Warna hitam melatari keseluruhan restoran, ditambah pula pilihan perabot dan hiasan dinding yang ‘sedap mata memandang.

Persepsi awal yang menyenangkan ini ternyata selari dan setanding dengan makanan yang ditawarkan.

Sajiannya tidak mengecewakan terutama kepada mereka yang ingin mencuba pelbagai jenis makanan semifusion, gabungan Melayu dan Barat.

Sememangnya menjadi matlamat di Makan Heritage untuk menawarkan makanan yang berkualiti dengan sentuhan lebih moden tanpa mengabaikan keaslian rasanya.

Mula beroperasi 12 Oktober tahun lalu, restoran tersebut mula menjadi perhatian penduduk sekitar kerana keenakan beberapa sajian signaturnya. Antaranya, pan de poulet (chicken chop), lamb cuts au jus (kambing), Makan Heritage rib eye, fish and chip, salmon butter rice dan Makan Heritage burger.

Menurut pengasas yang juga Pengarah Operasinya, Mohd. Fairuz Yusoff, 37, idea untuk membuka restoran tersebut bermula dengan sembang-sembang kosong bersama rakan-rakan.

Menyedari masing-masing mempunyai visi dan minat yang mendalam dalam perniagaan, mereka mengambil keputusan untuk mengusahakan perniagaan berasaskan makanan.

“Kami mula mengenali antara satu sama ketika menuntut di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Arau, Perlis lagi. Persahabatan yang terjalin selama 15 tahun itu menjadikan kami mengenali hati budi masing-masing.

“Tanpa disedari, kami semua mempunyai minat dan hobi yang sama. Akhirnya persetujuan dicapai untuk bergabung dan menjadi rakan kongsi.

“September 2014, kami berjaya membuka Pandavape & Cafe di Damansara Utama, kafe yang digabungkan bersama perniagaan vape. Makan Heritage merupakan perniagaan kedua yang kami usahakan bersama,” ujarnya ketika ditemui di premis perniagaannya yang terletak di 17G, Jalan Camar 4/5A, Kota Damansara baru-baru ini.

Berbicara lebih lanjut mengenai kedai makan tersebut, Mohd. Fairuz berkata, bersama rakan-rakannya, mereka mengambil masa kira-kira dua bulan untuk memutuskan konsep yang hendak diketengahkan.

Perancangan awal ingin menamakan restoran tersebut sebagai kafe atau Restoran Heritage, tetapi setelah mengambil kira beberapa faktor akhirnya sebulat suara memilih nama seperti sekarang.

Nasi dulang Hang Tuah

Memulakan operasi setiap hari dengan sajian tengah hari, Makan Heritage menampilkan Asian Delight yang terdiri daripada 15 menu seperti kambing Makan Heritage, ayam mentega berkrim, pasta goreng mamak, kuetiau Kantonese, dan nasi goreng Cina.

Sekiranya ingin menikmati rasa kampung, boleh mencuba nasi ayam kunyit Chenta yang disajikan bersama nasi kukus, ayam goreng kunyit, sambal belacan, dan kuah kari ayam.

Selain itu, Mohd. Fairz berkata, pengunjung juga boleh memesan nasi dulang Hang Tuah, yang terdiri daripada nasi putih, ikan masin, ketam masak lemak cili api, terung masak sambal, ulam-ulaman, daging bakar, dan kepak ayam.

Boleh dinikmati antara dua hingga tiga orang, namun nasi dulang tersebut hanya disediakan antara pukul 1 hingga 3 petang setiap hari Sabtu dan Ahad.

Untuk makan malam pula, restoran itu menawarkan 16 jenis menu berat, tiga pemanis mulut dan enam makanan ringan.

“Menu makan malam yang popular di sini ialah pan de Poulet, lamb cuts au jus dan Makan Heritage rib eye.

“Untuk melengkapkan menu ini pastinya kami menyediakan pelbagai jenis minuman yang segar dan berkhasiat.

“Antaranya teh tarik Heritage, jus detoks, jus timun bersama lemon dan halia, nescafe Heritage cincau, epal asam boi, sirap Bandung soda dan iced long black,” kata Mohd. Fairuz lagi.

Setiap menu yang ditampilkan oleh Makan Heritage merupakan hasil air tangan Cef Mohd. Azam Mahmad, manakala untuk minuman pula adalah resipi daripada ibu Mohd. Fairuz sendiri yang merupakan seorang artis veteran yang sangat terkenal, Dayang Sulu.

Dia memberitahu, setakat ini sambutan yang diterima begitu menggalakkan dan dalam perancangan untuk membuka cawangan.

Selain itu, bagi memberikan lebih banyak pilihan kepada pengunjung, dia juga bercadang menambah menu sedia ada.

Boleh memuatkan sehingga 80 pengunjung pada satu-satu masa, harga bagi setiap makanan di Makan Heritage bermula serendah RM10.90 hinggalah RM60.