Kebetulan, beberapa malam lepas, sempat saya melayari beberapa akaun Instagram yang saya follow secara peribadi. Antaranya, milik seorang bakal pereka fesyen yang sedang melanjutkan pengajiannya di sini, agak popular dengan ribuan pengikutnya di platform tersebut.

Apa yang saya boleh rumuskan, beliau seorang individu berpersonaliti menarik, banyak bermain dengan fesyen turban, seakan-akan menyerupai beberapa personaliti YouTube Vlogger seperti Dina Tokio dari London dan selebriti Instagram seperti Ascia AKF dari Kuwait.

Mungkin ada yang bertanya, apa kaitannya, pemilik Instagram ini dengan perbincangan saya di rancangan tv itu tadi? Baik, izin saya kupas beberapa strategi yang sempat dikongsi di rancangan tersebut dengan kaedah 2K di ruangan ini.

Sebelum saya kupas lebih lanjut berkenaan strategi itu, perlu saya jelaskan bahawa, tidak ada salahnya untuk mengikuti dan memilih trend semasa.

Apa yang membimbangkan saya secara peribadi adalah kebanjiran trend hari ini membuatkan seseorang individu itu terlalu obses untuk memiliki sesuatu yang baharu, cantik , in trend – ya, obses untuk memperlihatkan kemewahan dan kelebihan yang mereka ada, sambil menyorokkan kekurangan diri.

Fenomena selfie dan hashtag #ootd juga sedikit sebanyak mendorong seseorang itu menjadi narsisis yang secara tidak langsung menjurus ke arah pembaziran, menjadi mangsa fesyen dan paling teruk, penggunaan kad kredit yang melebihi had dan tidak mampu menguruskan pembayaran semula, sehingga diisytihar muflis oleh pihak bank.

Mungkin apa yang kita tidak nampak di sini adalah impak dari kesan narsisis seorang selebriti, selebriti Instagram, blogger mahupun vlogger kepada pengikut mereka. Nah, bayangkan kesannya terhadap seribu, sepuluh ribu, seratus ribu, sejuta followers?

Berbalik kepada dua perkara asas ini, saya namakan ia kaedah 2K. Adakah ia satu keperluan atau kehendak?

Kebanyakan waktu, kita habiskan masa membeli-belah dengan ayat di bibir, “Saya hendak itu…”, berbanding dengan “Saya perlukan itu…” .

“Saya hendak itu…” memberikan anda waktu yang singkat untuk memilih, mencuba di bilik persalinan dan terus membayar kerana teruja untuk memilikinya, sedangkan “Saya perlukan itu…” pula, memerlukan seseorang pembeli berhenti sejenak dan membuat sedikit analisa tentang barangan yang ingin dibelinya dan memerlukan lebih masa untuk mengenal pasti bajet sedia ada, kesesuaian produk dengan gaya hidup, mungkin personaliti individu tersebut.

Ada juga waktunya, pembelian terpaksa ditunda hingga ke beberapa bulan akan datang kerana kewangan yang tidak mengizinkan. Bagaimanakah kaedahnya?

1. Kenali Diri Anda - memerlukan anda membuat sedikit refleksi diri, tentang siapa anda hari ini, industri anda, jawatan anda dan mesej pakaian yang anda ingin sampaikan melalui ketiga-tiga jawapan tersebut. Boleh aplikasikan strategi yang saya kongsikan di artikel minggu lepas dengan mengenal pasti aktiviti mingguan anda, dan pakaian sesuai mengikut aktiviti tersebut.

Sekiranya anda seorang eksekutif atau pegawai yang bekerja di syarikat korporat mahupun di agensi kerajaan, tentunya koleksi pakaian anda hari ini memerlukan anda memilih mesej berpakaian yang lebih serius, rasmi (formal), profesional, sepanjang waktu bekerja.

2. Bajet bulanan dan tahunan – tidak salah untuk mengenepikan sedikit peruntukan bajet untuk diri sendiri . Apatah lagi jika anda sudah penat bekerja sepanjang bulan atau sepanjang tahun. Ya, hargailah diri anda sendiri dengan membelikan sesuatu atau sekecil-kecil hadiah setiap bulan atau sesudah anda bersedia dengan bajet di poket mencukupi.

3. Bijak suaipadankan koleksi wardrobe sedia ada juga personaliti gaya – berbalik kepada wanita, bakal pereka fesyen yang saya rujuk di akaun Instagram sebentar tadi. Ya, tiada apa yang salah tentang fesyen dan personaliti gaya beliau. It looks perfectly normal – bak kata orang putih. Tetapi apa yang membuatkan saya ingin perkatakan tentang fesyen beliau adalah ketidakseimbangan pada pakaian yang digayakan. Kebanyakan waktu beliau mensabotaj penampilan dengan memakai pakaian yang membuatkan beliau bertambah petite (pendek dari tinggi sebenar).

Mungkin bagi sesetengah individu, mereka merasakan objektif (untuk kelihatan tinggi) itu tidak penting, tetapi anda juga harus tahu, pelbagai kajian yang telah dijalankan di Australia dan Amerika Syarikat. Contohnya seperti kajian dijalankan oleh Timothy Judge, seorang Profesor Pengurusan di University of Florida dengan kerjasama Arianne Cohen, Pengarang buku The Tall Book, mereka mendapati sebagai seorang individu yang tinggi, boleh meningkatkan keyakinan diri seseorang, mendorong orang ramai untuk menunjukkan lebih rasa hormat dan secara tidak langsung membantu individu tersebut itu mencapai lebih kejayaan.

Kerana apabila anda berdiri tinggi dan tegap, postur anda terbentuk cantik dan menampakkan anda seorang yang positif dan yakin dengan diri sendiri. Ia menarik perhatian orang ramai. Malah menurut Cohen & quot, orang yang tinggi dipercayai memperoleh pendapatan yang lebih tinggi.

Mereka mendapat pendapatan lebih US$ 789, bagi setiap inci setahun. Kelebihan penggajian tinggi ini disebabkan kerana kebanyakan mereka lebih cenderung menunjukkan sikap kepimpinan berbanding bagi mereka yang rendah atau petite. Di dalam persekitaran pekerjaan, apabila anda sering menunjukkan sikap kepimpinan yang baik, sangat membantu individu itu untuk dinaikkan pangkat apabila tiba masanya kelak.

4. Kenal pasti terma dan jenis kitaran fesyen
- terma dan jenis ini telahpun saya kongsikan di ruangan minggu lepas. Jika anda terlepas membacanya, jenis fesyen terbahagi kepada tiga, iaitu fesyen fad, trend juga fesyen klasik. Bijaklah memilih jenis fesyen agar anda tidak digelar mangsa fesyen atau terjebak dengan pembaziran yang tidak diingini.

Memilih untuk menjadi pengikut trend semasa, tiada masalah sebenarnya. Pesan saya, jadilah diri sendiri dengan membuat sedikit refleksi diri dan kenal pasti kelebihan dan kekurangan diri yang ada. Tidak salah juga untuk menjadi pengikut tegar selebriti popular, tetapi apa kurangnya kelebihan yang anda miliki hari ini. Gunakan kelebihan itu untuk menampilkan diri anda yang unik, dan lain dari yang lain (bukan mangsa fesyen!). Pakaian dan gaya hidup anda memberikan gambaran tentang siapa anda.

Pilih mesej dan gambaran itu dengan betul. Untuk sebuah kejayaan, tampilkan diri anda yang sebenar. Orang ramai lebih gemar untuk berurusan dengan anda, apabila anda tampil lebih jujur, positif dan profesional. Ingat nasihat ini, apabila mereka sudah mengenali, kemudian suka, maka mereka akan lebih percaya kepada anda.Komunikasi bukan lisan ini merupakan sebahagian faktor besar kepada kejayaan anda hari ini dan masa hadapan. Buatlah pilihan dengan bijak!