Malah, setiap tahun apabila tibanya musim perayaan, tragedi mengenai kanak-kanak hilang jari atau cedera akibat bermain mercun kerap dilaporkan di akhbar-akhbar.

Siapakah yang patut dipersalahkan dengan kemunculan ‘fenomena’ bersifat tahunan ini yang mungkin berlaku akibat kecuaian ibu bapa malah penjaga kanak-kanak berkenaan.

Menurut Penganalisis Jenayah, Kamal Affendi Hashim, terdapat dua faktor yang akan menjejaskan keselamatan kanak-kanak iaitu kesilapan dan kecuaian.

Tambahnya, kesilapan berlaku apabila kanak-kanak ini dibiarkan tanpa pengawasan dan kecuaian pula lebih menjurus kepada pengabaian secara keseluruhan.

“Seperti mana lazimnya, seorang kanak-kanak akan menjalani kehidupan seharian misalnya ke sekolah, mengaji, ke tempat tuisyen atau pun ke taman permainan, setiap pergerakan mereka ini perlu dipantau dan di bawah pengawasan ibu bapa.

“Apatah lagi pada musim perayaan seperti ini, aktiviti mereka perlu dipantau oleh orang dewasa dan tidak diabaikan walaupun sesibuk mana ibu bapa melayan tetamu yang berkunjung atau meraikan hari raya.

“Ketika berhari raya, mereka ini gemar bergerak dalam kumpulan untuk berkunjung dari satu rumah ke satu rumah. Tradisi ini memang sudah lama diamalkan sama ada di kampung atau apabila mereka kembali semula beraya di ibu kota.

“ Tetapi mereka tidak boleh dibiarkan begitu sahaja tanpa pengawasan kerana anak-anak ini terdedah kepada kegiatan jenayah seperti penculikan, ugutan dan seksual,” ujarnya ketika dihubungi baru-baru
ini.

Kamal Affendi menjelaskan, selagi pergerakan anak-anak ini boleh dipantau dan berada dalam pengawasan orang dewasa tiada apa yang perlu dikhuatiri.

“Budaya berkunjung dari satu rumah ke satu rumah oleh kanak-kanak ini tidak seharusnya disekat tetapi perlu bersyarat, seperti tetapkan kawasan kunjungan dan juga waktu pulang kepada kanak-kanak berkenaan,” katanya.

Selain itu jelasnya, bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku kepada anak-anak ini, sistem penggiliran pemantauan perlu dilakukan sesama ibu bapa atau penjaga anak-anak yang terlibat.

“Jika sistem tersebut tidak diamalkan, ibu bapa akan beranggapan salah seorang daripada mereka sedang memantau pergerakan anak-anak, tetapi hakikatnya tiada seorang pun yang melakukannya kerana asyik berharap kepada orang lain,” katanya.

Dia juga menasihatkan agar anak-anak ini tidak berkunjung ke rumah orang yang tidak dikenali, atau mengelak daripada pergi ke kawasan yang tidak pernah dilalui sebelum ini.

Apabila ditanya adakah anak-anak perlu diberikan telefon bimbit untuk memudahkan ibu bapa mengesan pergerakan mereka, Kamal Affendi memberitahu ia tidak menjadi kesalahan tetapi gajet boleh menjadi sasaran penjenayah.

Apa yang lebih baik kata Kamal Affendi ialah memberikan gajet-gajet pengesan yang boleh dipakai oleh anak-anak seperti jam atau pun loket.

Untuk itu, Kamal Affendi menyeru orang ramai untuk memuat turun aplikasi volunteer smartphone patrol PDRM (VSP) bagi memudahkan lokasi atau maklumat tepat diperoleh oleh pihak berkuasa ketika berlakunya kecemasan.