Selagi hayat masih ada dan sihat tubuh badan, bekas pengarang ini perlu diberi penghormatan dan penghargaan ketika mereka masih hidup.

Pengarang Wanita ketika ini, Nor Asmah Zakaria berkata, selalunya masyarakat menghargai atau memberi penghormatan apabila individu yang pernah berjasa berkenaan sudah tiada.

“Malah, mereka diberi pangkat dan gelaran biarpun mereka telah pergi meninggalkan kita.

“Insan bergelar pengarang umpama Unsung Hero. Mereka tidak diraikan mahupun didendang, tetapi jasa dan pengorbanan mereka amat bermakna kepada agama, bangsa dan negara.

“Mereka bukan sekadar melaporkan berita atau rencana, sebaliknya menyalurkan ilmu bermanfaat yang dapat membentuk sahsiah dan budi bangsa serta masyarakat.

“Jika bukan kami yang memulakannya, siapa lagi yang akan memulakan? Pengiktirafan sebegini adalah sesuatu yang baik untuk dikenang jasa dan usaha mereka dalam membangunkan industri majalah tanah air,” ujarnya.

Kata Nor Asmah, jika diimbau sejarah silam, 10 bekas pengarang Wanita ini mempunyai kekuatan dan keistimewaan yang tersendiri dalam mencorak pengisian majalah terulung itu.

Biarpun pada mulanya, Wanita hanyalah sebagai bahan bacaan ringan, tetapi telah berkembang menjadi sumber rujukan untuk wanita pelbagai profesion.

Sekali gus, ia menjadi manifestasi kepada pembangunan wanita di Malaysia sehingga mampu bertahan hampir lima dekad.

Menelusuri sejarah, terbitan majalah Wanita bertitik tolak daripada cetusan idea semasa seminar penulis-penulis wanita di Dewan Perkumpulan Wanita anjuran Utusan Melayu pada Mac 1969.

Kumpulan penulis wanita berasakan perlu adanya satu bahan bacaan atau majalah khusus untuk tatapan kaum hawa.

Justeru pada tanggal 13 Ogos 1969, lahir majalah Wanita yang mana isi kandungannya hampir sepenuhnya membawa isu dan aspirasi golongan wanita.

Majalah tersebut mencatat sejarah tersendiri pada Mac 1981 apabila berjaya menjadi majalah pertama di negara ini yang memperoleh edaran tertinggi, iaitu 103,862 naskhah.

Terus mendapat tempat di hati pembaca, jualan kian meningkat apabila mencapai edaran sebanyak 200,000 naskhah pada 1988, dengan jumlah pembaca bertambah sehingga mencatat 604,000 orang.

Kini setelah 48 tahun berada di pasaran, Wanita bukan lagi wadah bacaan yang berkisar kepada kaum hawa semata-mata.

Dengan pengisian yang lebih holistik, penghias kulit yang anggun lagi berkonsep, berketrampilan, kisah eksklusif, isu semasa dan sensasi antara kekuatan yang menjadi tarikan pembaca.

“Meskipun saya tidak pernah bekerja bawah seliaan mereka secara langsung, saya amat menghargai perjuangan kesemua bekas pengarang terdahulu yang saya anggap sebagai sifu dalam menerajui Wanita pada masa kini.

“Bekas pengarang ini adalah nadi kekuatan dan tulang belakang yang menjadikan bahan bacaan ini terkenal sejak tahun 1969 sehingga kini,” kata.

Nor Asmah turut berpendapat, dalam era langit tanpa sempadan dan ledakan media sosial, Wanita turut menghadapi saingan hebat dengan media baharu sejak hampir lima tahun lalu.

Namun, dengan langkah proaktif yang akan dan telah diambil dia yakin survival majalah dan media cetak dapat dipertahan, sekali gus menjadikan Wanita, antara majalah kekal relevan.

Majlis gemilang

Majlis 48 tahun Wanita telah disambut dengan meraikan 12 anugerah ikon-ikon penghias kulit hadapan.

Kemuncak majlis, buat julung kali diperkenal Anugerah Tokoh Wanita (ATW) yang didedikasikan kepada isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, yang hadir sebagai tetamu kehormat.

Hadir sama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri.

Turut hadir Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas; Ketua Pengarang Kumpulan, Datuk Abdul Aziz Ishak; Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan, Datuk Othman Mohamad; Pengerusi Eksekutif DSN Group, Datuk Seri Mohamad Suparadi Md. Noor; Pengasas Produk Sweedskin, Datin Seri Siti Noor Asikin Muhammad; dan Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pengarang Majalah Utusan Karya Sdn. Bhd., Arffin Nordin.

Berkonsepkan minum petang, majlis itu telah mendapat tajaan utama daripada produk kecantikan Sweedskin keluaran SNA Wellness Internationsl Sdn. Bhd yang juga merupakan syarikat bawah DSN Group, selain Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, serta Mimosa Fabrics.

Para tetamu turut dihiburkan dengan persembahan tarian pembukaan daripada kanak-kanak Aura Tari, peragaan pentas fesyen dari Mimosa Fabrics dan nyanyian daripada artis terkenal, Siti Sarah dan Dayang Nurfaizah.

Tetamu yang bertuah turut membawa pulang hadiah cabutan bertuah berupa pakej percutian ke Turki, baucer penginapan hotel, kad pembelian barangan berjenama, barang elektrik dan pelbagai hadiah menarik lain.