Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Mencari kebahagiaan punca suami kahwin lagi

“SEMUA lelaki berpendapat mereka mempunyai sebab-sebab tersendiri untuk berpoligami. Berjaya atau tidak, berani atau takut semuanya terletak di tangan lelaki. Kalau tak ada sebab pun suami yang berhajat berkahwin lebih daripada satu akan mengadakan atau mencari-cari sebab untuk membenarkan keinginan mereka berkahwin lagi.

“Sebagai isteri sudah pasti menentang hasrat suami mereka. Peperangan, pertengkaran demi pertengkaran dan berakhir dengan perang dingin sudah pasti berlaku. Bukan setakat dengan isteri, tetapi lebih teruk dengan anak-anak. Namun itu semua tidak mematahkan hasrat si suami hendak kahwin lagi.

“Bagaimana pun akhirnya bukan suami yang jadi mangsa, tetapi isteri baru bukan sahaja dilemparkan pelbagai tuduhan, malahan maki hamun, ugutan dan cercaan. Saya tak bercakap pasal wanita lain, tetapi saya sendiri yang menjadi mangsa kerana sudi jadi isteri kedua.’’ Itu cerita Ariyanawati ketika menghubungi penulis bertanya tentang KSIT baru-baru ini.

“Saya jadi mangsa cacian bukan ketika berita perkahwinan kami sampai ke telinga mereka kira-kira 12 tahun lalu, malah hingga kini walaupun suami saya sudah tiga tahun meninggal dunia. Mereka tidak pernah puas hati apa lagi terima saya, malah, keturunan dan negeri saya pun turut menjadi mangsa cacian mereka.

“Sepanjang hidup, tidak pernah terlintas atau terfikir saya ingin ambil apa lagi merampas suami orang. Saya datang ke negeri ini kerana hendak bekerja.

“Saya dapat tawaran dari saudara yang baru balik dari Semenanjung mengkhabarkan kilang tempat dia bekerja ingin mengambil ramai pekerja. Tertarik dengan peluang itu saya ikut saudara datang ke semenanjung menumpang di rumahnya untuk bekerja.

“Memang kami bukan orang senang, kampung pun jauh di pendalaman, tetapi bila saya lihat banyak perubahan pada diri saudara saya itu, maka saya ingin menjadi sepertinya. Berani cuba mencari nafkah di tempat orang. Di kampung saya lulus SPM sudah dua tahun menganggur sebab tak ada kilang apa lagi projek-projek besar macam di Semenanjung.

“Duit memang tak ada, tetapi emak terpaksa jual gelang pusaka nenek untuk saya buat tambang dan makan. Takkan tumpang rumah saudara, makan pun minta dia tanggung. Nasib menyebelahi saya, saya dapat kerja kilang tersebut. Dengan duit yang sedikit saya berjimat sementara dapat gaji dua minggu sekali.

“Setelah tiga tahun bekerja ketika umur mencecah 24 tahun saya berkenalan dengan seorang lelaki yang pada awalnya saya panggil pakcik Aman sebab melihat dari wajahnya kelihatan tua.

“Kami kenal sebab dia sering memerhatikan pekerjanya membaiki longkang, bersihkan bangunan dan kawasan keliling kilang. Perkenalan kami bermula apabila Aman secara tidak langsung perkenalkan pembantunya dan berkahwin dengan saudara saya.

“Ketika menjadi saksi barulah saya tahu umurnya baru 50 tahun, dan kerana saudara saya panggil dia abang, maka saya pun panggil abang juga. Saya perhatikan dia baik dan dan dari situ kami kenal lebih rapat, sebab sering bertandang ke rumah saudara saya di mana saya menumpang.

Akhirnya dia melamar saya jadi isteri keduanya. Terkejut saya! Memang saya tak berani sebab saya tahu bahana yang bakal saya tempoh nanti. Tetapi Aman beri jaminan dia tidak akan menganiaya saya.

“Sebelum terima lamarannya saya tanya tentang hubungannya dengan anak isterinya, katanya hubungan mereka baik. Jadi kalau dah baik, mengapa mesti kahwin lagi? Jagalah isteri baik-baik. Katanya ‘baik’ bukan bermaksud isterinya jahat, sebaliknya sudah dingin, isterinya lebih pentingkan anak cucu daripada dirinya.

Isterinya sudah dilengkapkan dengan segala apa yang diingininya, jadi sampailah masa dan ketikanya dia ingin menggembirakan dan membahagiakan dirinya sendiri. Dan setiap lelaki punya sebab mereka tersendiri untuk berpoligami yang sukar untuk diceritakan keinginannya kepada orang lain.

“Saya tanya lagi apakah dia mampu berpoligami? Katanya dia ada tiga orang anak, semuanya sudah bekerja, yang sulung sudah berkahwin dan ada seorang anak. Katanya lagi perniagaannya bukan satu malah tiga. Tetapi dia pilih datang ke kilang tempat saya bekerja, sebab dia rasa selesa tambahan pula satu syarikat lagi diuruskan oleh anak sulungnya atas permintaan isterinya.

“Dari perbualan kami Aman tidak pernah memburuk-burukkan isterinya, semuanya baik, tetapi katanya dia hendak kahwin lagi sebab dia ingin mencari kebahagiaannya sendiri, biarlah di hujung nyawanya dia dapat merasakan kebahagiaan.

“Memang sedih bila dia cakap seperti itu, tetapi dia tidak pernah ceritakan mengapa dia tidak bahagia dengan isteri dan anak-anaknya.

Amaran

“Katanya dia hanya beritahu isterinya setelah dia berkahwin. Dan dia sedar perkahwinan ini datang bersama tanggungjawab. Dia telah laksanakan tanggungjawab itu dengan isteri pertama dan dengan sedikit kekuatan yang ada dia akan penuhi tanggungjawabnya dengan saya, jika sudi jadi isteri keduanya, dan dia tidak akan menceraikan isterinya.

“Akhirnya kami berkahwin di sempadan, katanya dia ingin menjaga hati isterinya, selepas ini dia akan beritahu.

“Sudah pasti perkahwinan kami banyak masalah. Bukan sahaja isteri, malah anak-anak ikut sama menyerang dan memaki hamun saya. Berita sampai ke telinga Aman. Lepas itu keadaan jadi aman, saya tidak diganggu lagi.

“Rupanya Aman beri amaran jika isterinya mahu bercerai maka dia mesti sedia terima bahawa semua hartanya tidak akan jadi milik mereka lagi, akan dibahagi ikut kehendaknya. Sebab semua rumah, tanah dan syarikat atas namanya.

Amaran Aman lagi rumah banglo yang mereka duduk sekarang bukan lagi jadi milik mereka jika tak mahu terima saya, sebaliknya mereka akan diberi rumah lain. Dia tidak perlu beri nafkah sebab anak-anak sudah bekerja,

“Kata Aman dia tidak pernah berhasrat hendak ambil semua harta yang ada, sebaliknya itu jadi milik isteri pertamanya. Lainlah jika bercerai. Untuk saya dia akan berikan rumah lain jika ada rezeki. Kami kemudiannya dapat hidup aman, dan saya kemudiannya melahirkan tiga orang anak. Memang Aman suami yang bertanggungjawab.

“Walaupun ada dua rumah, tetapi dia tetap balik rumah isteri tuanya, walaupun kehadirannya tidak berapa disenangi oleh isteri dan anak-anaknya. Terutama setelah Aman beri amaran tentang harta yang menjadi milik mereka selama ini. Kata Aman dia amat sedih dengan kerenah isterinya yang lebih sayangkan harta yang dia miliki daripada suaminya.

“Kata Aman dia kahwin lagi bukan bermakna tak sayangkan isterinya, tetapi dia ingin cari kebahagiaan sendiri setelah dia berhempas pulas beri kesenangan hidup kepada keluarganya. Nak cerai boleh, tetapi mereka akan rugi. Itu amaran Aman kepada isteri dan anak-anaknya.

“Amaran Aman memang dapat beri ketenangan kepada saya tetapi untuk sementara sahaja. Kerana selepas 10 tahun berkahwin, ketika anak-anak masih kecil Aman meninggal dunia. Gelap dunia saya ketika itu, sebab tidak bekerja lagi, tidak ada punca pendapatan. Bagaimana saya hendak membesarkan anak-anak.

“Tetapi saya bersyukur Aman sempat menyiapkan sebuah rumah untuk saya yang dibina di atas sekeping tanah yang diberinya untuk saya. Di tepi rumah saya itu Aman dirikan rumah sewa tiga pintu, kata Aman ketika mendirikan rumah tersebut, rumah ini untuk saya, sementara rumah sewa itu untuk anak-anak saya bila mereka besar nanti.

Tetapi semasa masih kecil, pendapatan dari sewa rumah itu boleh digunakan untuk membesarkan anak-anak dan persekolahan mereka. Katanya lagi, dia tidak ada banyak masa lagi untuk bina rumah lain untuk saya, itulah sahaja yang dia dapat buatkan untuk saya.

“Katanya dia telah sediakan rumah, tiga buah rumah untuk isteri pertama dan anak-anaknya. Dan dia mahu rumah ini nanti menjadi milik saya untuk besarkan anak-anak, dia tak ada banyak duit kerana setengah dari simpanannya digunakan untuk beli tanah dan bina rumah untuk saya. Itu janji dan harapannya sebelum dia meninggal dunia secara mengejut kerana serangan jantung.

“Tetapi setelah Aman meninggal dunia, anak-anaknya datang dan halau saya keluar dari rumah itu. Katanya rumah saya ini rumah pusaka yang menjadi milik mereka.

“Kerana saya berkeras tidak mahu keluar mereka gunakan peguam halau saya. Atas nasihat kawan dan jiran mereka nasihatkan saya cari peguam juga. Tetapi saya tak ada banyak duit.

“Namun untuk mempertahankan hak, saya terpaksa cari peguam juga yang sanggup terima bayaran yang murah dan beransur. Saya juga terpaksa benarkan mereka anak beranak ambil duit sewa rumah yang diperuntukkan kepada saya, walaupun telah diwasiatkan oleh arwah kepada saya, tetapi siapalah saya untuk pertahankan hak.

“Apa yang amat menyedihkan saya, apakah cara lain dapat saya gunakan untuk mencari rezeki, hendak keluar bekerja anak-anak masih kecil dan saya tidak ada kemahiran, sekolah pun sampai SPM mana nak laku. Pengalaman cuma bekerja kilang. Kalau kerja kilang anak-anak saya siapa nak jaga, saya sebatang kara di sini, kepada sesiapa saya boleh minta bantuan.

“Namun untuk meneruskan hidup, saya terpaksa sewakan bilik rumah saya ini kepada gadis-gadis yang bekerja di kawasan sekitar, saya juga berniaga kecil-kecilan jual jajan dan kuih muih untuk cari rezeki buat menanggung anak-anak. Namun saya bersyukur masih ada bumbung untuk berteduh dan lantai untuk tidur.

“Saya juga berdoa mereka tidak halau saya keluar dari rumah ini, ke manalah saya hendak pergi jika dihalau. Saya sentiasa berdoa supaya hajat dan harapan arwah suami saya dirikan rumah ini akan terus jadi milik saya dan anak-anak.

Kesimpulannya, berkahwin suami orang bukannya membahagiakan jika tanpa suami di sisi. Kesilapan arwah, dia belum sempat mewasiatkan rumah ini kepada saya dan anak-anak. “ Itu cerita Ariyanawati panjang lebar tentang nasih dan masalah yang dihadapinya dalam membesarkan anak-anak sebagai isteri kedua.

Artikel Berkaitan
Artikel Lain
Video Pilihan