Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Nilai eksklusif gulungan kertas

Wan Najmiyyah Wan Adnan menunjukkan sebahagian daripada karya 3
Wan Najmiyyah Wan Adnan menunjukkan sebahagian daripada karya quillingnya.

Masih baru tetapi semakin mendapat tempat dalam kalangan pencinta kraf tangan di negara ini.

Hakikatnya seni menggulung quilling muncul sejak zaman Renaissance lagi apabila, paderi Perancis dan Itali pada waktu itu membuat quilling bagi menghiasi kulit buku dan barangan agama.

Ia adalah salah satu daripada seni kraf tangan yang tidak memerlukan perbelanjaan tinggi dan dapat merehatkan minda.

Wan Najmiyyah Wan Adnan, 38, mengenali seni quilling ketika melayari Internet dan mula jatuh hati terhadap kraf tangan itu. Dia mula mencari maklumat dan membuatnya.

Belajar sendiri tanpa berguru, Wan Najmiyyah mendapati seni ini semakin menyeronokkan.

Pada peringkat awal, dia hanya membuat quilling yang ringkas seperti bunga dan tumbuh-tumbuhan. Setelah agak bosan dengan kedua-duanya, dia mula mencuba membuat quilling yang lebih besar dan moden seperti tipografi (tulisan), wajah manusia dan haiwan.

Sudah mengetahui apa yang diminati, kini pensyarah Bahasa Inggeris di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, Terengganu ini, memilih untuk lebih menumpukan perhatian pada tulisan rumi dan jawi.

Sudah 10 tahun sejak dia mula tertarik dengan quilling kerana kraf ini tidak memerlukan banyak perbelanjaan, hanya menggunakan kertas dan beberapa peralatan sahaja. Masalahnya cuma sukar hendak mendapatkan rujukan mengenai kraf ini.

Sekarang bercuti belajar kerana menyambung pengajian pada peringkat doktor falsafah, dia tetap memperuntuk masa untuk membuat quilling pada masa senggang.

“Semua orang boleh mencuba membuat quilling kerana apa yang diperlukan ialah kertas berwarna-warni dengan ketebalan di antara 120 hingga 150 gsm. Namun terdapat juga kertas quilling biasa dengan ketebalan di antara 70 hingga 80 gsm dan lebih nipis.

“Saya lebih suka menggunakan kertas yang tebal kerana lebih mudah dibentuk. Bentuk quilling diperoleh semasa menggulung kertas ini. Teknik menggulung pula terdiri daripada gulungan ketat, dilonggarkan sedikit dan gulungan longgar.

“Bentuk gulungan ini pula terdiri daripada air mata, marqee, bunga fringes, ros dan banyak lagi. Saya sukakan ros dan ros menjadi identiti quilling saya. Lagi kecil gulungan itu lagi eksklusif.

“Masa akan datang saya ingin menerokai rekaan-rekaan Malaysia seperti songket dan batik, khat dan ayat-ayat yang lebih panjang,” kata Wan Najmiyyah yang membuat quilling lebih kepada hobi namun boleh juga dijadikan sebagai bisnes.

Tambahnya, tempahan yang diterima agak banyak dan membuatnya jika ada masa lapang. Setakat ini, karya krafnya telah sampai ke Emiriah Arab Bersatu (UAE), Singapura, Brunei dan Amerika Syarikat.

Mereka yang dapat menilai keindahan dan kecantikan quilling sanggup berbelanja ratusan ringgit. Misalnya, untuk buku tanda tangan perkahwinan yang harganya antara antara RM400 hingga RM550.

“Harga itu masih rendah berbanding buku yang sama di luar negara dijual sehingga RM1,000.

“Orang ramai perlu faham quilling bukan setakat seni menggulung kertas tetapi memiliki nilai yang istimewa.

“Ia adalah satu seni dan kreativiti yang konsisten. Orang yang benar-benar menghargai seni ini sanggup menempah dengan harga ratusan ringgit dan menunggu sehingga setahun bagi mendapatkannya,” katanya.

Walaupun masyarakat Malaysia masih baru dalam quilling, semakin ramai yang mula menghargai seni ini.

Tidak kurang juga yang meminta Najmiyyah mengadakan kelas. Buat masa ini dia telah mengadakan lebih 20 kelas quilling di Kuala Lumpur dan Singapura.

Bahkan, ada yang sanggup datang dari Indonesia dan Brunei bagi mengikuti kelasnya. Bayaran yang dikenakan bagi seorang pelajar ialah sekitar RM150 hingga RM180 bersama dengan bahan.

Dia juga pernah membuka kelas untuk kanak-kanak dan mengikut kajian yang dijalankan mengenai quilling.

Kanak-kanak boleh fokus sehingga dua jam, yang secara tidak langsung menggalakkan perkembangan kognitif mereka.

Jika mempunyai peluang, dia ingin mempelajari lebih lagi mengenai quilling di luar negara.

Ketika ini quiller (panggilan untuk pembuat quilling) luar negara yang banyak berhubung dengannya melalui dalam talian ialah Farah Al Fardh dari UAE.

Jika ingin melihat lebih banyak hasil seni quilling, Najmiyyah, boleh melayari Instagram, miyyahatkertas.
 - 
Gambar FAIRUZ IZYANA AYUB


Artikel Berkaitan
Artikel Lain
Video Pilihan