Selain usaha, ilmu juga penting jika mahu berjaya dalam hidup dan sudah pasti mendapat sokongan keluarga adalah nikmat paling membahagiakan kerana tiada yang lebih terbaik sebagai tulang belakang selain ahli keluarga.

Wanita cantik bertubuh genit, Nina Sabrina Ismail Sabri, 30, pula mempunyai definisi sendiri tentang erti kejayaan dan kepuasan hidup apabila enggan selamanya dianggap menumpang populariti ahli keluarga termasuk suami.

Anak sulung kepada Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga isteri kepada pereka fesyen terkemuka, Jovian Mandagie dan kakak kepada selebriti, Dafi, sering dilihat hanya sebagai tempelan kepada tiga individu itu.

Transisi kerjayanya yang merupakan seorang usahawan berjaya jarang ditonjolkan, walhal wanita itu merupakan pengasas kepada Peterana Kindergarten dan pemilik empat salun Capello by Nina, serta terbaharu membuka kedai kek, iaitu Fluff Bakery.

Tidak keterlaluan jika menyifatkan Nina Sabrina sebagai wanita yang bukan sahaja cantik, malah memiliki tekad yang menebal untuk menempa kejayaan sendiri tanpa bergantung kepada populariti orang lain.

Anak sulung kepada empat beradik itu mengakui, memang sejak kecil mereka dimanjakan oleh ibu dan ayah sehingga masing-masing tamat belajar.Namun, selepas itu mereka perlu berdikari dan mencari wang poket sendiri.

“Kami semua pernah bekerja sambilan, malah saya pernah jadi pelayan di sebuah kafe kerana papa mahu saya merasai bagaimana mencari duit sendiri. Dia mahu kami rasa susah untuk dapatkan duit,” katanya.

Seperti kebanyakan ibu bapa lain, akui Nina Sabrina, kedua-dua orang tuanya mahu dia menyambung pengajian dalam jurusan undang-undang sebaik sahaja tamat sekolah menengah.

Namun, jiwa wanita itu amat dekat dengan dunia perniagaan menyebabkan dia cuba mengubah haluan dan kehendak yang diinginkan oleh ibu dan bapanya.

“Saya sangat sukakan kanak-kanak, jadi sebaik sahaja tamat pengajian di Australia, saya nekad membuka sebuah tadika.Kebetulan rakan baik saya juga mempunyai latar belakang dalam TESL (Pendidikan Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua), jadi dia menguruskan tentang silibus kelas manakala saya membuat pemasaran.

“Tahun pertama memang kurang mendapat sambutan dan ketika itu ada rasa berputus asa. Namun, saya percaya untuk sesebuah tadika dikenali kena buat hubungan baik dengan pelanggan dan masyarakat sekeliling. Alhamdulillah sudah lima tahun tadika itu beroperasi” jelasnya yang menyambung pengajian peringkat ijazah sarjana di University of Queensland, Australia dalam bidang perniagaan.

Melangkah ke alam perkahwinan pada 11 Disember 2013, memberi fasa baharu dalam hidup wanita itu apabila terus-menerus mendapat sokongan untuk bergelar usahawan berjaya.

Tidak cukup dengan tadika, keghairahan Nina Sabrina dalam dunia perniagaan sukar dihalang dengan pembukaan salun pertamanya di Seksyen 7, Shah Alam, Selangor.

Lebih manis kali ini mendapat sokongan kuat suami, malah bagi membolehkan dia mengetahui selok-belok dunia salun, wanita itu sempat mengikuti kursus pendek.

“Amat mengejutkan kerana baru sahaja beroperasi, salun tersebut mendapat sambutan pelanggan sehingga saya sendiri terpaksa mendandan rambut pelanggan kerana kekurangan pekerja.

“Melihat sambutan sebegitu merupakan satu nikmat yang sukar diceritakan selepas gigih berusaha, malah hanya dalam setahun lebih saya dapat membuka tiga buah lagi cawangan salun,” ujarnya.

Ditanya adakah dia mendapat ‘dana’ daripada bapa, akui wanita itu, bukan semudah yang difikirkan.

Seperti orang lain, dia juga perlu menyediakan kertas kerja lengkap bagi meyakinkan pulangan dan keuntungan yang bakal diperoleh.

“Kami adik-beradik tidak hidup seolah-olah ditabur duit, sebaliknya papa mahu kami melakukan sesuatu dengan kesungguhan dan bukan kerana bergelar anak menteri dan sebagainya,” jelasnya. - Gambar AMIR HAFIZ ABDUL RAHMAN

Cinta hati terbaharu 

Tidak berhenti dengan dua bidang perniagaan itu, Nina Sabrina berjinak-jinak pula dalam bidang pembuatan kek dan manisan sejak tiga bulan lalu.

Mengakui langsung tidak mempunyai asas dalam pembuatan kek dan manisan, wanita itu bagaimanapun yakin bidang baharunya itu mampu bertahan dan diterima oleh pelanggan.

Diterajui empat lagi rakan kongsi, iaitu Nursyazanna Syaira, Ashraf Alami, Aiman Jaafar dan Alia Ishak, Fluff Bakery yang terletak di Jalan Tun Muhd. Fuad 2, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur, menawarkan pelbagai pilihan kek, kek cawan dan manisan yang unik.

Ia turut mengangkat cita rasa tradisional seperti kek onde-onde, kek cawan apam balik jagung, kek maple beef bacon, kek ferrero rocher, kek cawan bandung, kek cawan pengat durian dan kek cawan teh tarik.

Akuinya, keinginan membuka kedai kek bermula apabila dia merupakan pelanggan tetap kedai kek berkenaan yang bertapak di Singapura, yang diusahakan Nursyazanna dan suaminya, Ashraf.

“Setiap kali saya mahu makan kek, saya akan ke kedai mereka dan saya sangat sukakan rasa unik yang dihasilkan. Saya pernah mempelawa mereka jika berminat untuk membuka cawangan di Kuala Lumpur.

“Tidak sangka mereka bersetuju dan akhirnya kami berjaya membuka kedai kek ini dengan tanggungjawab untuk memasarkan dan mempromosi diberi kepada saya memandangkan saya mempunyai ramai pengikut di laman media sosial,” katanya pernah menjual 1,000 biji kek cawan dalam masa setengah jam.

Mengakui keenakan dan keunikan rasa membolehkan kedai kek ini mendapat sambutan baik daripada pelanggan. Menu kek dan kek cawan yang bertukar setiap dua minggu sekali juga antara tarikan utama, selain dekorasi kedai yang cantik dan selesa.

“Kek dibuat segar setiap hari. Kami mempunyai tujuh orang pembuat kek dan tiga pekerja di bahagian kaunter,” ujarnya.

Mahu jadi seperti papa

Mengakui sikap dan perangainya lebih cenderung seperti 
bapa, tegas Nina Sabrina, 
dia mahu mencontohi keperibadian bapanya yang kuat bekerja, namun sangat mementingkan keluarga dalam apa jua keadaan.

Akui wanita itu, sebagai ahli politik dan menteri kabinet, bapanya mempunyai masa terhad bersama keluarga, tetapi tidak pernah melupakan hari istimewa setiap anak-anak dan isteri termasuk sambutan hari sukan sekolah, hari lahir, hari keluarga dan hari ulang tahun.

“Saya mahu jadi seperti papa yang kuat bekerja dan apabila pulang dia merupakan seorang ayah yang hebat kepada anak-anak dan suami yang baik kepada isteri,” jelasnya yang percaya mempunyai pendapatan sendiri lebih memberi kepuasan.

Ketika ditanya, adakah keterujaan dalam perniagaan mungkin terhenti selepas melahirkan anak sulung yang dijangka pada November ini, akui wanita itu, dia tidak pasti, namun kemungkinan akan memperlahan sedikit aktiviti perniagaannya.

“Saya tidak melihat diri saya seorang wanita yang terlalu mementingkan kerjaya daripada keluarga, cuma saya boleh katakan yang saya sangat 
seronok bergelar usahawan.

“Saya mempunyai banyak perancangan untuk terus menempa kejayaan dalam bidang perniagaan baharu lain,” katanya tidak bercadang untuk menceburi politik.

Namun, sebagai anak dia akan sentiasa berada di belakang bapanya terutama dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatan.