Walaupun roti mullawah tawar rasanya tetapi kombinasi bersama hummus yang kemasaman menghasilkan cita rasa yang sukar digambarkan.

Selain kedua-dua sajian, masakan Arab lain yang cukup sinonim dalam kalangan masyarakat tempatan hari ini ialah nasi mandy dengan pilihan ayam atau kambing bagi cita rasa yang berbeza.

Al Nafoura, sebuah restoran sajian Arab, memberi pilihan masakan Arab kepada peminat-peminat makanan berkenaan.

Tampil seperti kebanyakan restoran Arab lain, bagaimanapun sajian yang disediakan diberikan sedikit kelainan dalam usaha memenuhi selera masyarakat tempatan.

Masih lagi mengekalkan resipi asal dan juga cara masakannya, Al Nafoura sebuah restoran untuk seisi keluarga menjanjikan hidangan enak.

Mula beroperasi sekitar Januari 2015, menurut Pengurusnya, Wan Izana Rozan Wan Ahmad, Al Nafoura menyediakan pelbagai sajian, bermula dengan pembuka selera hinggalah pencuci mulut.

Tambahnya, apa yang cuba ditampilkan ialah masakan asal menggunakan resipi asli negara Arab.

“Kami menggunakan perkhidmatan cef yang berasal dari Yemen untuk memberikan cita rasa sebenar Arab.

“Bagaimanapun kami mengolah sedikit cara masakan kerana tidak semua boleh menerima cita rasa sebenar masakan Arab dan ini lazimnya berlaku untuk resipi yang terlalu banyak menggunakan rempah ratus,” ujarnya ketika ditemui di premis masakannya yang terletak di 9G, Plaza Wangsa Maju (Hedgeford Galleria), Jalan Maju Ria 2, Wangsa Maju, Seksyen 10, Kuala Lumpur.

Bercerita lebih lanjut mengenai menu yang ditawarkan di restorannya, Wan Izana Rozan menjelaskan pihaknya menyediakan lebih 30 sajian.

Antara sajian yang menjadi pilihan ramai ialah saltah, oqda, ful qabilah, madghout, dan tiga jenis nasi iaitu mandy, kabsah, dan hammeth.

Kesemua sajian di atas boleh dipilih sama ada untuk dinikmati bersama ayam atau kambing dan lazimnya Wan Izana Rozan berkata, kambing menjadi pilihan ramai.

Menyentuh mengenai hidangan nasi, selain boleh dinikmati lebih daripada seorang kerana disajikan dalam kuantiti yang banyak, ketiga-tiga nasi ini dimasak dengan cara berbeza.

“Bagi nasi mandy, cara masakannya menggunakan ketuhar manakala nasi kabsah direbus dan nasi hammeth di masak dalam kertas aluminium dengan cara stim.

“Sudah pasti ketiga-tiga sajian ini rasanya berbeza walaupun menggunakan beras yang sama iaitu beras basmathi.

“Bagi madghout pula, kami hanya akan memasaknya selepas menerima tempahan dan memerlukan sekurang-kurangnya 20 minit untuk dimasak dan kelebihan nasi ini ialah berasnya telah diperap bersama rempah ratus.

“Cara hidangannya juga berbeza kerana nasi ini disediakan dalam dua saiz iaitu setengah kilogram ataupun satu kilogram dan pilihan sama ada ayam atau kambing,” tuturnya.

Turut disajikan kepada orang ramai adalah areeka iaitu manisan Arab yang diperbuat daripada roti dan kurma serta kunafe yang dimasak menggunakan doh pastri.

Dibuka setiap hari dari pukul 11.30 pagi hingga 10 malam, bagaimanapun setiap hari Isnin minggu kedua setiap bulan restoran ini akan ditutup.