Tidak dapat dinafikan karikatur hanyalah proses lakaran ‘mengkartunkan’ wajah, tetapi bagi yang tidak mempunyai kemahiran atau bakat semula jadi, pasti akan mengambil masa yang lama atau mungkin tidak menjadi langsung.

Walaupun karikatur tidak menggambarkan wajah sebenar siapa yang dilukis, ia tetap cabang seni yang digemari ramai.

Lazimnya, seni ini akan dipelopori oleh mereka yang digelar seniman jalanan dan karya mereka dihargai terutama oleh mereka yang tidak memiliki kemahiran melukis.

Lebih dikenali dengan nama pena, Tuyuk, katanya, biarpun sekadar seniman jalanan, kemahirannya tetap dicari orang, sekali gus menjadi punca rezekinya sejak tujuh tahun lalu.

Dia mengakui, bakat melukis digilap sejak kecil selepas menyedari aktiviti tersebut antara yang paling digemari terutama pada masa lapang.

Mempercayai sesuatu kemahiran boleh digilap sekiranya selalu membuat latihan dan tahu teknik-teknik yang betul, Tuyuk yang memiliki diploma dalam jurusan Seni Bina Landskap dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor, memberitahu, dia berjaya membuktikan teori tersebut.

“Saya percaya bahawa sesuatu kemahiran itu boleh digilap, tetapi perlu disusuli dengan latihan yang berterusan, di samping tahu teknik-teknik yang betul dalam sesuatu bidang.

“Ia tidak mencukupi sekadar dengan minat semata-mata kerana akhirnya kemahiran yang ada itu tidak akan berkembang dan tidak akan ke mana.

“Pada masa yang sama sekiranya anda memiliki apa juga kemahiran dan tahu bagaimana untuk dikembangkan seterusnya digunakan, ia juga mampu memberikan pulangan kepada diri sendiri,” ujarnya.

Buat masa ini, Tuyuk mempunyai permit seniman jalanan dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk dia berkarya sambil meraih rezeki di mana-mana tempat yang dibenarkan di ibu negara.

Begitupun, dia lebih tertumpu di tiga lokasi utama, iaitu di hadapan pusat beli belah Sogo, sekitar Bukit Bintang dan Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR).

Pandai menggunakan peluang yang ada, bapa kepada seorang cahaya mata itu, meluaskan pintu rezekinya dengan mengambil lebih banyak tempahan lukisan karikatur secara dalam talian dan melalui syarikat-syarikat korporat.

Untuk itu, Tuyuk hanya memperuntuk hari minggu sahaja untuk berada di sekitar kawasan Sogo, Bukit Bintang dan Jalan TAR.

Bercerita lebih lanjut mengenai kerjayanya sebagai seniman jalanan, dia yang pernah menyandang jawatan pereka landskap dan pegawai khidmat pelanggan satu ketika dahulu, sememangnya boleh melukis apa juga subjek yang diberikan seperti pemandangan dan potret.

Bagaimanapun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini dia lebih menumpukan kepada lukisan karikatur memandangkan permintaannya semakin meningkat.

Walaupun pekerjaan tersebut dilihat tidak semewah kerjaya lain, dia puas hati dan gembira dengan apa yang dilakukan hari ini.

“Biarpun sekadar melukis di jalanan, tetap mampu menjana pendapatan yang lumayan sekiranya rajin. Dalam erti kata lain, pendapatan bulanan bergantung kepada kerajinan seseorang itu.

“Bekerja sendiri beginilah, ikut mood dan masa sendiri, kalau rajin saya mampu mendapat lebih daripada yang sepatutnya tetapi kalau kurang rajin kuranglah sedikit,” sambungnya lagi.

Enggan mendedahkan berapa pendapatan yang diperoleh setiap bulan, anak sulung daripada enam beradik ini bagaimanapun memberitahu ia mampu mencecah empat angka.

Hanya bermodalkan kertas lukisan, kertas warna air dan juga peralatan melukis seperti pen penanda (marker pen), dakwat, dan papan melukis, bayaran untuk sekeping lukisan karikatur hitam putih bersaiz A4 hanyalah RM10, manakala untuk saiz A3, RM20.

Untuk karikatur berwarna pula tambahan RM5 bagi setiap saiz, begitu juga untuk lukisan karikatur yang ‘ditiru’ daripada gambar asal, bayarannya bergantung pada saiz dan tahap kesukarannya.

Jadi kepada mana-mana individu atau pun pihak yang berminat untuk mendapatkan perkhidmatan Tuyuk bolehlah layari blog www.biaswarnastudio.blogspot.com atau melalui media sosial Facebook dan Instagram @Tuyuk Firdaus Husain.