Meskipun kita mungkin pernah mendengar sebahagian nama negara ini, tetapi ada negara atau wilayah yang tidak pernah didengar. Ada antaranya cuma berada di atas kawasan yang kecil dan diduduki beberapa buah keluarga.

Rencam minggu ini menyenaraikan lapan negara terkecil di dunia dengan populasi yang lebih sedikit daripada sebuah pekan atau kampung.

Niue

Niue  

Niue  

Niue  merupakan sebuah pulau kecil di Oceania. Ia terletak kira-kira 2,400 kilometer dari timur laut New Zealand dan mempunyai keluasan daratan 260 kilometer persegi. 

Pulau tersebut biasanya disebut sebagai The Rock yang berasal dari nama tradisional Rock of Polynesia. Sebahagian besar penduduk negara tersebut adalah daripada rumpun Polynesia yang jumlahnya dianggarkan sekitar 1,612 orang sehingga November 2016.

Walaupun Niue adalah sebuah negara bebas, sebahagian besar urusan perhubungan diplomatiknya dikendalikan oleh New Zealand. Rakyat Niue juga merupakan warga New Zealand dan hampir 95 peratus warga Niue menetap di New Zealand.

Niue bukanlah anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tetapi diiktiraf sebagai negara bersekutu yang bebas. Niue mempunyai 14 kampung dan ragbi merupakan sukan paling popular di negara tersebut.

Meskipun Niue mempunyai pemandangan yang cantik, pelancongan tidak popular di situ. Ini menyebabkan negara tersebut sangat bergantung kepada bantuan luar terutama dari New Zealand.

Niue mempunyai 14 kampung yang masing-masing diwakili oleh pengerusi yang dipilih. Ibu negaranya, Alofi adalah sebuah kampung kecil dengan populasi kurang daripada 600 orang. Tetapi negara tersebut mempunyai sebuah lapangan terbangnya sendiri serta sebuah pasar raya.

Sealand

Sealand

Sealand

Sealand merupakan satu lagi sebuah negara khayalan. Menariknya, Sealand adalah Menara Roughs iaitu sebuah pelantar di tengah laut yang terletak kira-kira 12 kilometer dari pantai Suffolk, England. Penduduknya cuma 27 orang.

Pelantar tersebut yang dahulunya dikenali sebagai HM Fort Roughs, dibina sebagai platform pertahanan antipesawat oleh British semasa Perang Dunia Kedua.

Sejak 1967, HM Fort Roughs yang telah dilucut tauliah, telah diduduki oleh keluarga dan rakan-rakan Paddy Roy Bates yang mengisytiharkan menara tersebut adalah sebuah negara berdaulat. Bates cuba menjadikan Sealand sebagai sebuah negara pada 1975 dengan mewujudkan perlembagaan dan beberapa simbol negara.

Walaupun dianggap sebagai negara terkecil di dunia, Sealand tidak diiktiraf oleh mana-mana negara. Bates kembali ke darat di waktu tua dan menamakan anaknya, Michael sebagai pengganti.

Bates meninggal dunia pada Oktober 2012 ketika berusia 91 tahun. Michael pula tinggal di Suffolk.

Republik Palau

Republik Palau

Republik Palau

Terletak di bahagian barat Lautan Pasifik, Republik Palau terdiri daripada kira-kira 340 pulau dengan keluasan keseluruhan kira-kira 466 kilometer persegi.

Pulau yang mempunyai kepadatan penduduk tertinggi ialah Koror. Ibu negara Palau ialah Ngerulmud yang terletak di Pulau Babeldaob di negeri Melekeok.

Negara tersebut berkongsi sempadan maritim dengan Indonesia, Filipina dan Negeri Bersekutu Mikronesia. Populasi negara adalah seramai 21,291 orang, mengikut Bank Dunia pada 2015.

Pendatang dari Filipina dikatakan yang pertama membina penempatan di Palau kira-kira 3,000 tahun dahulu dan gugusan kepulauan tersebut didiami oleh populasi Negrito sehingga 900 tahun lalu.

Orang Eropah menjelah kepulauan tersebut pada kurun ke-16 dan dijadikan sebahagian Hindia Timur Sepanyol pada 1574. Susulan kekalahan Sepanyol dalam Perang Sepanyol-Amerika pada 1898, kepulauan tersebut dijual kepada Imperial Jerman pada 1899 dan ditadbir sebagai sebahagian German New Guinea.

Semasa Perang Dunia Pertama, Palau ditawan oleh Jepun dan dijadikan sebagai Mandat Pasifik Selatan. Selepas kekalahan Jepun dalam Perang Dunia Kedua, Palau dijadikan sebagai sebahagian koloni Amerika Syarikat (AS) pada 1947.

Negara tersebut memperolehi kemerdekaan pada 1994. Palau menggunakan mata wang dolar AS sebagai mata wang rasminya dan disebut sebagai greenback.

Saint Kitts dan Nevis

Saint Kitts dan Nevis

Saint Kitts dan Nevis

Negara yang terletak di Caribbean, terdiri daripada dua pulau iaitu Saint Kitts dan Nevis. Negara tersebut merupakan yang paling kecil dari segi populasi dan keluasan di Hempisfera Barat. Saint Kitts and Nevis merupakan antara pulau terawal di Caribbean yang diduduki oleh pendatang Eropah.

Negara itu adalah antara koloni terawal British dan Perancis di Caribbean sehingga digelar sebagai “Ibu kepada Koloni Hindia Barat.” Ibu negara Saint Kitts dan Nevis ialah Basseterre yang terletak di Saint Kitts.

Antara sumber pendapatan utama negara tersebut ialah program kerakyatan ekonomi yang membenarkan sesiapa yang mempunyai sekurang-kurangnya AS$250,000 untuk melabur dalam industri gula, sekali gus mendapat kerakyatan negara tersebut.

Satu lagi kaedah untuk memperolehi kerakyatan ialah dengan membeli hartanah yang bernilai tidak kurang dari AS$400,000 di salah satu pulau tersebut.

Principality of Hutt River
Principality of Hutt River

Principality of Hutt River

Principality of Hutt River adalah sebuah negara Mikronesia yang terletak kira-kira 500 kilometer dari utara Perth, Australia. Principality bermaksud sebuah daerah di bawah pemerintahan seorang putera raja.

Pada 21 April 1970, Putera Leonard George Casley mengisytiharkan Principality of Hutt River sebagai sebuah negara merdeka. Pada 1980-an, Principality of Hutt River mengisytiharkan negara itu sebagai sebuah kerajaan beraja tetapi kembali kepada status principality tidak lama kemudian.

Pada 15 Februari 2017, selepas memerintah selepas 45 tahun, Putera Leonard menyerahkan takhta kepada anak bongsunya, Putera Graeme.

Walaupun negara tersebut tidak diiktiraf oleh mana-mana negara, ia tetap mempunyai mata wang, setem dan pasportnya sendiri.

Republik Molossia

Republik Molossia

Republik Molossia

Molossia juga dikenali sebagai Republik of Molossia. Diasaskan oleh Kevin Baugh pada 30 Julai 1962, Molossia terletak di Nevada, AS. Negara tersebut tidak diiktiraf oleh AS dan PBB.

Ibu pejabat Molossia merupakan rumah Baugh yang terletak berhampiran Dayton, Nevada. Wilayah Molossia cuma meliputi rumah milik Baugh dan kawasan persekitarannya dianggar seluas 0.5 hektar.

Rakyat Molossia pula cuma merangkumi Baugh dan keluarganya serta tiga ekor anjing dan seekor kucing. Molossia juga pernah menuntut kawasan di Pennsylvania sebelum ini.

Nama Molossia berasal dari perkataan Hawai, ‘maluhia’ yang bermaksud ‘aman’ atau ‘selamat’. Baugh menafikan nama Molossia ada kaitan dengan puak kuno Greek, Molossia.

Tuvalu
Tuvalu

Tuvalu

Tuvalu merupakan antara negara terkecil dan termiskin di dunia. Keadaan ekonomi negara kecil itu mungkin lebih teruk sekiranya Tuvalu tidak diberikan domain Internet .tv, yang menyumbang jutaan dolar setahun kepada bajet negara tersebut.

Negara tersebut dahulunya dikenali sebagai Kepulauan Ellice. Ia merupakan sebuah pulau yang terletak di Lautan Pasifik di antara Hawaii dan Australia. Tuvalu mempunyai populasi sekitar 10,640 orang dan keluasan keseluruhan negara tersebut ialah 26 kilometer persegi. Orang Polynesia merupakan penduduk pertama yang menghuni negara itu.

Principality of Seborga

Principality of Seborga

Principality of Seborga

Principality of Seborga merupakan sebuah negara yang tidak diiktiraf kewujudannya. Principality of Seborga yang mengamalkan sistem monarki mengisytihar penubuhannya pada 1963.

Negara tersebut hanya mempunyai keluasan 14 kilometer persegi dan terletak di barat laut Liguria, Itali yang terletak berhampiran sempadan Perancis dan kira-kira 35 kilometer dari Monaco. Negara tersebut sebenarnya adalah sebuah kampung bernama Seborga.

Negara tersebut mempunyai pasukan tentera sendiri tetapi hanya terdiri daripada tiga orang iaitu seorang menteri pertahanan dan dua orang pengawal sempadan.

Menariknya, walaupun mengamalkan sistem monarki, pelantikan ketua negara bukanlah secara warisan tetapi melalui pilihan raya yang dibuat setiap tujuh tahun.

Sejak penubuhannya, Principality of Seborga diperintah oleh dua orang iaitu Putera Giorgio 1 yang menduduki takhta dari 14 Mei 1963 hingga 25 November 2009 dan Putera Marcello I dari 25 April 2010 hingga sekarang. Negara tersebut juga mempunyai mata wang sendiri yang dikenali sebagai Seborga luigino.