Mohd. Syarafi Sudarmaji, 27, tidak menolak semua gambaran tersebut namun ada sesuatu yang berbeza mengenai dirinya, kerana selain memperaga pakaian, dia memiliki perniagaan berbeza dengan kerjayanya sebagai model.

Berasal dari Kuantan, Pahang, anak kedua daripada tujuh beradik ini memiliki perniagaan katering yang diusahakan bersama ibu dan isterinya, Syakila Abd. Latiff, 27.

Bertemu dengannya baru-baru ini, bapa kepada seorang anak lelaki, Umar Al-Amsyar, 3, ini berkata, perniagaan katering SNS Katerer yang telah empat tahun diusahakan di Kuantan, merupakan sumber pendapatan utama yang turut membantu ibu, ayah dan saudara-mara.

Pendapatan yang diperoleh dapat diberikan kepada ibu dan bapa serta peluang pekerjaan kepada saudara-mara pada hujung minggu.

Jika pada hari-hari biasa, dia menjalani rutin sebagai seorang pegawai di sebuah bank di Kuantan, pada hari Sabtu dan Ahad pula dia sibuk menguruskan majlis perkahwinan pelanggan.

Mohd. Syarafi akan berada di majlis berkenaan bagi memastikan jamuan makan jemputan mencukupi, selain memastikan pekerja katering menjalankan tugas dengan cekap dan majlis berjalan dengan lancar.

Pada waktu malam, sekiranya ada pelanggan yang memerlukan khidmat kateringnya, dia turut melakukan kerja-kerja pemasaran dengan bertemu pelanggan.

Jika ada penggambaran fesyen atau produk, dia juga akan melakukannya pada waktu malam dan pada hujung minggu.

“Kerja-kerja memasak dan membeli barang untuk katering dilakukan oleh ibu. Isteri turut membantu kerja-kerja yang ringan. Walaupun berniaga katering ini agak memenatkan namun saya seronok melakukannya.

“Walaupun mempunyai pekerjaan tetap, namun itu bukan halangan untuk saya melakukan beberapa pekerjaan lain asalkan bijak membahagikan masa dan tidak mengganggu pekerjaan.

“Melalui peragaan juga saya dapat mempromosikan bisnes apabila menjadi model untuk butik-butik pengantin yang kemudian akan memperkenal SNS Katerer kepada pelanggan mereka pula,” katanya.

Apabila ditanya pendapatnya mengenai ada perkhidmatan katerer yang menipu pengantin dengan mengambil bayaran pendahuluan tetapi tidak datang pada hari majlis, Mohd. Syarafi berkata, itu tidak sepatutnya berlaku kerana akan memburukkan nama katerer-katerer lain.

Bak kata pepatah, akibat nila setitik habis rosak susu sebelanga, hanya kerana sebuah katerer yang tidak bertanggungjawab membuatkan katerer lain juga sukar dipercayai.

Kata Mohd. Syarafi, dia kesal kerana terdapat katerer yang tidak amanah dan tergamak menipu pelanggan.

Bagi dirinya, adalah penting menjaga nama baik kerana mahu berniaga lama dan tidak mahu nama syarikat kateringnya disebut-sebut orang kerana menipu.

Ujarnya, bakal pengantin juga perlu turun padang apabila ibu bapa mengadakan perbincangan dengan katerer bagi kebaikan semua pihak.

Jelasnya, walaupun sibuk dengan pekerjaan namun mereka harus meluangkan masa berjumpa dengan katerer.

“Saya sangat menekankan khidmat yang baik dan berkualiti supaya pelanggan akan terus mengambil perkhidmatan saya bukan hanya untuk perkahwinan anak pertama pelanggan, malah untuk anak-anak yang seterusnya,” katanya. - Gambar NOOR AZLINA JAAFAR

Mr. Pahang pencapaian tertinggi

Baru bergelar Mr. Pahang 2017 pada Malam Fesyen Perkahwinan Kuantan (KWFN) pada bulan Disember tahun lalu, anjuran Komter Studio yang diadakan di Kompleks Teruntum, Kuantan Pahang.

Gelaran tersebut merupakan pencapaian tertinggi bagi Mohd. Syarafi.

Pertandingan berkenaan merupakan pencarian model lelaki di seluruh Pahang.

Juara akan dilantik sebagai duta bagi mempromosikan busana pengantin dalam pertunjukan fesyen pengantin yang diadakan di pusat beli-belah itu.

Aktif menjadi model sejak berumur 19 tahun, segalanya bermula apabila dia dipilih oleh sebuah butik pengantin bagi memperaga busana pengantin butik tersebut.

Pada awalnya, kerjaya ini hanya sebagai hobi namun oleh kerana mendapat banyak tawaran, dia meneruskan minat ini dan berpeluang menjadi model bagi banyak produk seperti minyak wangi, fesyen pakaian dan jam tangan.