Kuasa Allah mengatasi segala­nya. Apa yang kita cuba elak, itulah yang kita dapat. Semuanya kehendak Allah. Mahu tidak mahu harus reda dan harungi kepayahan itu walaupun hidup sengsara dan terseksa.

Inilah mukadimah catatan saya minggu ini. Kisah daripada seorang isteri yang bersuamikan penagih. Ingin tahu kisah lanjut, jom kita ikuti luahan Ella (bukan nama sebenar ) kepada saya.

Ini ceritanya.

“Saya berusia awal 30-an, di­kur­­niakan seorang anak pe­­rempuan berusia tujuh tahun, hasil pernikahan dengan seorang lelaki yang saya kenal di alam maya.

“Saya bekerja di sebuah firma guaman di pinggir bandar raya. Sebelum kahwin, hubungan kami mendapat restu keluarga kedua-dua pihak walaupun saya tidak tahu apa pekerjaan suami ketika itu.

“Semasa berkawan kira-kira dua tahun, saya langsung tidak tahu dia seorang penagih. Nampak biasa sahaja. Tetapi setelah bernikah, baru rahsianya terbuka.

“Saya bertahan dan tidak me­nunjukkan rasa marah kerana saya yakin satu hari dia akan berubah. Setelah anak sulung kami lahir, saya dikejutkan dengan suami ditangkap sebab menagih.

“Dua tahun dia ditempatkan di pusat pemulihan. Selama dua tahun itulah juga, hidup saya terumbang-ambing. Keluarga mula menyisihkan saya dan anak. Mentua turut pandang sinis.

“Anak sulung kami membesar dalam suasana yang tidak selesa. Ayah dalam pusat pemulihan. Saya pula terpaksa bekerja keras untuk mencari duit bagi menampung hidup kami dua beranak.

“Ketika usia anak menjejak dua tahun, suami dibebaskan. Saya terima dia kembali dengan harapan dia akan berubah. Saya yakin dengan ilmu agama yang dia belajar di pusat pemulihan, dia akan berubah.

“Malangnya tidak berlaku seperti doa saya. Suami kembali ke perangai lamanya. Saya umpama menanggung biawak hidup di dalam rumah, kerjanya makan tidur, makan tidur sahaja.

“Dia langsung tidak peduli dengan masa depan kami. Tanggungjawab tidak ditunaikan. Saya suruh cari kerja, dia mengamuk. Yang dia tahu, minta duit.

“Hidup perlukan duit. Gaji saya cukup-cukup untuk hidup kami dua beranak. Setiap bulan setelah ditolak belanja beli susu anak dan upah pengasuh, lebihan duit cukup-cukup untuk tambang pergi kerja dan makan.

“Setiap hari pula, suami terus mendesak untuk dapatkan duit. Tak bagi, dia ganggu saya di pejabat. Saya malu dengan kakitangan lain dan orang yang melihat.

“Bila saya tidak bagi, dia me­ngamuk dan memukul saya. Akhir­nya saya laporkan kepada pihak berkuasa. Sekali lagi suami ditahan. Dia didapati bersalah kerana memukul saya dan me­ngancam keselamatan kami dua beranak dan dipenjara dua tahun.

“Saya kembali hidup dalam kepayahan. Saya nekad, akan me­nuntut cerai. Bukan sebab saya tidak sayangkan suami lagi, tetapi saya tidak mahu masa depan anak saya menjadi gelap dan tidak ada arah.

“Setelah mendapatkan nasihat peguam dan pejabat agama, saya akan failkan tuntutan perceraian. Saya sedih terpaksa buat keputusan nekad ini tetapi pada saya, ia lebih baik untuk masa depan saya dan anak kami.

“Saya tahu suami tidak akan berubah kerana apabila keluar nanti dia akan kembali kepada perangai lamanya. Sudah tiga kali dia ditahan, bila keluar macam itu juga perangainya.

“Malah kadangkala, saya takut tinggal bersamanya dalam rumah. Tapi saya reda dengan jodoh saya dan berharap perkara ini akan selesai dengan baik.

“Mungkin ramai yang kata saya kejam tetapi saya harus fikirkan masa depan saya dan anak. Orang hanya bercakap, saya yang menanggung. Sebelum terlambat dan keadaan menjadi lebih teruk, saya perlu buat keputusan.

“Saya harap wanita di luar sana yang berkenalan dengan lelaki di alam maya, siasat dahulu latar belakang teman lelaki anda. Siapa dia, apa kerjanya dan asal-usulnya. Jangan main terima kerana cinta.

“Jangan jadi seperti saya, menyesal kemudian sudah tidak berguna. Tapi saya anggap ini ujian untuk saya. Semoga Allah permudahkan urusan hidup saya dan bagi kesedaran kepada suami untuk berubah.

“Saya tetap sayangkan dia te­ta­pi saya perlu sayangkan masa depan anak kami. Saya berdoa agar Allah beri saya ruang untuk bahagia bersama anak kami. Andai satu hari suami berubah, saya akan terima dia semula jika jodoh kami masih kuat,” kata Ella menamatkan ceritanya.

Begitulah rumah tangga, ada yang bahagia, ada yang sengsara. Semuanya kehendak Allah, dan saya rasa Ella telah membuat satu keputusan yang bijak untuk masa depan dia dan anaknya.

Nasihat saya kepada Ella, jangan salahkan diri sendiri. Anda perlu kuat dengan keputusan yang telah di­­buat. Tindakan anda sangat berani. Anda tahu apa yang terbaik untuk masa depan anda.

Menamatkan catatan pesanan saya, semua yang berlaku terima­lah dengan positif. Bila kita me­man­dang dari sudut positif, ha­­sil­nya akan positif, begitu juga se­baliknya. Permudahkan urusan hidup kita,selebihnya biar Allah yang uruskan.

Salam.