Itulah rutin harian yang dilakukan oleh Noor Sila Kharuddin, 32, dalam usaha mengekalkan warisan Melayu dan pada masa sama menjana pendapatan.

Melihat caranya membentuk, mewarna, dan mencorak tanah liat dari awal hingga akhir seolah-olah satu pekerjaan yang mudah.

Hakikatnya anak kelahiran Padang Rengas, Perak, ini memberitahu, dahulunya dia tidak pernah menyukai pekerjaan tersebut.

Bagaimanapun, segala-galanya berubah apabila hasil kerja tangannya yang pertama dibeli pengunjung walaupun tidaklah secantik yang dihasilkan oleh ibunya.

Bermula dari saat itu, Noor Sila atau lebih mesra disapa Ila kerap membantu ibunya melayan setiap kunjungan, baik rombongan pelajar sekolah atau dari pejabat kerajaan, swasta mahupun orang perseorangan.

Hari ini dengan hanya berbekalkan ilmu yang ‘diperturun’ ibunya, Saidah Pandak Sidek, 59, dan melalui pemerhatian sendiri, anak keempat daripada tujuh beradik ini dilihat satu-satunya pewaris perusahaan labu Sayong yang diusahakan sejak tahun 2001.

Gembira dengan apa yang dilakukannya hari ini, Ila bercerita, dia mula serius dengan perusahaan tersebut setelah menamatkan pengajian dalam bidang multimedia.

Percaya bahawa segala-galanya telah diaturkan-Nya, Ila mengambil keputusan untuk menyambung perusahaan tersebut bersama-sama ibunya.

Katanya, memang ada cita-cita mengembang dan melebarkan lagi sayap perniagaan sedia ada ke peringkat lebih tinggi.

Namun, buat masa ini kemampuan perusahaannya agak terhad dalam memenuhi permintaan pasaran disebabkan kekangan modal dan tenaga kerja.

“Buat masa ini saya dan emak sahaja yang bekerja menyiapkan tempahan. Setiap hari kami bekerja dari pukul 8.30 pagi hingga 6 petang. Sekiranya tempahan yang diterima banyak terutama untuk kenduri kahwin, kami berdua terpaksa bekerja hingga ke malam.

“Begitupun, alhamdulillah apa yang kami lakukan sekarang, selain dapat memberikan pendapatan bulanan pada masa sama membantu memelihara warisan bangsa,” ujarnya ketika ditemui di bengkel perusahaannya yang terletak di No. 141, Kampung Paya Lintah, Padang Rengas, Perak, baru-baru ini.

Dia ditemui ketika siri Program Jelajah Kraf Satu Daerah Satu Industri (SDSI) Peringkat Negeri Perak, anjuran Kraftangan Malaysia baru-baru ini.

Mampu mencecah pendapatan sehingga RM3,000 sebulan, hari ini Ila bukan sahaja mengeluarkan produk labu untuk bekas air, bahkan produk-produk lain seperti bekas telur, labu mini, tempayan, lampu tidur, bekas habuk rokok dan landskap air terjun.

Ila berkata, dalam tempoh masa sejam mampu menghasilkan 100 biji bekas telur dan labu mini.

Bagaimanapun, pemegang diploma dari Kolej Universiti Teknologi Antarabangsa Twintech itu menjelaskan, perusahaannya bergantung penuh kepada keadaan cuaca.

Ini kerana, produk-produk yang dihasilkan daripada tanah liat perlu dikeringkan dalam cuaca cerah dan panas terik.

Jika tidak, akan mengambil masa berhari-hari untuk keringkan, membuatkan akan menjadikan semua kerja tertunda.

Memperoleh tanah liat dari Kampung Kepala Bendang, mukim Sayong di Kuala Kangsar, Ila memperuntuk RM300 untuk 50 guni kecil tanah liat sehari.

Hari ini, perusahaan yang telah didaftarkan bawah D’ZNS Enterprise, yang juga merupakan usahawan bawah Kraftangan Malaysia, merupakan salah satu destinasi Jelajah Kraf Projek Satu Daerah Satu Industri, Kuala Kangsar, Perak.

Kepada mereka yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut produk-produk yang dihasilkan Noor Sila bolehlah layari media sosial Facebook Labu Sayong Kuala Kangsar. - Gambar NOOR AZLINA JAAFAR