Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Restoran Malaysia di Phnom Penh

nasi lemak, teh tarik dan roti canai antara sajian Malaysia yang 2
Nasi lemak, teh tarik dan roti canai antara sajian Malaysia yang popular di Kemboja.

TERLETAK di tengah-tengah bandar Phnom Penh, Kemboja, Restoran Wau yang menawarkan pelbagai sajian Malaysia, Thailand dan tempatan menjadi tumpuan ramai khususnya pelancong-pelancong yang inginkan masakan halal.

Dimiliki warga Malaysia, Esah Abdullah, 57, perniagaan tersebut asalnya diusahakan oleh anaknya Faizal Abdul Halim.

Kini Esah bergilir-gilir menguruskan restoran tersebut bersama suami, Abdul Halim Isa, 60, dengan kebanyakan menu menggunakan resipi asal.

Untuk itu, kata wanita kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu, setiap masakan yang disediakan menggunakan bahan-bahan serta rempah ratus asli bagi mengekalkan rasanya.

Pada masa yang sama, dia turut dibantu dua cef berpengalaman, seorang dari Malaysia dan seorang lagi merupakan penduduk tempatan (rakyat Kemboja).

“Kehadiran Restoran Wau adalah untuk menawarkan pelbagai sajian halal yang terdiri daripada masakan Malaysia, Thailand, dan Kemboja.

“Ini kerana tidak banyak restoran yang menyediakan masakan halal terutama untuk pelancong-pelancong yang beragama Islam.

“Insya-Allah setiap sajian yang disediakan pasti bertepatan dengan cita rasa kerana kami sememangnya menggunakan bahan-bahan serta rempah ratus asli, yang ada antaranya dibawa khas dari Malaysia,” ujarnya.

Restoran dua tingkat yang terletak di No. 103A, Street 63, Preah Trasak Paem Boulevard, Phnom Penh, itu mampu menampung sehingga 100 pengunjung pada satu-satu masa dan dibuka setiap hari bermula seawal 7 pagi hingga 9 malam.

Setakat ini kata Esah, restorannya bukan sahaja jadi tumpuan pelancong terutama dari Malaysia, bahkan turut dikenali dalam kalangan penduduk tempatan.

Katanya, restoran tersebut merupakan yang kedua selepas kejayaan anaknya membuka Restoran Wau di Siam Reap pada 2006.

Esah menganggap keputusan anaknya membuka restoran di Kemboja langkah yang tepat kerana sedikit sebanyak telah membantu memudahkan pelancong-pelancong beragama Islam terutama dari Malaysia mendapatkan makanan halal di negara itu.

Katanya, cawangan di Siam Reap masih lagi beroperasi sehingga hari ini dengan menawarkan sajian serta menu yang sama seperti di Phnom Penh.

Mengenai bahan-bahan mentah (kering) serta rempah ratus yang digunakan di restoran tersebut, Esah berkata, sebulan sekali anaknya akan membawa masuk bekalan dari Malaysia.

Bukannya tidak boleh mendapatkan bahan-bahan tersebut di kedai-kedai sekitar Phnom Penh, tetapi rasa yang dihasilkan tidak sama.

Bagaimanapun, untuk bahan-bahan mentah basah seperti cili hidup dan sayur-sayuran, mereka akan membelinya segar dari pasar atau kedai berhampiran.

Hanya menyediakan masakan mengikut tempahan yang diterima, antara menu yang ada di restoran ini ialah nasi lemak, roti canai, teh tarik, tom yam, ikan masak stim, kerabu mangga, nasi lok lak, sup masam manis, dan amok.

Pastinya terasa seperti berada di negara sendiri sebaik sahaja menjamah masakan yang disediakan. Kesemua makanan di sini ditawarkan pada harga bermula AS$4 (RM 17.10) hingga AS$10 (RM42.85).

Artikel Berkaitan
Artikel Lain
Video Pilihan