Begitu saat indah ketika beliau berkenalan dan menyulam kasih dengan isterinya, Mariyani @ Suriyani Shaari, 39, semasa menuntut di Universiti Malaya (UM) pada tahun 1997.

“Maklumlah ketika itu, mana ada telefon bimbit. Ini menyebabkan kami berhubung menerusi memo yang diletakkan di dalam ‘pigeon hole’ (petak surat) di kolej kediaman.

“Kebetulan pula, saya memegang jawatan di kolej kediaman dan disediakan pejabat di situ. Jadi, menjadi rutin saya dan isteri untuk memeriksa ‘pigeon hole' masing-masing setiap hari,” katanya kepada S2 baru-baru ini.

Menurut Mohd. Mizan, beliau mengenali Mariyani semasa menjadi pelajar senior dan ditugaskan untuk mengurus kemasukan mahasiswa baharu.

Katanya, ibarat sambil menyelam, minum air, beliau turut mengintai ‘calon’ wanita sesuai untuk dirinya.

“Dalam ramai-ramai pelajar baharu itu, Mariyani yang berjaya mencuri hati saya kerana perwatakan lemah lembutnya sebagai wanita Timur,” ujarnya.

Bagi Mariyani yang memanggil Mohd. Mizan sebagai abang, beliau pula tertarik dengan suaminya itu kerana sifat tanggungjawab dan daya kepimpinan ditunjukkan semasa memegang jawatan dalam organisasi.

Katanya, apatah lagi Mohd. Mizan sering menjadi tempatnya mengadu apabila ditimpa masalah semasa menjadi pelajar baharu lantaran ibu bapa berada di Kedah.

“Kalau motosikal rosak, abanglah tempat saya mengadu dan dia (Mohd. Mizan) pula tidak jemu membantu saya tanpa mengira masa,” katanya.

Pasangan ini mendirikan rumah tangga semasa Mohd. Mizan yang berasal dari Sabak Bernam, Selangor menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana di UM pada penghujung tahun 2001.

Mohd. Mizan kemudian bekerja di Kolej Universiti Kejuruteraan Utara Malaysia (kini dikenali sebagai Universiti Malaysia Perlis) sebelum menyambung pengajian ke peringkat ijazah doktor falsafah (PhD) di Universiti Victoria, New Zealand pada 2006 dengan membawa sekali Mariyani.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga cahayamata iaitu Muhammad Nabhan, 15, yang menuntut di Kolej Yayasan Melaka serta Muhammad Naufal, 11, dan Nur Aisya Humaira, 6 tahun yang belajar di Sekolah Kebangsaan Seri Indera, Perlis.

Menurut Mariyani, sepanjang mendirikan rumah tangga dengan Mohd. Mizan, cabaran paling kuat dihadapinya adalah ketika suaminya menyandang jawatannya kini iaitu sebagai rektor sejak dua tahun lalu.

Manakan tidak, hampir setiap minggu katanya, ada sahaja tugasan perlu dilakukan suaminya di luar Perlis atau ke luar negara sehingga mereka sekeluarga terpaksa berjauhan selama beberapa hari.

“Masa inilah yang menuntut saya menghantar dan mengambil anak-anak di sekolah. Jika dahulu, saya takut untuk memandu kereta walaupun memiliki lesen tetapi kini saya perlu berdikari,” katanya.

Bagi Mohd. Mizan, beliau perlu mengorbankan masa bersama keluarga kerana terpaksa mempromosi KUIPs di luar negara, selain berusaha keras menjalin hubungan yang baik dengan universiti luar.

“Pernah saya tukar beg pakaian di rumah selepas pulang dari luar negara dan keesokannya terpaksa ke luar negara sekali lagi. Namun itu adalah lumrah untuk membangunkan sesebuah universiti yang masih baharu.

“Mujurlah isteri saya begitu memahami tugas saya malah mendidik anak sehingga berjaya di samping tugasnya sebagai seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Abi, Perlis,” katanya.