Hari ini, apabila seorang anak berkahwin, dia akan meninggalkan rumah keluarga dan membeli rumah di tempat lain. Akhirnya apabila semua anak sudah mempunyai rumah sendiri, tinggal ibu bapa bersendirian dan kesunyian. Tiada lagi apa yang dikatakan sebagai extended family atau sebuah keluarga besar.

Hakikat ini menyebabkan ramai ibu bapa meniti hari-hari tua mereka berseorangan dan kesepian. Tidak kurang juga yang dihantar tinggal di rumah orang tua kerana tiada anak-anak yang mahu tinggal bersama dan menemani ibu bapa mereka yang telah tua.

Alangkah baiknya jika konsep extended family ini disuburkan semula supaya kehidupan ibu bapa atau ahli keluarga yang lebih tua terjaga. Hal ini akan merapatkan semula hubungan yang erat di antara seluruh ahli keluarga.

Jika amalan ini disuburkan semula, sudah tentu hubungan kekeluargaan akan lebih mesra dan amalan yang baik ini diteruskan oleh generasi muda pula.

Tengku Fadiatul Aisya Tengku Mohd. Roslan, 33, antara segelintir generasi muda yang bertuah kerana telah dibesarkan dalam keluarga besar dan saling mengenali antara satu sama lain.

Katanya, yang mudah dipanggil Fadia, 
sejak kecil dia sekeluarga telah dididik 
supaya mempunyai hubungan yang erat dengan saudara-mara seperti pakcik, makcik dan sepupu-sepupu.

Menurutnya, dahulu setiap Sabtu, datuknya mahu semua anak dan cucu 
datang berkumpul di rumahnya di Pekan, Pahang. Bagi memastikan mereka semua pulang, datuk akan memberitahu bahawa dia sudah membeli banyak makanan di pasar malam, yang kebetulan diadakan berdekatan dengan kawasan rumah datuknya.

Tidak mahu membantah, bapa Fadia dan adik beradik bapanya yang lain bersama isteri dan anak masing-masing akan pulang ke rumah datuk.

Tambah Fadia, disebabkan ramai yang berkumpul iaitu lebih daripada 10 keluarga, keadaan rumah datuknya jadi riuh-rendah. Pada waktu itu jelas nampak keriangan di wajah datuk dan neneknya.

Pada masa yang sama juga, ujarnya, mereka semua dapat berjumpa, berbual, masak dan makan bersama, selain bermain serta bergurau senda. Hubungan sesama mereka juga menjadi semakin erat, malah kata Fadia, dia sangat rapat dengan ibu-ibu saudaranya sampai sekarang.

Sampai ke hari ini walau sudah empat tahun datuknya meninggal dunia, amalan keluarga Fadia ini masih diteruskan. Pakcik atau makcik yang tinggal di Kuantan pasti akan balik ke rumah datuk di Pekan untuk menjenguk nenek, sementara anak-anak yang tinggal jauh akan balik sebulan sekali.

Kata Fadia, walaupun dalam zaman serba moden ini segalanya mengejar waktu, setiap individu harus berusaha mengekalkan hubungan rapat antara keluarga.

“Sama seperti semasa kita kecil, sangat rapat dalam sebuah keluarga, begitu juga setelah dewasa. Jangan pula setelah bekerja dan berkahwin masing-masing membuat hal sendiri. Tidak pernah bertanya khabar apa lagi berjumpa adik-beradik. Berjumpa pun setahun sekali, itu pun semasa hari raya.

“Jangan sampai hubungan keluarga rapuh. Emak tinggal sendirian di kampung. Anak-anak memberikan alasan sibuk dan tidak mempunyai masa hendak balik kampung dan menjenguk emak.

“Bagi keluarga saya, kami adik-beradik akan memastikan balik ke rumah emak sekerap mungkin. Jika tidak dapat balik, kami akan telefon. Setiap hari saya mesti mencari masa untuk menelefon emak. Adik-beradik lain pun macam itu juga.

“Emak dan ayah pun selalu datang ke rumah kami adik-beradik di Kuala Lumpur. Apabila mereka datang ke rumah salah seorang daripada kami, yang lain juga akan datang ke sana untuk berkumpul.

“Saya amat bersetuju dengan cara ayah dan emak mendidik kami. Cara didikan mereka saya gunakan untuk mendidik anak-anak saya dan saya lihat cara ini masih relevan pada hari ini,” kata isteri kepada pengurus sebuah syarikat telekomunikasi di ibu negara, Areehan Abdullah, ini.- Gambar MOHD. FARIZWAN HASBULLAH

Mengisi masa dengan berniaga

Pernah bekerja sebagai Pengurus Pentadbiran di Federation Red Cross Society selama setahun setengah, Fadia berhenti kerja setelah melahirkan anak ketiganya, Emmir Haykal kerana mahu memberikan tumpuan kepada keluarga.

Kemudian, setelah Emmir dan Ameerah Anyssa besar sedikit, dia bercadang untuk membuat bisnes sendiri.

Cukup berminat dengan fesyen, dia nekad untuk menghasilkan rekaan fesyen sendiri dengan label Kupadio. Kupadio adalah nama usikan bapa kepadanya dan nama ini kini membawa tuah kepada bisnesnya.

Baru 10 bulan, Kupadio mengeluarkan fesyen seperti blaus, kaftan, seluar, palazzo dan jubah.

Bulan depan Fadia akan melancarkan pula pakaian untuk ibu dan anak, baju kurung moden dan kaftan sebagai persiapan menyambut hari raya.

Sangat tegas dengan anak-anak​

Ibu kepada Ameerah Yasmin, 16, Ameerah Sofea, 14, Emmir Haykal, 6, dan Ameerah Anyssa, 3, ini sememangnya seorang yang tegas dalam mendidik anak-anak.

Semasa sesi fotografi ini, kesemua anak ikut serta menemani ibu mereka. Ameerah Yasmin membantu ibunya semasa bersiap sementara Ammerah Sofea mengambil tugas menggosok baju dan tudung si ibu.

Jelas dapat dilihat, Fadia telah mendidik anak-anaknya supaya tahu membuat kerja rumah. Walaupun kedua-duanya merupakan anak yang pintar dalam pelajaran, Ameerah Yasmin memperoleh keputusan 10A dalam peperiksaan PT3 tahun lalu dan kini bersekolah di Maktab Rendah Sains Mara Bentong, Pahang dan Ameerah Sofia pula bersekolah di Sekolah Menengah Aminuddin Baki, Kuala Lumpur, namun mereka tidak terkecuali daripada membuat kerja-kerja rumah.

Kata Fadia yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perhubungan Awam dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), dia telah mengajar anak sulungnya memasak sejak berumur 12 tahun dan sekarang anaknya itu sudah boleh memasak nasi, sup atau makanan Barat yang ringkas.

“Semasa saya kecil dahulu saya telah boleh menjaga adik-adik, beri mereka makan, memandikan mereka, mengemas rumah, memasak dan sebagainya. Emak bekerja dan sebelum keluar rumah dia akan membahagikan kerja rumah kepada kami adik beradik.

“Sekarang, saya gunakan cara yang sama ibu saya lakukan. Orang yang tidak faham, mungkin akan mengatakan saya menyerahkan kerja rumah kepada anak-anak. Bagi saya inilah cara yang betul dan mereka akan faham setelah dewasa nanti.

“Bagaimanapun apabila melihat anak-anak pada masa sekarang, saya agak sedih kerana mereka sudah tidak pandai membuat kerja rumah kerana sibuk dengan gajet. Mereka kurang berkomunikasi dan membuat hal sendiri.

“Saya tidak mengajar anak dengan memberikan hadiah yang mahal jika mereka berjaya mendapat keputusan baik dalam peperiksaan. Ammerah Yasmin hanya mendapat sebuah telefon yang berharga RM95 walaupun mendapat 10A dalam peperiksaan PT3. Saya tidak mahu anak-anak leka jika diberikan telefon mahal.

“Saya lebih suka memberikan anak-anak hadiah buku. Setahun sekali saya akan membawa mereka membeli buku kesukaan mereka di pameran buku Big Bad Wolf dan mereka akan leka membaca buku.

“Seperti ibu bapa lain saya juga mengharapkan kejayaan untuk anak-anak. Cuma untuk Emmir memandangkan dia anak lelaki tunggal, saya tak sabar menunggu laungan azan pertamanya. Daripada segi akademik, kami menghantarnya bersekolah di Unikidsity International dan sekarang dia dan adiknya fasih berbahasa Inggeris.

“Saya juga mengharapkan anak-anak banyak terlibat dengan aktiviti kemanusiaan kerana saya percaya aktiviti sebegini membantu pembentukan peribadi seseorang selain mengisi masa terluang,” ujarnya.

Pakaian KUPADIO KUALA LUMPUR 
(EMEL: [email protected])
Solekan OGY ROSZY (012-7888160)