Satu fakta yang agak menarik yang saya temui dan ingin kongsikan di sini, melalui satu kajian yang dijalankan ke atas lebih 1,000 orang di Britain, mereka mendapati bahawa 33 peratus golongan wanita merasakan perancangan percutian dan tempoh perjalanan banyak memberikan tekanan kepada mereka berbanding pasangannya.

Ini kerana golongan wanita, seorang isteri, juga ibu kepada anak-anaknya merasakan mereka harus bertanggungjawab dalam menyusun atur, mengemas beg agar segala keperluan perjalanan cukup lengkap.

“Adakalanya wanita merasakan dan percaya bahawa merekalah yang harus merancang, mengemas, tugas harus dilaksanakan dengan sempurna sebelum memulakan perjalanan, dengan memastikan segalanya dibawa bersama.Mereka merasakan bahawa merekalah sepatutnya in control.”

Demikian menurut pakar tingkah laku dan pengarang More Time, Less Stress, Judi James, kepada MailOnline Travel.

Bagi anda yang merasakan diri anda tergolong dalam sebahagian peratusan kajian di atas, saya percaya ada beberapa strategi yang boleh anda praktikkan bagi mengurangkan tekanan kepada perjalanan itu tadi.

Bercuti dengan bebas tekanan – bagasi yang kecil dan terhad tetapi masih mampu memaksimumkan gaya ?

1.Merancang dan mengesahkan jadual perjalanan

Idealnya jika anda merupakan individu yang diberi tanggungjawab atau menggalas tugas menguruskan jadual perjalanan itu tadi, jangan khuatir, ia sebenarnya memberi kelebihan untuk anda mengetahui program harian yang lebih tepat.

Jika ia sebuah perjalanan beraya ke luar negara, beberapa perkara penting yang perlu anda tahu seperti

Memiliki dokumen perjalanan antarabangsa, pasport yang masih sah untuk melakukan perjalanan tersebut. Jika tempoh sah laku (tarikh mati pasport) adalah kurang dari enam bulan dari tarikh perjalanan anda, pastikan anda membuat pembaharuan secepat mungkin di kaunter-kaunter pejabat imigresen terdekat.

Kenal pasti cuaca di tempat dan musim negara yang ingin dilawati (rujuk www.weather.com ) untuk mendapatkan jadual sesingkat lima hingga 10 hari ramalan cuaca terkini.

Memuat turun aplikasi tertentu di telefon mudah alih agar membantu anda mendapatkan jadual waktu solat dan senarai restoran halal di tempat tersebut.

Walaupun percutian di dalam negara tidak memerlukan anda bersusah payah mendapatkan info yang serba lengkap seperti di atas, tetapi ada baiknya anda mengenal pasti jadual program dan aktiviti harian sepanjang berada di kampung agar dapat merancang keperluan perjalanan seterusnya.

 

2.Mengenal pasti jumlah dan jenis pakaian yang hendak dibawa

Bayang jika anda sangkakan cuaca di negara ingin dilawati masih lagi panas (summer), sedangkan musim sebenarnya adalah winter, pastinya kelam kabut mencari baju yang sesuai setibanya di negara tersebut.

Ya, tidak saya nafikan, ini boleh berlaku kiranya anda melawati negara seperti Australia di antara bulan Jun hingga Ogos berbanding negara Barat seperti di Amerika Syarikat.

Dengan mengenal pasti musim negara ingin dilawati ini, ia dapat memberikan anda sedikit petunjuk, jenis pakaian dan fabrik yang sesuai untuk dibawa.

Jika di dalam negara pula, jadual program yang telah dirancang dan aktiviti keluarga ketika bercuti nanti boleh memberikan anda sedikit petunjuk akan jumlah dan jenis pakaian mengikut majlis atau tempat yang akan dihadiri, juga jumlah rumah keluarga yang akan dilawati.

Jangan lupa rujuk ramalan cuaca sepanjang minggu di kampung agar anda bijak suai padankan apa yang dibawa dengan aktiviti harian.

Ya, info yang jarang-jarang kita ingin ambil tahu, tetapi mampu memberikan impak berkesan kepada seisi keluarga.

3.Memilih skema warna dan gaya

Jika anda mengehadkan pemilihan warna berdasarkan lima koleksi tona warna terbaik anda, bukan sahaja anda akan nampak hebat berpenampilan, tetapi memudahkan lagi untuk menyuai padan pada bila-bila masa, sambil meminimumkan jumlah pakaian yang perlu anda bawa.

Bayangkan jika anda membawa sejumlah pakaian yang pelbagai warnanya seakan koleksi warna-warna pelangi, tentunya ia memerlukan ruangan bagasi yang lebih besar kerana teknik suai padan menjadi agak sukar dan terhad pula.

Selain membawa koleksi baju raya, sertakan juga koleksi pakaian fesyen trend dan klasik. Anda harus ingat, percutian memang sesuatu yang sering dinantikan setiap individu tetapi amat memenatkan jika tiada perancangan rapi.

Pemilihan jumlah aksesori seperti fesyen aksesori rantai, kasut, hijab juga lebih minimum kepada palet warna dan gaya fesyen yang telah dipilih itu tadi.

4.Aplikasi teknik kapsul wardrobe

Saya pasti, ini bukanlah kali pertama saya menulis tentang teknik pengurusan wardrobe dan penggayaan berkesan ini. Kapsul wardrobe ini merujuk kepada koleksi pakaian yang boleh ditukar ganti dan disuai padan dengan koleksi pakaian sedia ada bagi memaksimumkan jumlah pakaian yang boleh digayakan.

Tujuannya tidak lain adalah untuk mempunyai pakaian yang sesuai untuk sebarang majlis tanpa memiliki koleksi pakaian yang berlebihan. Ini biasanya boleh dicapai dengan membawa apa yang dianggap sebagai ‘kunci’ dalam menyelaraskan warna (pakaian), kesesuaian undertone kulit masing-masing, bentuk badan, jenis fabrik berkualiti, corak dan reka bentuk klasik.

Ringkasnya, ia merupakan himpunan lima hingga lapan jenis helai pakaian berlainan (seperti blaus, jeans, skirt, seluar) yang sesuai dipadankan dengan satu sama lain. Pilih jalur dan gaya yang sederhana juga kemasan fabrik yang bersesuaian.

Himpunan pakaian klasik sebenarnya lebih mudah dipadankan jika dibandingkan dengan koleksi gaya trendy dan fad fesyen. Jika anda memilih untuk merancang sebuah percutian perjalanan yang hebat, dengan membawa keperluan bagasi yang terhad sambil memaksimumkan gaya, inilah rahsianya yang perlu anda pelajari.

5.Bercuti dengan senarai semak bijak

Rancang percutian – bebas tekanan? Bunyinya seakan mustahil, tetapi boleh dicapai jika anda mempunyai senarai semak perjalanan bijak (smart traveling checklist) dan menggunakannya secara konsisten. Ia boleh dimulai dengan menyenaraikan satu persatu.

  •  Dokumen perjalanan dan dokumen penting lain (jika menaiki kapal terbang dan jenis pengangkutan lain)
  •  Jenis pakaian (baju raya, juga tambahan koleksi fesyen gaya klasik dan trendy)
  •  Aksesori pilihan
  •  Alat solek dan barangan penjagaan diri
  •  Barangan kesihatan dan kecantikan
  •  Alatan elektronik
  •  Barangan keperluan bayi (jika perlu)
  •  Bekalan makanan sepanjang percutian (jika di luar negara)

Apakah kesimpulan yang anda boleh pelajari dari sini? Berfikir jauh ke hadapan, rancang dengan teliti dan pastikan segalanya teratur. Bercuti boleh memberikan tekanan kepada mental dan juga fizikal apabila sampai ke destinasi tanpa persediaan yang rapi. Mungkin senarai semak perjalanan sudah cukup membuatkan anda sedikit tertekan untuk memastikan setiap satunya telah disediakan. Tetapi percayalah, apabila segalanya cukup teratur, anda bukan sahaja akan kelihatan hebat, tapi mood percutian yang lebih menyeronokkan.