Dendam, marah dan keganasan remaja inilah yang menjadi punca kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah 14 September lalu yang mengorbankan 23 nyawa. Polis telah mengesahkan kebakaran tersebut berpunca daripada perbuatan khianat.

Perkara itu terbongkar apabila tujuh remaja berusia antara 11 tahun hingga 18 tahun ditahan polis. Berdasarkan ujian saringan air kencing terhadap ketujuh-tujuh suspek, enam daripadanya positif dadah. Punca perbuatan khianat itu disebabkan perbuatan ejek mengejek antara suspek-suspek dan pelajar pusat tahfiz itu.

Peristiwa ini menunjukkan masalah sosial generasi muda negara kita kini berada pada tahap amat membimbangkan. Mengapa anak-anak remaja kita semakin runtuh akhlaknya dan hilang sikap malu dan adab sopan sebagai manusia?

Kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah 14 September lalu
 

Menurut Pakar Perunding Psikiatri, Hospital Pantai Cheras, Professor Madya Dr Azhar Salleh, yang juga dari Perdana University-RCSI, masalah tingkah laku remaja merujuk perbuatan yang boleh mendatangkan masalah kepada keluarga dan masyarakat. Jika tingkah laku tersebut melanggar undang-undang ia dikategorikan sebagai jenayah juvana.

“Ini meliputi keganasan, merosakkan harta benda, mencuri dan menyalahi undang-undang atau dipanggil jenayah juvana. Dalam pada itu, keganasan ialah tindakan agresif yang boleh membawa kepada sesuatu tindakan di luar batasan terhadap orang lain atau haiwan seperti mencederakan atau memukul secara fizikal dan mental. Ia juga termasuk tindakan yang merosakkan atau memusnahkan harta benda seseorang atau milik awam,” katanya.

Keganasan dalam kalangan remaja sering kali dikaitkan dengan kejadian buli, gangsterisme dan vandalisme. Buli melibatkan kegiatan seperti memeras ugut, menghina, mengejek, memukul, memaki dan sebagainya.

Gangsterisme pula ialah keganasan yang dilakukan secara berkumpulan. Keadaan ini berlaku apabila kumpulan-kumpulan remaja nakal atau samseng membuat kacau dan menimbulkan pergaduhan sesama mereka bagi menunjukkan kekuatan masing-masing.

Vandalisme ialah aktiviti merosakan harta benda dan kemudahan awam seperti telefon awam, perhentian bas, taman permainan serta harta benda sekolah seperti kerusi dan meja.

Tambah beliau, salah satu faktor yang menyumbang kepada masalah tingkah laku remaja ialah kesukaran mengawal kemarahan. Pun begitu, bukan semua remaja ada masalah begini.

Bagaimana pula dadah mempengaruhi tingkah laku remaja sehingga melakukan keganasan? Dr. Azhar memberitahu, beberapa jenis dadah seperti methamphetamine (syabu) boleh menyebabkan penagih jadi lebih berani, agresif dan paranoid. Oleh itu, mereka lebih cenderung untuk melakukan keganasan jika terlibat dengan dadah begini. Menurutnya lagi, remaja yang melakukan keganasan mempunyai ciri-ciri hiper aktif, kurang keupayaan untuk mengawal kelakuan sendiri, kurang kemahiran tumpuan dan perhatian, lemah dalam kemahiran sosial, lemah dalam akademik dan terlibat dalam aktiviti yang berisiko tinggi (mengambil dadah, gangsterisme).

Beliau menjelaskan, remaja yang melakukan keganasan begini sering mempunyai ciri-ciri merosakkan dan membakar harta benda, sering mencuri, melakukan keganasan ke atas haiwan, membuli, selalu menipu dan sering terlibat dalam pergaduhan dan gangsterisme. Remaja begini juga sering terlibat dengan dadah pada usia yang muda dan tidak menunjukkan perasaan menyesal dan bersalah apabila melakukan kesalahan.

Buli merupakan salah satu keganasan yang semakin meningkat dalam
BULI merupakan antara keganasan yang semakin meningkt yang boleh membawa kepada dendam berterusan.

Antara punca penyebab tingkah laku seperti ini, termasuk menjadi mangsa penderaan semasa kanak-kanak, masalah terbiar semasa kanak-kanak, kegagalan akademik dan mengalami sejarah trauma semasa kecil.

Dalam pada itu, beliau berpendapat semua pihak perlu bersatu menangani masalah sosial remaja. Golongan remaja perlu sentiasa dibimbing, ditegur serta dinasihati dengan cara berhemah sekiranya mereka melakukan perbuatan jahat.

“Oleh itu, kerjasama dan pemantauan daripada semua pihak termasuklah remaja itu sendiri, ibu bapa, sekolah, jabatan agama dan lain-lain badan berwajib amatlah diperlukan. Ibu bapa juga perlu menjadi contoh kepada anak-anak selain berikanlah perhatian dan kasih sayang secukupnya, rumah tangga disulami dengan ketenangan dan kebahagiaan melahirkan anak-anak cemerlang akhlaknya,” kata beliau.