Perkahwinan adalah sangat digalakkan dalam konteks agama. Pelbagai bentuk kebaikan boleh diperoleh melalui ikatan perkahwinan terutamanya jika ia satu ikatan perkahwinan yang bahagia. Gesaan dan galakkan agama bagi mereka yang mampu untuk melangsungkan perkahwinan ini jelas dari pelbagai dapatan kajian yang menyokong kesan positif dari ikatan perkahwinan. Kajian empirikal terhadap kesan perkahwinan telah dijalankan seawal tahun 1936 mendapati bahawa, pesakit skizofrenia dalam kalangan mereka yang tidak berkahwin adalah lima kali lebih tinggi daripada mereka yang telah berkahwin.

Kajian-kajian lanjutan dan terkini turut menyokong kepelbagaian kesan positif perkahwinan terhadap individu. Ini termasuk kesihatan fizikal yang lebih baik, lebih berdaya tahan terhadap jangkitan, mempunyai risiko yang lebih rendah terhadap penyakit berbahaya seperti serangan jantung, mempunyai kesihatan emosi yang lebih baik dan risiko yang rendah terhadap gangguan psikologi seperti kemurungan, kebimbangan, dan gangguan psikologi yang lain.

Perkahwinan dan kesihatan

Dalam satu kajian jangka panjang yang melibatkan 1,681 individu dari kumpulan umur 18-39 tahun dan 40-55 tahun, penyelidik memantau hubungan di antara persepsi kualiti perkahwinan dan tahap kesihatan diri peserta kajian selama 20 tahun. Kajian mendapati hubungan yang kuat antara perkahwinan bahagia dengan kesihatan fizikal individu tanpa mengira usia.

Kajian yang di terbitkan dalam European Journal of of Preventive Cardiology tersebut mendapati bahawa individu yang belum berkahwin mempunyai risiko serangan jantung yang lebih tinggi tanpa mengira usia dan jantina. Selain itu, penyelidik juga mendapati bahawa mereka yang berkahwin mempunyai peluang kesembuhan atau prognosis yang lebih baik berbanding kumpulan lain selepas serangan.

Melalui analisis yang melibatkan sebanyak 15, 330 kes serangan jantung dengan bilangan kematian sebanyak 7,703 dalam tempoh 28 hari dari hari serangan, penyelidik mendapati bahawa insiden serangan adalah 58 - 66 peratus lebih tinggi dalam kalangan lelaki yang belum berkahwin dan 60 - 65 peratus lebih tinggi dalam kalangan wanita yang belum berkahwin berbanding mereka yang sudah berkahwin.

Kadar kematian pula didapati 60-168 peratus lebih tinggi dalam kalangan lelaki yang belum berkahwin dan 71-175 peratus lebih tinggi dalam kalangan wanita yang belum berkahwin.

Selain kesan positif terhadap kesihatan fizikal, corak kesihatan emosi yang lebih baik juga dilihat dari kumpulan mereka yang sudah berkahwin berbanding mereka yang tidak pernah berkahwin dan hidup bersendirian. Perkahwinan didapati menyumbang terhadap kesejahteraan mental yang positif manakala perceraian menyumbang terhadap kemerosotan kesihatan emosi dan meningkatkan risiko gangguan psikologi seperti kemurungan.

Kesan positif perkahwinan adalah jelas dari dapatan pelbagai kajian saintifik. Salah satu faktor yang menjadi pencetus kepada kesan-kesan positif ini adalah dari hubungan dan sokongan sosial yang diterima oleh individu. Kesan dari sokongan sosial ini, individu yang sudah berkahwin juga cenderung untuk mempunyai sumber psikososial yang lebih tinggi dari mereka yang bersendirian. Sumber psikososial merujuk kepada faktor-faktor personaliti individu yang mempengaruhi bagaimana seseorang menguruskan tekanan. Sokongan dan sumber psikososial bukan sahaja meningkatkan kesejahteraan emosi, bahkan ia juga menampan kesan emosi negatif tekanan hidup

Namun, kesan-kesan positif perkahwinan cuma akan dinikmati jika ia satu perkahwinan yang membahagiakan. Sesetengah ikatan perkahwinan gagal mencapai matlamat ini. Kebahagiaan rumahtangga adalah salah satu tajuk yang sering di ulas dalam pelbagai bentuk dan perspektif. Komitmen terhadap pasangan dan keluarga yang tidak berbelah bagi, percaya-mempercayai antara satu sama lain, bantu-membantu dalam menguruskan rumahtangga, memahami kelebihan dan kekurangan diri masing-masing, berinteraksi dan berkongsi, dan menerima pasangan dengan seadanya merupakan beberapa petua yang sering diutarakan dalam memastikan kebahagiaan rumah tangga dicapai.

Satu aspek yang ingin ditekankan adalah perkongsian yang berjaya, dalam apa-apa bentuk, termasuk perkahwinan adalah tanggungjawab bersama. Dalam menunaikan tanggungjawab bersama tersebut, persefahaman berkenaan peranan yang perlu dimainkan haruslah ada dan kedua belah pihak harus mengambil sikap lebih memberi berbanding menerima untuk memastikan bukan sahaja kebahagiaan rumahtangga, bahkan kesihatan dan kesejahteraan diri yang baik.

 

 PENULIS ialah Penyelaras/  Pensyarah Psikologi Sukan Unit Sains Sukan,

Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan, Kelantan.