Baginya, membuat kerja-kerja kraf tangan amat menyeronokkan apatah lagi setelah melihat hasilnya mendapat pujian orang.

Bersandarkan kepada minat tersebut, ibu kepada dua orang anak lelaki ini membuka sebuah kedai kraf tangan di Seksyen 13, Shah Alam, Selangor yang dinamakannya Ty Gallery.

Kedai ini bukan sahaja berbentuk galeri perkahwinan tetapi turut menerima tempahan apa sahaja daripada pelanggan seperti cenderahati, hadiah korporat, hamper, cukur jambul dan banyak lagi.

Kini telah tiga tahun beroperasi, kata Norhayati, dia seronok dan gembira kerana perniagaan ini berjalan dengan lancar walaupun baginya hanya dijalankan secara suka-suka sahaja.

Ujarnya, dia bertuah kerana minatnya pada kraf tangan datang sendiri dan tidak perlu belajar di mana-mana. Dengan melihat sahaja sesuatu hasil kraf tangan seperti bunga telur, bunga pahar, gubahan bunga dan sebagainya, dia sudah boleh membuatnya sendiri.

“Kebiasaannya idea membuat kraf tangan ini saya cipta sendiri. Kemudian saya akan perbaiki sedikit dan menunjukkan kepada pelanggan jika mereka bersetuju dengan idea saya.

“Saya banyak menerima tempahan membuat bunga telur dan bunga pahar. Bunga-bunga kraf tangan ini dihasilkan berbeza daripada orang lain kerana saya lebih suka menggunakan fabrik yang nampak klasik dan tradisional seperti songket, broked dan ada juga syifon.

“Bunga-bunga ini nampak lebih cantik, menarik dan orang yang menerimanya juga seronok dijadikan hiasan di rumah. Bunga seperti ini tahan lebih lama dan mempunyai nilai tersendiri. Trend terkini bunga pahar ialah bunga kristal celup yang tampak begitu eksklusif.

“Saya lebih suka membuat sesuatu yang boleh dijadikan kenangan dan disimpan sebagai perhiasan. Ramai yang memilih kotak dan beg kertas tetapi selepas majlis, ia akan dibuang.

“Sebelum memulakan sesuatu projek majlis seperti perkahwinan, saya dan pelanggan akan berbincang dahulu. Saya akan bertanya konsep pelanggan dan bertanyakan temanya, membuat contoh pelamin, hantaran dan sebagainya yang boleh dipilih.

“Selepas kedua-dua pihak bersetuju, barulah saya dan pekerja-pekerja akan menyiapkan segala tempahan sehingga hampir tarikh majlis diadakan.

“Mengenai pelamin, orang menyukai pelamin yang ada juntaian kain di bahagian belakang pelamin. Warna lembut dan putih banyak mendapat permintaan kerana mudah dipadankan dengan dekorasi pelamin dan perhiasan,” kata Norhayati yang ditemui baru-baru ini.

Dia menambah, mengenai trend cenderahati perkahwinan pada masa kini, orang lebih sukakan cenderahati berbentuk botol yang diisi dengan kekacang dan biskut atau kandi. Ini lebih memudahkan kerana persiapan boleh dilakukan lebih awal dan tidak dibuat pada waktu akhir.

Katanya, trend memberikan bunga telur sebagai cenderahati semakin dilupakan kerana kerja-kerja menyiapkan bunga telur sangat remeh dan tidak boleh dibuat awal.

Bagaimanapun supaya tidak terus melupakan bunga telur, Norhayati akan menyarankan kepada pelanggannya supaya meletakkan telur pada bunga pahar yang boleh diberi kepada tetamu-tetamu khas yang merenjis pengantin.

Menurut Norhayati, pelanggan-pelanggannya bukan sahaja di sekitar Shah Alam, Lembah Kelang dan Selangor malah dia turut menerima tempahan dari Johor, Terengganu dan Pahang.

Keindahan pelamin dan cenderahati rekaannya membuatkan dia turut menjadi pilihan pelanggan yang mengadakan majlis perkahwinan di hotel dan lokasi yang eksklusif seperti di Seri Carcosa Negara, Hotel Prince, Tropicana, KLGCC, Restoran Bora Ombak, Hotel Bluwave dan Hotel Concorde.