Masih ingat lagi dengan dialog dalam babak filem Ibu Mertuaku, arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang menganggap ahli muzik tidak mempunyai masa depan yang baik berbanding dengan kerjaya profesional lain.

Kerjaya muzik terbuka luas

Bagi sesetengah orang, muzik dikaitkan dengan artis berkumpulan atau penyanyi. Tetapi muzik sebenarnya mempunyai jalan yang lebih luas dan bukan sekadar itu sahaja.

Hari ini, kedua-duanya dianggap sama penting dan jika mereka benar-benar berusaha maka tidak kira siapa pun kita, menjana pendapatan menerusi industri muzik mudah sahaja dilakukan jika tahu caranya.

Ruangan ComY minggu ini menampilkan karier dalam bidang muzik yang jarang dilihat potensinya terutama bagi sesetengah mereka yang menganggap perkara ini adalah satu kerjaya yang sia-sia.

Tetapi bagi sesetengah yang lain pula, muzik merupakan satu bidang yang dapat membantu membina minda diri sendiri dan anak-anak, selain mampu mengasah bakat seseorang.

Bagi yang mengikuti bidang muzik, pasti mereka mengetahui bahawa ada potensi besar yang boleh diusahakan seperti menjadi tenaga pengajar, guru muzik atau pensyarah di universiti.

Adakah anda tahu bahawa sijil bidang muzik dari Associated Board of the Royal Schools of Music London mempunyai tahap yang sama seperti belajar di peringkat sijil, diploma dan ijazah seperti ditawarkan di universiti?

Pasaran yang kini masih terbuka luas perlu diambil oleh mereka yang meminati bidang tersebut. Ini kerana setiap daripada kita berbeza, ada yang suka pelbagai bidang seperti sains, ekonomi, komunikasi mahupun muzik.

Justeru, peluang seperti ini sewajarnya direbut oleh mereka yang mempunyai kemahiran tetapi tidak tahu menyalurkan bakat masing-masing, selain menjadikan ia sebagai punca pendapatan yang lumayan.

Satu jam kelas muzik untuk permulaan asas boleh mencecah RM200 untuk guru muda, manakala bagi guru profesional atau gred tinggi boleh mencecah sehingga RM500 sejam.

Minggu ini .com bersama pengasas dan guru muzik dari Sekolah Muzik Vee yang terletak di Subang Jaya, Selangor untuk mengupas masa depan dan juga potensi yang ada di dalam bidang ini. - AMIRUL/RIDHUAN

Bagi mereka yang meminati bidang muzik dan ingin menjadikannya sebagai kerjaya, ia bukan lagi satu angan-angan kerana bidang ini mempunyai potensi besar dan tidak ramai yang dianugerahkan bakat untuk bermain alatan muzik.

Apatah lagi bagi mereka yang betul-betul berbakat dan komited dalam bidang ini. Pelbagai cara boleh dilakukan untuk membantu mengembangkan bakat baharu, di samping menambah pendapatan.

Buat masa ini, Sekolah Muzik Vee menawarkan pelbagai peringkat pembelajaran daripada kelas pembelajaran asas sehinggalah peringkat sijil Associated Board of the Royal Schools of Music London (ABRSM).

Bagi mereka yang mempunyai sijil tahap tiga dalam bidang muzik dari institusi muzik ini, mereka sudah boleh mengajar sebagai guru junior di sekolah muzik terkemuka di Kuala Lumpur atau boleh menyambung pengajian ke peringkat diploma atau ijazah di mana-mana universiti.

Manakala bagi mereka yang mempunyai sijil tahap lapan pula, mereka layak menjadi pensyarah muzik dan sijil itu setanding dengan ijazah sarjana muda dan ijazah sarjana di peringkat pendidikan universiti.

Ini menunjukkan bahawa belajar muzik bukan lagi satu pembelajaran yang tidak mempunyai masa depan tetapi ia memberi peluang untuk menyerlahkan bakat yang ada dalam setiap orang.

Bagi seorang ahli muzik, tahap tertinggi yang ingin mereka capai adalah bermain bersama kumpulan orkestra kerana di sini mereka berpeluang bermain dalam satu pasukan.

Di Malaysia, kumpulan orkestra Philharmonic muncul antara kumpulan orkestra terbesar dan terkenal tetapi bagi mereka yang mempunyai sijil ABRSM, mereka berpeluang untuk bermain dalam orkestra terbaik dunia iaitu kumpulan Orkestra London.

Seseorang yang mendapat pendidikan khusus dalam bidang ini juga mampu untuk bermain pelbagai alat muzik dengan mudah kerana asasnya adalah sama iaitu gitar, piano, biola, drum dan celo.

Sekolah Muzik Vee menawarkan pembelajaran kedua-dua aspek penting tersebut dengan menekankan teori dan praktikal bagi membolehkan pelajar mahir kedua-dua bahagian dalam sesebuah permainan muzik.

Ramlah Vee
Pemilik Sekolah Muzik Vee

Ingin main untuk ayah

Setiap orang ada impian masing-masing sama ada untuk menjadi pemuzik profesional ataupun hanya sekadar minat dan suka-suka. Tetapi saya ingin bermain muzik untuk ayah saya.

Jika dapat memainkan sebuah lagu P. Ramlee buat ayah, pasti saya berasa sangat gembira kerana selama ini, dia yang benar-benar mahu saya bermain muzik terutamanya biola walaupun ibu tidak begitu menggalakkan.

Setelah hampir lima bulan di sekolah ini, minat pada bidang muzik semakin menebal dan saya menyimpan hasrat untuk bermain muzik bersama sebuah orkestra dengan pemuzik-pemuzik profesional lain.

Setakat ini, saya telah didedahkan dengan pelajaran asas, teori serta praktikal mengikut buku yang diberikan kepada saya. Di dalam buku ini, terdapat lebih 95 buah lagu pelbagai rentak.

Di sekolah ini, saya mengenali beberapa genre muzik berbeza seperti klasik, pop, waltz, jazz dan pelbagai lagi dan ternyata bidang ini bukan satu bidang yang mudah jika tiada minat yang jitu.

Tentang kos pula, pemuzik boleh memilih untuk mendapatkan yang mahal atau murah. Jika masih baharu, alatan asas yang murah masih sesuai.

Harga sebuah biola asas adalah dalam lingkungan RM350 untuk saiz dewasa dan boleh mencapai ribuan ringgit. Terpulang kepada kita untuk memilih kerana lebih mahal sesebuah alat muzik itu, ia akan memberikan kualiti bunyi yang baik.

Siti Hajar Muddin, 19

Mengisi masa lapang

Keinginan belajar muzik pasti akan timbul pada diri setiap orang, apatah lagi melihat ahli muzik membuat persembahan secara langsung. Ia turut berlaku dalam diri saya.

Melihatkan perkara itu, saya mengambil inisiatif untuk belajar bermain biola kerana sebelum ini, saya tidak berpeluang untuk bermain permainan ini kerana kekangan waktu dan kewangan.

Kedudukan kelas muzik berhampiran tempat kerja antara faktor penyumbang kepada saya untuk mendaftar dan bermain muzik. Ternyata peluang ini membuahkan hasil.

Walaupun masih baharu, minat terhadap muzik telah mendorong saya untuk belajar dan terus belajar. Pendedahan yang diberikan oleh Cikgu Vee sedikit sebanyak membantu meningkatkan keyakinan diri.

Saya dan pelajar lain berpeluang bermain muzik di khalayak ramai. Dengan adanya persembahan di kafe atau acara, ia memberi peluang untuk saya lebih berkembang,

Antara muzik yang saya minati adalah muzik klasik, pop yang dimainkan oleh Vivaldi dan P.Ramlee kerana ia memberikan satu semangat lain serta mampu memberi kepuasan apabila memainkannya dengan baik.

Julaila Abdullah,
34