Sebuah lagi karya pelukis yang sama, gambaran helang di dahan pohon, dan di tepinya ada dua keping skrol kaligrafi, berukuran 3’ x 8.5’, dihasilkan pada tahun 1946, terjual pada harga AS$65 juta. Harga ini berupa lukisan kedua termahal dalam sejarah jualan lukisan China. Sebelum ini, pada tahun 2009, lukisan yang sama laku pada harga 436.8 juta Yuan. Qi, turut dikaitkan dengan kenyataan pelukis China paling prolifik pada abad ke-20.

Selain itu, karya Huang Binhong, bertajuk Gunung Kuning (1955) laku pada harga 345 juta Yuan. Nama pelukis ini dikaitkan dengan lukisan bermediakan dakwat dan ciri klasik serta tradisi bangsa.

Pasaran lukisan kali ini dianggap sebagai suatu gelombang di tanah besar China, sesudah puluhan tahun fenomena begini terjadi di Hong Kong. Harga-harga yang mahal untuk lukisan kini ada kaitan dengan kawalan kerajaan. Demikian pendapat para pemain dalam pasaran ini yang mewakili sektor swasta.

Mereka juga berpendapat bahawa selama ini realiti menunjukkan karya-karya lukisan terbaik berada di luar Republik China. Qi Baishi sendiri migrasi ke Eropah, selain Huang.

Namun demikian, kesedaran peri pentingnya nilai air muka bangsa, mengakibatkan Beijing sudah mula dijadikan tapak lelongan lukisan, berbanding sebelum itu, Hong Kong yang berperanan selama berdekad.

Sesudah tahun 2011, berlaku kelambatan jualan dalam pasaran lukisan di China, tetapi sementara sahaja kerana pihak swasta berpendapat, karya kurang diketengahkan. Kemudian, harga melonjak amat tinggi kerana dasar kerajaan China berkaitan anti korupsi dikemas kinikan serta menjadi penting dalam perniagaan.

Georgina Adam, seorang pengkaji berpendapat bahawa modal baru yang penting dalam pasaran lukisan turut berkaitan dengan Bank Minsheng, di Beijing yang melancarkan Skim Pelaburan Hasil Seni.

Skim ini bermanfaat kepada rakyat dan ruang lingkup penghasilan karya diperluaskan dari karya purba, klasik hinggalah kontemporari.

Kajian bank berkenaan menunjukkan bahawa berlaku kenaikan 25 peratus dalam produktiviti dengan begitu cepat. Banyak pelukis baharu telah muncul dan dikenali masyarakat di China malah di seluruh dunia. Malah nama Zheng Xiaogang, pelukis yang dikaitkan dengan siri perulangan garis darah berada di puncak, selain Chen Yifei yang walaupun berada di tangga ke lima pada nilaian mutu karya, namun dia lebih terkenal.

Keutamaan kini demi keterbukaan ruang kepada seniman Malaysia adalah kewajaran Perdana Menteri mempercepat usaha menjalin laluan perekonomian menang-menang berkaitan produk seni rupa dengan kerajaan China dan bukan hanya menjurus ke arah pembangunan produk seni bina bangunan, rel dan kereta api laju semata-mata.

Andai dibijaksanakan usaha, ia tidak canggung sementelahan tradisi seni catan moden di Malaysia yang bermula pada 1930-an pun dimulakan oleh sekumpulan pelukis China yang rata-ratanya, graduan universiti di China.