Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Logo Kaji Selidik Pembaca

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Perjuangan si kecil lawan kanser

Bazli Hazwan Che Osman (kiri) bersama isterinya, Asiah Abu Bakar 3
Bazli Hazwan Che Osman (kiri) bersama isterinya, Asiah Abu Bakar (kanan) melayani anak mereka,Muhammad Syahid Bazli Hazwan yang menghidap penyakit kanser limfoma di Institut Pediatrik Hospital Kuala Lumpur.

Baru berusia tiga tahun, namun tubuh kecil Muhammad Syahid Bazli Hazwan terpaksa menanggung kesakitan, yang orang dewasa pun belum tentu dapat melaluinya, selepas disahkan menghidap kanser limfoma tahap tiga kira-kira empat bulan lalu.

Anak kecil yang tidak tahu apa-apa tentang penyakit yang dideritai itu, hanya mampu menangis kesakitan saat menjalani rawatan kemoterapi demi menghapuskan sel kanser yang ganas memamah tubuhnya.

Hati ibu bapa mana sanggup melihat anak yang sebelum ini sihat berubah 180 darjah menjadi tidak bermaya.

Namun, Bazli Hazwan Che Osman, 33 dan isterinya, Asiah Abu Bakar, 27, berusaha untuk belajar menyembunyikan rasa sedih, malah tidak pernah sekali menunjukkan saat-saat sukar sepanjang menjaga anak kesayangan mereka itu.

Menurut Bazli, pada Disember tahun lalu, dia dan isterinya menyedari terdapat bengkak di leher Muhammad Syahid yang disertai dengan demam panas berlarutan.

Tidak berfikir panjang, dia kemudian membawa anak sulungnya itu ke beberapa hospital swasta dan anaknya disyaki menghidap beguk serta jangkitan kuman.

Selama dua minggu Muhammad Syahid dimasukkan ke Hospital KPJ Damansara untuk dirawat dengan antibiotik, namun keadaannya tidak berubah.

Dia kemudiannya dihantar ke Hospital Sungai Buloh, tetapi masih menjalani rawatan sama kerana tidak diketahui punca masalah yang dihadapi.

Selama 44 hari ditahan di wad, tiada tanda-tanda dia akan sembuh sebaliknya tubuh anak kecil itu semakin lemah.

“Sehinggalah pada Februari lalu, seorang doktor baharu mengambil alih kes Syahid dan meminta anak saya diimbas kembali. Doktor menemui bengkak baharu di bawah ketiak, menjadikannya tiga, selain di paru-paru dan leher.

“Doktor mula mengesyaki Syahid menghidap kanser limfoma dan meminta dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana Hospital Sungai Buloh tidak mempunyai kepakaran merawat kanser.

“Selepas melalui proses diagnosis dan disahkan kanser, sedikit sebanyak saya berasa lega kerana akhirnya tahu apa penyakit yang dihidapi anak saya.

“Selama ini saya tahan sahaja perasaan saya melihat Syahid diberi pelbagai jenis ubat tanpa mengetahui penyakitnya. Saya kesian melihat dia yang semakin lemah tanpa menunjukkan sebarang perubahan positif.

“Sekurang-kurangnya apabila sudah mengetahui penyakit ini, ada rawatan yang boleh dia jalani dan saya reda dengan ketentuan yang telah tertulis untuk anak saya,” katanya ketika ditemui di Institut Pediatrik HKL, di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ujar anggota kumpulan nasyid, UNIC itu, Muhammad Syahid sudah menjalani tiga kali rawatan kemoterapi dan doktor meletakkan sasaran kemoterapi kelima untuk membuang keseluruhan sel kanser.

Namun jika tidak berkesan, kemoterapi akan diteruskan sehingga sepuluh kali.

Sumbangan/Bantuan
 

Jelasnya, dia sentiasa positif dan percaya dengan kepakaran doktor yang merawat anaknya meskipun ada menerima nasihat daripada kalangan kenalan dan peminat yang mencadangkan rawatan tradisional.

Dia memilih untuk berikhtiar dengan pengambilan makanan semula jadi seperti amalan minum air zam zam dan makan buah-buahan tertentu untuk membantu anaknya melawan penyakit yang dihadapi.

Ditanya bagaimana dia berhadapan dengan ujian tersebut, ternyata Bazli sama juga seperti bapa lain berusaha sehabis baik untuk tidak patah semangat.

“Ibu bapa mana yang tidak sedih melihat perubahan drastik anaknya, menangis tetap menangis, tetapi tidak sehinggalah meratap. Bagi saya, sabar itu penting tetapi bukan bermakna kita pasrah sebaliknya bangkit untuk membuat yang terbaik.

“Saya banyak menerima bantuan daripada keluarga, rakan-rakan dan peminat dalam bentuk sokongan emosi serta bantuan kewangan. Ini sedikit-sebanyak menaikkan semangat kami untuk terus menjaga Syahid.

“Sebenarnya semua manusia ada ujiannya sendiri. Jadi sepanjang anak saya menjalani rawatan kanser, saya dan isteri belajar untuk reda dan berusaha memberikan yang terbaik sebagai ibu bapa,” katanya.

Bazli akui sepanjang rawatan, emosi anaknya turun naik dan berlaku perubahan ketara pada fizikalnya. Muhammad Syahid lebih cepat marah dan kurang selera makan sehingga berat badan pernah susut sehingga 11 kilogram.

Begitupun dia percaya Muhammad Syahid akan sembuh sepenuhnya dan membesar seperti kanak-kanak lain.

Nasihatnya kepada ibu bapa yang turut mempunyai anak kecil menghidap kanser supaya tabah menghadapi dugaan. Cari rakan-rakan yang mempunyai masalah sama untuk berkongsi maklumat tentang penyakit kanser.

“Biarpun anak kita sakit, pastikan kehidupan berjalan seperti biasa. Walaupun sukar, saya teruskan juga kerjaya nyanyian kerana saya mahu tunjuk kepada Syahid apabila dia sihat nanti bahawa sebagaimana dia berjuang untuk melawan kanser, ayahnya juga berjuang untuk memberi yang terbaik,” katanya. - Gambar MOHD. NAJIB MOHD NOR

Artikel Berkaitan
Artikel Lain
Video Pilihan