Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Mr. Creampuffs tolak jawatan pensyarah

Adri Akmal  yang juga dikenali sebagai Mr. Creampuffs bersama 2
Adri Akmal yang juga dikenali sebagai Mr. Creampuffs bersama hasil karyanya.

Bermula dengan suka-suka, sekadar memenuhi tempahan jiran-jiran berdekatan rumah dan rakan-rakan, akhirnya membawa kepada bidang yang memberinya pendapatan tetap kepada anak muda ini dalam pembuatan kek dan kulinari.

Dikenali sebagai Mr. Creampuffs ketika berinteraksi bersama pengikutnya menerusi laman sosial Facebook dan Instagram, pemilik nama Adri Akmal Mhd Arif, 27, kini telah berjaya membawa namanya di media sosial dan menjadi ikutan mereka yang berminat untuk berkongsi resipi dengannya.

“Saya memang tidak lokek dengan ilmu, semua resipi saya kongsikan bersama pengikut atau sesiapa sahaja yang mahu mencuba untuk membuat kek atau hidangan lain.

“Tempahan kek dan kuih-muih lain memang sentiasa ada. Ia membuatkan saya tidak menang tangan dan terpaksa mengupah seorang pembantu,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Desa Pandan, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sekiranya dilihat kepada latar belakang, anak bongsu daripada dua orang adik-beradik ini, memilih melanjutkan pelajaran ke Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Melaka, dari 2008 hingga 2012, dalam bidang kulinari, biarpun pada masa sama menerima tawaran ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam jurusan seni reka.

Anak muda berasal dari Kota Bharu, Kelantan ini memberitahu, selepas mendapat diploma kulinari dari IKBN, dia bekerja sebagai pensyarah dalam bidang kulinari di sebuah kolej swasta di Ampang, Selangor.

“Saya mengajar di situ selama tiga tahun. Namun, dalam tempoh berkenaan, saya berasa sangat penat dan kurang mendapat rehat, sehinggakan ibu bapa saya juga tidak mendapat perhatian sewajarnya.

Ini kerana, di sebelah siang saya mengajar, manakala balik kerja pula menyiapkan tempahan sehingga lewat malam.

“Setelah berfikir panjang, saya mengambil keputusan untuk berhenti mengajar dan menumpukan sepenuh perhatian kepada kulinari beroperasi dari rumah kerana permintaannya amat menggalakkan,” katanya.

Melihat daripada caranya terlibat dengan bidang kulinari mungkin ramai yang menyangka anak muda ini lebih suka berada di dapur dan tidak sukakan aktiviti lasak.

Nyata telahan itu kurang tepat kerana dia sebenarnya berjiwa kental, bahkan ketika di kolej banyak menghabiskan masa bersukan terutama badminton, mendaki bukit dan sukan ragbi.

Sehingga kini dia masih dengan aktiviti-aktiviti berkenaan sekiranya berkelapangan setelah menyiapkan tempahan pelanggan.

Dahulu ketika bergelar pensyarah, dia perlu mempunyai banyak pengetahuan dalam pelbagai jenis masakan, yang kini diaplikasikan ketika menerima tempahan sama ada secara tradisional, kuih-kuih moden dan terkini mengambil pek-pek makan tengah hari.

Antara tempahan-tempahan ‘wajib’ yang diterimanya ialah krim paf (creampuff), puding trifle, kek lobak merah, kuih bakar mini, kek-kek hari jadi, kek pisang dan sebagainya dan tempahan akan bertambah menjelang musim-musim perayaan.

Bagi membolehkan dia ‘berkarya’ dalam bidang kulinari sepenuhnya, Adri Akmal sanggup membina sebuah dapur khas di tepi biliknya, yang dilengkapi dengan bahan-bahan untuk membuat kuih, dapur, alat pembakar, peti ais dan peralatan lain.

“Sekarang saya berasa kehidupan semakin terurus.Biasanya, sebelah malam saya jadikan waktu untuk berehat, tetapi tidak bermakna saya menolak pelanggan yang ingin membuat tempahan.

“Pukul berapa pun mereka datang saya terima, biarpun mereka inginkan kek itu siap pukul dua atau empat pagi, saya akan usahakan,” kata Adri Akmal yang boleh dilayari aktivitinya di Facebook dan Instagram, mr_creampuffs.

Adri Akmal mengakui sedang dalam proses membina sebuah bakeri sendiri untuk memperbesar lagi perniagaannya dan tidak kisah dengan persaingan yang ada dalam bidang ini kerana baginya semua orang ada kelebihan masing-masing dan pelanggan pasti akan mencari yang terbaik.

 

Artikel Berkaitan
Artikel Lain
Video Pilihan