Justeru, tidak hairanlah mengapa dia sentiasa berjaya ‘mencuri’ hati juri dalam apa jua pertandingan yang disertai.

Sifat-sifat positif tersebut, ternyata ‘bonus’ buat anak gadis berusia 24 tahun kelahiran Kuala Lumpur ini, untuk terus menyinar dalam apa juga bidang yang diceburi, apatah lagi selepas memenangi gelaran Miss Malaysia Kebaya (MMK) 2017 baru-baru ini.

Seindah namanya, Nur Natasha Suhaira Suhaimi berjaya menyulam paras jelitanya itu dengan keperibadian yang baik dalam santun seorang wanita Melayu.

Ini sekaligus membuktikan bahawa dia adalah seorang gadis yang berakal bijak, tidak cuma sekadar bersandar pada kecantikan semata-mata.

Malah dia juga sangat lantang memberikan pendapat peribadi dan menampilkan imej yang matang serta meyakinkan.

Mengenali gadis yang mesra disapa sebagai Tasha ini, menjuarai gelaran ratu cantik untuk mengejar populariti dan glamor bukanlah tujuan sebenarnya.

Namun, dia mahu merebut apa jua peluang dan cabaran yang ada di depan mata untuk menguji potensi diri dan kebolehan dalam membentuk personaliti yang lebih baik pada masa hadapan.

“MMK adalah pertandingan ratu cantik yang kedua saya sertai selepas Pencarian Wanita Melayu (PWN) 2017. Ketika di PWN, saya mendapat semangat daripada pengacara program tersebut, Yasmin Hani yang meminta saya agar tidak berhenti mencuba. Dia melihat saya bukan sahaja mempunyai potensi di atas pentas ratu cantik, bahkan lebih daripada itu.

“Sejak itu, saya tanamkan dalam diri bahawa saya perlu cuba mencari dan mengetengahkan apa sahaja bakat yang ada supaya orang tidak memandang saya seorang gadis yang serba boleh bukan sekadar pelajar pengurusan perubatan semata-mata.

“Tidak semestinya apabila kita berada di satu bidang, kita hanya di situ sahaja. Saya mahu menunjukkan kepada masyarakat bahawa saya mampu menjadi wanita yang berkebolehan melakukan lebih daripada satu perkara dan berjaya dalam apa jua yang diceburi,” katanya.

Anak sulung daripada tujuh beradik ini, berkata, penyertaan dalam pelbagai pertandingan ratu cantik mula membuka mata orang di sekelilingnya yang terkejut dengan keberaniannya untuk tampil ke hadapan.

Dia juga sentiasa menanamkan pemikiran yang positif dan tidak kisah menerima sebarang kritikan untuk memperbaiki diri untuk melangkah lebih jauh.

Bagi Tasha, ‘penambahbaikan’ diri berlaku secara berperingkat dan dalam setiap pertandingan yang disertai, sentiasa meletakkan aspek untuk belajar sebagai keutamaan berbanding sasaran untuk menang.

Sedar bahawa pengalaman adalah guru terbaik, dia mahu melihat perubahan demi perubahan dilakukan dalam proses untuk menjadi wanita yang lebih baik termasuk dari sudut karier.

“Sejak kecil lagi saya sentiasa mempunyai keinginan untuk mencuba. Saya pernah menyertai pertandingan pidato, perbahasan, bersajak, malah acara sukan seperti bola jaring, larian, karate dan taekwondo.

“Dari platform-platform tersebut, saya sudah membina keyakinan diri dan kini hanyalah masa untuk melihat apa lagi potensi yang ada dalam diri saya.

“MMK hanyalah satu permulaan kerana selepas ini saya akan meneroka lebih banyak bidang. Selain peragaan, saya mungkin akan menceburi dunia pengacaraan atau lakonan jika diberikan peluang,” katanya yang setia ditemani ibu tercinta, Norlaili Alias.

Ujarnya, apa yang dimilikinya pada hari ini juga adalah hasil usaha kedua ibu bapanya yang tidak henti-henti menyokong perjalanannya dalam penerokaan karier.

Keyakinan dalam pengucapan awam yang dibangunkan dalam diri adalah hasil daripada melihat ibunya sendiri menyampaikan seminar dan ucapan dalam majlis-majlis formal.

Tasha memberitahu, sejak kecil lagi ibunya yang bekerja di agensi Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional, akan membawa dia ke majlis-majlis tersebut untuk belajar bagaimana mengatasi rasa gugup di atas pentas.

Penguasaan dalam bahasa Melayu dan Inggeris pula dibantu oleh bapanya, Suhaimi Nawawi yang sentiasa mempraktikkan penggunaan bahasa yang betul kepada anak-anaknya.

Lebih menarik lagi, Tasha juga berkebolehan berbahasa Thailand dengan fasih kerana mempunyai darah campuran Thailand selain Arab di sebelah ibunya.

Mahu memartabatkan kebaya di persada dunia

Gadis berketinggian 168 sentimeter ini tidak mahu mensia-siakan gelaran ratu kebaya yang diberikan kepadanya untuk menyebarkan kesedaran mengenai budaya pemakaian busana tradisional kepada generasi muda yang kian dilupakan.

Kebaya bukanlah sesuatu yang baharu Tasha, kerana dia sendiri mempunyai lebih 250 pasang kebaya pelbagai jenis, dengan berkongsi minat bersama ibunya.

“Bagi saya kebaya bukanlah sekadar pakaian yang dipakai untuk perayaan, kenduri atau majlis formal tetapi boleh dipakai setiap hari. Kerana terlalu suka akan busana ini, saya juga menggayakannya ketika menghadiri kuliah memadankannya dengan kain sarung atau seluar.

“Terdapat banyak keunikan yang pada setiap baju kebaya yang mampu menyerlahkan seri si pemakai. Rekaannya juga tidak terbatas untuk orang Melayu semata-mata, kerana kita juga mempunyai kebaya nyonya untuk orang Cina dan kebaya sari untuk wanita India,” katanya.

Tasha berpendapat, terlalu banyak eksploitasi fesyen dari Barat yang menyebabkan gadis muda tidak berminat untuk memakai kebaya, malah ada segelintirnya takut dilabel ‘kampung’ dan ketinggalan zaman.

Namun baginya, kebaya adalah rekaan yang tidak lapuk ditelan zaman kerana rekaan kebaya boleh disuntik dengan pelbagai elemen moden menjadikan busana itu mempunyai nilai signaturnya tersendiri.

Katanya, kebaya adalah salah satu daripada warisan negara dan orang muda perlu menghargai warisan yang tinggal untuk tatapan generasi yang akan datang.

Tasha berharap, dengan kemenangan itu, boleh berkolaborasi bersama MMK untuk membawa kebaya ke persada dunia dan seterusnya memartabatkan pemakaian busana tradisional ini.

Cita-cita buka hospital sendiri

Dalam perjalanan meneroka dunia ratu cantik, pelajaran tetap menjadi keutamaan Tasha.

Dia yang merupakan pelajar tahun kedua jurusan Pengurusan Perubatan dan Hospitaliti di Universiti MAHSA, mengimpikan untuk membuka sebuah hospital sendiri.

Bukan berasaskan keuntungan semata-mata, sebaliknya dia mahu mewujudkan hospital pertama di Malaysia yang mengutamakan kebajikan buat golongan kurang bernasib baik.

“Di Malaysia, kita mempunyai banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pusat kebajikan yang memberi tumpuan kepada golongan kurang bernasib baik seperti pesakit kanser, kanak-kanak, pelarian, gelandangan dan orang tua.

“Apabila melibatkan hal perubatan, kerja amal mereka sedikit terganggu kerana tidak banyak perkhidmatan perubatan yang boleh memberikan mereka sokongan 100 peratus dalam memberikan rawatan percuma.

“Mungkin dengan adanya hospital berasaskan kebajikan, selain dana sendiri, hospital itu juga akan mengumpul sumbangan daripada orang ramai bagi memudahkan urusan NGO-NGO yang mahu berbakti kepada golongan yang memerlukan,” katanya.

Bukan bercakap kosong, Tasha juga kini sedang membuat kaji selidik mengenai hospital-hospital di seluruh dunia yang ada menawarkan perkhidmatan sebegitu melalui projek tesisnya.

Selain itu, gadis ini juga mahu meningkatkan sektor pelancongan perubatan dalam negara yang dilihat sebagai fenomena baharu, yang mana pesakit-pesakit mendapatkan rawatan di luar negara walaupun rawatan serupa ditawarkan di negara sendiri.

Ini kerana katanya, negara bukan sahaja memiliki kemahiran perubatan yang setanding dengan negara maju lain, malah pada harga yang lebih rendah.

Dia mahu melihat hospital yang dibangunkan nanti turut mendapat sambutan daripada pesakit-pesakit luar.