Malah kuih tradisional yang ‘wajib ada’ itu antara yang paling awal dibuat oleh emak ketika membuat persiapan menyambut Syawal.

Ketika itu, sebagai remaja yang masih hingusan yang lebih seronok untuk bermain bersama rakan-rakan daripada berpanas di depan bara api, perasaan kurang senang timbul apabila melihat emak mula mengeluarkan batu giling dan kuali besarnya.

Seawal pagi dia sudah mula menggiling ketumbar dan jintan manis, sebelum disambung dengan kerja-kerja memarut kelapa, bermakna hari saya pada hari tersebut akan dihabiskan dengan menggoreng rempeyek yang biasanya bukan setakat sebalang dua, sebaliknya sekurang-kurangnya satu atau dua tin biskut besar mesti penuh.

Kata emak, biar buat banyak boleh diberi kepada jiran-jiran dan dibekalkan kepada abang serta kakak apabila mereka pulang semula ke rumah masing-masing nanti. Itulah indahnya budaya lama orang Jawa.

Kini, biarpun rempeyek telah dikomersialkan secara meluas dan dihasilkan menggunakan mesin di kilang, rasanya tidak sama dengan yang asli. Tiada aroma harum ketumbar dan jintan manis, atau lemak masin kacang tanah dan ikan bilis.

Memastikan rasa asli kuih warisan tersebut tidak berkubur, Jamilah Mahari, 49, berusaha mengkomersialkan rempeyek dengan menggunakan resipi warisan ibunya.

Bersama kakaknya, Saadiah, mereka memperkenal Rempeyek Mak Uda yang diusahakan dari rumah di bawah Bihaz Enterprise.

“Rempeyek asli Jawa wajib ada aroma ketumbar dan jintan manis, selain lemak masin rasa ikan bilis dan kacang tanah. Jika tidak ada empat perkara ini sukar untuk dikatakan sebagai rempeyek Jawa.

“Memang sekarang telah komersial, malah sesetengahnya dibuat oleh kilang milik bangsa asing. Namun, rasa dan teksturnya tidak sama. Rempeyek kilang biasanya agak tebal dan keras, berbeza jika kita buat sendiri yang lebih nipis dan rangup,” katanya ditemui di bengkelnya di Kampung Parit Kasan, Bukit Gambar, Tangkak.

Jamilah berkata, secara asasnya bahan-bahan utama yang digunakan untuk membuat rempeyek adalah sama, kacang tanah, tepung beras, ketumbar dan jintan manis, serta beberapa bahan lain.

Namun, setiap orang mempunyai rahsia adunan tersendiri bagi menjadikan rempeyek mereka lebih enak.

Bagi Rempeyek Mak Uda, Jamilah menggunakan campuran empat jenis tepung iaitu beras, sagu, jagung dan pulut, untuk mendapatkan kulit rempeyek yang rangup.

Tepung disatukan dengan menambah santan atau air bagi mendapatkan struktur adunan yang tidak terlalu cair atau pekat. Adunan tersebut kemudian akan dicampur dengan ketumbar, jintan manis, ikan bilis dan bawang putih, serta sedikit buah keras yang telah dikisar halus.

Sukatan bagi bahan-bahan ini juga perlu betul bagi mendapatkan rasa dan aroma yang benar-benar enak.

“Selain itu, saya juga mengekalkan proses asal menggoreng dua kali. Gorengan pertama sebagai proses membentuk rempeyek. Sesetengah orang terutama di kilang mereka menggunakan acuan bagi mendapatkan bentuk yang bulat dan sekata. Saya pula tidak gemarkan acuan kerana seperti kurang asli dan sukar menentukan ketipisannya, sebaliknya saya guna cara lama dengan menuang terus pada kuali leper dengan kadar yang betul.

“Selepas kulit rempeyek separuh masak, adunan dialihkan ke kuali lebih besar bagi menyelesaikan proses memasak. Dengan cara ini, kacang akan masak sepenuhnya dan kulit rempeyek tidak hangus,” katanya.

Bagi memenuhi permintaan pelanggan yang pelbagai, Jamilah memperkenal beberapa jenis rempeyek seperti rempeyek kacang tanah, kacang dal, kacang hijau, kacang tanah bersama ikan bilis, ikan bilis sahaja dan rempeyek kosong.

Beroperasi sepanjang tahun berdasarkan tempahan katanya, sehari dia mampu menghasilkan 50 balang rempeyek dengan menggunakan 15 peket tepung dan kira-kira 8 kilogram kacang.

Biasanya, pada hari-hari biasa dia menghasilkan kira-kira 300 balang sebulan, namun jumlahnya akan berlipat kali ganda apabila tiba musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri sehingga mencecah lebih 1,000 balang.

Biarpun bersifat perusahaan desa, katanya, Rempeyek Mak Uda mendapat permintaan sehingga ke Kuala Lumpur, Kedah dan Terengganu.

“Kami menggunakan dua kaedah pemasaran, iaitu tempahan terus dan diedarkan di kedai makanan ringan sekitar Tangkak, Muar dan Batu Pahat,” katanya yang bercita-cita untuk memasarkan produknya ke pasar raya apabila mendapat Persijilan Halal dan Persijilan Mesti suatu hari nanti.

Bagi yang ingin merasai rempeyek asli Jawa Mak Uda, boleh layari Facebook, Yuniee Zakaria atau WhatsApp 0173216635.