Manakan tidak, hari ini dengan kelekaan terhadap pelbagai gajet dan media sosial, kegiatan memasang pelita buluh atau di sesetengah tempat dipanggil ‘panjut’ semakin dilupakan malah pengusaha pelita buluh pun sukar dicari.

Kata Kamsiah, segalanya bermula apabila pelanggan pertamanya memuat naik gambar pelita buluh di media sosial Facebook.

Sejak itu, ramai pula yang bertanya dan permintaan semakin bertambah, sehingga akhirnya dia mengambil keputusan untuk menjadikan jualan pelita buluh sebagai pintu rezekinya sepanjang Ramadan.

Tahun ini merupakan tahun ketiga Kamsiah bersama suami, Md Nazri Md Yusoff, 37, mengusahakan perniagaan tersebut yang telah ‘merebak’ ke seluruh negara.

Bercerita mengenai perniagaan yang diusahakan setahun sekali itu, ibu kepada dua cahaya mata ini memberitahu, sehingga hari ini ( 12 Ramadan) sebanyak 400 batang pelita buluh telah terjual.

Jumlah itu, akan meningkat berkali ganda apabila semakin dekat Syawal.

Kebanyakan tempahan diterima sebelum Ramadan lagi dan seperti tahun-tahun sebelumnya, dia akan terus menerima tempahan sehingga pagi Syawal.

“Sekarang ini pelita buluh memang susah nak dapat. Sepatutnya memasang pelita buluh tradisi yang harus dikekalkan untuk diwarisi generasi akan datang bagi ‘menghidupkan lagi Ramadan dan Syawal.

“Ramai yang bertumpu pada saya kerana mungkin tidak ramai yang mahu mengusahakannya.

“Insya-Allah selagi ada permintaan dan terdaya kami akan terus jual, malah kami pun tidak pernah menyangka pelita buluh ini masih lagi dicari ramai orang,” ujarnya ketika ditemui Mega Rona di kedainya di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka.

Berbicara lebih lanjut mengenai perniagaan bermusim itu, Kamsiah menjelaskan, dalam seminggu suaminya bersama tiga orang pekerja akan masuk ke hutan berhampiran bagi mencari bekalan buluh.

Mengambil sehari suntuk untuk mengeluarkan lebih 180 batang buluh, anak jati Melaka ini menjelaskan, proses menebang dan membersihkan buluh biasanya agak lama, namun proses membuat pelita sekejap sahaja sekitar 30 minit boleh siap.

Sanggup bermandi peluh dan bergelumang dengan miang buluh semata-mata untuk memenuhi permintaan ramai, Kamsiah berkata, bagi menghasilkan pelita yang bagus, ia memerlukan buluh yang tebal dan tua kerana tidak mudah pecah ketika kerja-kerja menebuk lubang untuk sumbu.

Beritahunya lagi, proses menebuk lubang menggunakan gerudi yang tajam perlu dilakukan dengan teliti dan berhati-hati bagi mengelakkan buluh pecah dan rosak.

“Lubang mestilah tidak terlalu besar dan mengikut saiz yang telah ditetapkan.

“Seterusnya, apabila siap ditebuk proses memasukkan besi dan sumbu pula,” katanya yang boleh menyiapkan 40 hingga 50 batang pelita buluh dalam sehari.

Mengenai pemilihan buluh pula, kata Kamsiah, sekiranya buluh yang dipilih belum matang dan nipis boleh menyebabkan pelita mudah pecah, selain kurang tahan panas.

Selain itu, buluh tua membolehkan pelita mampu bertahan lama walaupun terdedah kepada panas dan hujan.

Selain itu, Kamsiah memberitahu, kesukaran mendapatkan minyak tanah menjadi salah satu cabaran utama menghasilkan pelita buluh.

Keadaan itu menyebabkan dia terpaksa menggunakan diesel sebagai alternatif untuk menghidupkan pelita berkenaan.

Menetapkan saiz yang standard iaitu sepanjang dua ruas, kesemua pelita buluh tersebut dijual pada satu harga RM10.

Ternyata apa yang dilakukan Kamsiah bersama suami bukan sekadar untuk menambah pendapatan pada bulan Ramadan, tetapi secara tidak langsung pasangan ini turut menyemarakkan semula tradisi yang semakin dilupakan oleh masyarakat pada hari ini.

Orang ramai yang ingin menghiasi kawasan kediaman mereka dengan cahaya lampu peita buluh boleh menghubungi Kamsiah melalui talian 017-6788791.