Kehadiran Putera Gabriel dengan gelaran Duke of Dalarna menambah keceriaan Keluarga Diraja Sweden walaupun baru setahun yang lalu pasangan ini memperoleh zuriat lelaki juga, Putera Alexander, Duke of Södermanland.

Kelihatan keluarga kecil itu sungguh sempurna dengan kehadiran anak-anak yang melengkapkan hidup mereka. Namun, tumpuan sebenar dalam keluarga ini adalah kepada Sofia kerana dia dianggap umpama Cinderella kerana merupakan orang biasa yang berjaya menawan hati seorang putera raja.

Bagaimanapun, latar belakang Sofia bukanlah ‘cantik’ seperti Kate Middleton, yang juga rakyat biasa dan berkahwin dengan anak raja. Tetapi Carl Philip nampaknya tidak mempedulikan semua itu.

Julia dan Carl Philip melangsungkan perkahwinan dengan penuh gilang-gemilang pada 13 Jun 2015 di dalam sebuah gereja di istana Sweden. Sebelum bertemu puteranya, Sofia membintangi rancangan realiti Sweden yang dikenali sebagai Paradise Hotel, yang menggabungkan sekumpulan lelaki dan perempuan bujang dalam sebuah hotel mewah dan merakamkan apa yang berlaku.

Bukan itu saja, puteri yang kini sentiasa elegan dengan gaun mewah ke majlis keraian dahulunya juga pernah menjadi model sebuah majalah untuk lelaki di Sweden, Slitz, tanpa sehelai benang, dan hanya seekor ular boa menutup sebahagian dadanya!

Media di Sweden sering memainkan cerita sejarah hitam Sofia ketika mereka berdua berpacaran namun ia dengan segera dipatahkan oleh Carl Philip yang bertindak mempertahankan isterinya.

Namun, Sofia bukanlah sekadar mempunyai wajah yang cantik. Dia pernah berpindah ke New York dan bekerja sebagai pelayan restoran dan pengajar yoga sambil menyertai kelas perniagaan dan perakaunan.

Baru-baru ini, Sofia terlibat dalam kerja amal, selain pengasas bersama organisasi tidak berasaskan keuntungan, Project Playground yang menyokong aktiviti kanak-kanak kurang bernasib baik di Cape Town, Afrika Selatan.

Pasangan sejoli ini bertemu semasa di sebuah resort peranginan di Bastad, Sweden, pada musim panas tahun 2009 dan Sofia pernah menyatakan ia merupakan cinta pandang pertama.

Bagaimana dengan peluangnya menjadi Ratu Sweden? Harapan tidak terlalu tinggi kerana Carl Philip menduduki tempat ketiga dalam barisan takhta membuatkan perjalanannya untuk menjadi Ratu masih terlalu jauh.