Mereka juga meminta agar Kamoi Kakoshi mengeluarkan pita pelekat berwarna-warni untuk kumpulan artis berkarya.

Jika dahulu pita washi hanya mempunyai kira-kira 20 warna sahaja yang direka untuk menampilkan keunikan kertas beras yang dijadikan pita pelekat, kini selepas 10 tahun bertapak dalam industri, pita pelekat ini didatangkan dalam pelbagai rekaan, warna dan corak.

Boleh dikoyak dengan tangan dan mudah ditanggalkan semula, pita washi digunakan secara meluas dalam projek kraf dan buat sendiri (DIY) seperti membuat hiasan pada diari perancang (planner), kad ucapan, hiasan alat tulis, pembalut hadiah, hiasan dinding, dekorasi parti dan pelbagai dekorasi lain yang membuatkan sesuatu rekaan tersebut menjadi lebih menarik.

Di Malaysia sendiri, kegilaan terhadap pita washi adalah dalam kalangan penulis planner yang menjadikan pita ini sebagai elemen paling penting dalam menghias diari harian mereka untuk dijadikan kolaj washi.

Salah seorangnya adalah wanita yang berasal dari Terengganu, Siti Zubaidah Aishah Mohamad, 28, yang mula meminati penulisan diari sejak 2001 pada zaman persekolahannya.

Katanya, pita washi yang direka kini bukan sahaja diperbuat daripada kertas beras, malah sesetengahnya diinovasikan daripada material fabrik dan renda.

“Orang yang tidak tahu akan penggunaan pita ini pastinya hairan melihat ada sekumpulan individu yang obses terhadap pita washi.

“Saya melihat pita washi ini sebagai sumber ilham dalam penulisan diari, yang secara tidak langsung saya dapat menghayati corak-corak yang dicetak di atas kertas beras ini.

“Selain menghias planner, pita pelekat ini juga boleh dihias pada rak buku atau kasut, jam, atau hiasan pada bingkai gambar yang pastinya meninggalkan kesan yang begitu istimewa kerana kita sendiri yang mencipta rekaan tersebut,” katanya ketika ditemui dalam bengkel Ekspo mt Masking Tape di pusat beli-belah Pavilion, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ujarnya, pita washi mula menjengah pasaran Malaysia apabila kedai kraf, Art Friend membawa masuk pita pelekat tersebut pada 2007.

Sehingga kini, pita washi semakin mendapat permintaan kerana adanya kelompok yang gemarkan seni kraf dan bukanlah sesuatu yang pelik untuk dimiliki.

Menurutnya lagi, tidak sukar untuk mencari pita washi kerana banyak dijual di kedai-kedai buku popular dan kedai kraf.

Begitu pun kata Siti Zubaidah, dia lebih berminat untuk memiliki pita daripada jenama mt masking tape kerana kualiti dan rekaan unik yang tiada tandingan.

“Istimewanya jenama ini, mt masking tape akan menghasilkan pita-pita edisi terhad yang sangat eksklusif.

Gam yang digunakan sebagai pelekat pada pita memberi ketahanan yang lebih lama selain grafik serta warna yang lebih terang dan jelas.

“Apa yang membuatkan peminat-peminat pita washi teruja pada pameran ini adalah kami berpeluang untuk memiliki pita washi yang mempunyai rekaan bercirikan Malaysia seperti wau bulan, bunga raya, dan raket badminton yang pertama kali direka di dunia,” ujarnya.

Dalam pada itu, rakannya, Izyan Farhana Zulkarnain, 29 berkata, dia akan menghabiskan antara RM50 hingga RM100 sebulan untuk membeli pita washi bagi melengkapkan jurnal hariannya.

“Saya tidak pandai melukis atau membuat doodle jadi pita washi sangat membantu saya untuk menghias planner supaya tampak lebih berwarna-warni dan menarik.

“Selain itu, saya juga menggunakan pita washi sebagai elemen dekorasi untuk balang perhiasan dan menghiasnya di bahagian laci supaya lebih menarik untuk dilihat,” ujarnya yang teruja dengan penganjuran pertama ekspo pita washi di Malaysia.

Bertemakan pita washi yang berwarna-warni, syarikat pita washi dari negara matahari terbit, mt masking tape mengadakan pameran dan kedai pop-up yang julung kali diadakan di Malaysia bersempena dengan penganjuran Waku Waku Japan Festival dan ulang tahun ke-5 Tokyo Street’s di Pavilion.

Pada majlis pelancarannya baru-baru ini, pengunjung berpeluang melihat sendiri pita washi yang dihasilkan di seluruh dunia oleh mt masking tape dan menyertai bengkel seni pita washi bersama pereka-pereka dari Jepun.

Turut menampilkan beberapa pita washi edisi terhad bertemakan Malaysia, orang ramai boleh berkunjung ke pusat beli-belah tersebut untuk melihat sendiri keunikan hasil seni ini dari 27 Julai lalu sehingga 7 Ogos ini. - Gambar NABIHAH OTHAMAN 
(Pelatih UiTM)