggantung pasu yang menggunakan seni macrame iaitu pintalan tali atau benang yang begitu terkenal di zaman dahulu.

Uniknya lagi, almari bilik tersebut ditempah khas dengan menggunakan besi dan kayu tebus guna iaitu kayu pelet, lari daripada kebiasaan walk-in closet.