Tetapi jika kawan-kawan mereka orang yang negatif, maka pengaruh negatif ini sedikit sebanyak pasti akan terpalit pada anak-anak kita. Sebab itulah merancang masa cuti anak-anak adalah satu kemestian. Apa juga perancangan yang dilakukan pastikan ia seimbang dan merangkumi aspek agama, sahsiah, akademik, keluarga dan sosial.

Berikut adalah perkara yang boleh dilakukan untuk anak-anak sepanjang cuti sekolah hujung tahun ini:

Lakukan Aktiviti 
Bersama Keluarga

Cuti sekolah biasanya anak-anak semua ada di rumah. Eloklah jika ibu bapa juga ambil cuti dan luangkan masa bersama anak-anak. Boleh adakan masa untuk bermain, beriadah, makan sekeluarga, menziarahi sanak saudara, balik kampung dan sebagainya bersama-sama.

Rancang cuti bersama anak-anak jika tidak mampu berbelanja besar cukuplah ala kadar. Jika tidak mampu untuk bercuti jauh cukuplah ajak anak-anak untuk bercuti dekat. Yang penting ada masa yang diluangkan secara berkualiti. Pastikan anak-anak gembira sebab bagi mereka kasih sayang ibu bapa diukur dari segi kesanggupan ibu bapa meluangkan masa bersama mereka.

Bawa anak-anak melawat tempat-tempat menarik seperti Zoo Negara, Tugu Negara, Taman Botani, Taman Rama-rama, Pusat Sains dan sebagainya. Tanam dalam diri anak-anak rasa cinta kepada alam semula jadi, rasa bangga dengan sejarah negara agar timbul semangat patriotik serta rasa sayang pada negara.

Latihan Amali Membetulkan Solat, Wuduk dan Mandi 
Wajib Anak

Ramai ibu bapa yang ambil mudah akan perkara ini. Pada mereka, asas-asas ini telah pun diajarkan oleh ustaz dan ustazah di sekolah. Sama ada sekolah harian atau sekolah agama. Betul, perkara seperti solat, wuduk dan mandi wajib sudah pun diajarkan di sekolah tetapi para guru tidak punya masa yang cukup untuk memastikan setiap pelajarnya betul-betul faham dan dapat melakukan amali dengan betul.

Adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memastikan cara mandi wajib (bagi anak-anak yang sudah akil baligh) itu betul. Begitu juga dengan cara wuduk mereka. Ada yang tidak meratakan air, ada yang masih tidak faham tentang air yang suci lagi menyucikan, malah ramai anak-anak yang masih keliru tentang perkara yang membatalkan wuduk. Begitu juga dengan solat. Masih ramai anak-anak tidak tahu bezakan antara syarat sah solat, rukun dan sunat.

Semak juga bacaan anak-anak dalam solat. Pastikan mereka faham makna setiap bacaan yang dibacanya itu. Jika ibu bapa tidak mampu untuk melakukan latihan amali ini bersama anak-anak, mintalah ustaz untuk mengajarkannya secara intensif untuk satu keluarga. Keluarkanlah sedikit duit untuk tujuan ini. Ia sangat penting lagi bermanfaat.

Memasukkan Anak-anak Ikuti Seminar atau 
Kem Motivasi

Anak-anak lebih mudah cemerlang apabila mereka diajarkan tentang ilmu-ilmu kecemerlangan dan teknik belajar yang betul. Dengan mengikuti seminar atau kem-kem motivasi, anak-anak akan didedahkan dengan pelbagai perkara baru serta tip-tip untuk berjaya dalam hidup. Memang ada ketikanya apa yang dipesan oleh penceramah atau fasilator, pernah ditekankan oleh ibu bapa di rumah. Namun bagi anak-anak, apabila mendengarnya sendiri daripada mulut orang lain membuatkan mereka lebih percaya dan lebih terdorong untuk lakukan perubahan.

Seminar dan kem motivasi dapat membantu anak-anak dari segi keyakinan diri, jati diri, kemahiran berucap, kemahiran berfikir, kebolehan memimpin, dan sebagainya. Ibu bapa perlu sedar bahawa apabila anak-anak masuk ke alam pekerjaan, keterampilan diri mereka lebih utama berbanding kecemerlangan akademik.

Malah sejak akhir-akhir ini semakin banyak organisasi yang mengambil pekerja baru tidak bergantung kepada kecemerlangan akademik semata-mata. Sebuah syarikat yang merekrut pekerja baru iaitu Ernst and Young di UK, telah menyatakan bahawa bermula Tahun 2016 mereka tidak lagi meletakkan kelayakan akademik sebagai pengukur kebolehan dan bakat seseorang untuk diambil bekerja.

Mereka menggalakkan mereka yang tidak memiliki keputusan yang cemerlang untuk tampil memohon jawatan-jawatan yang sebelum ini hanya dihadkan kepada mereka yang mempunyai kelayakan berdasarkan kecemerlangan akademik semata-mata.

Ajar anak-anak 
Kemahiran ‘Survival’

Anak-anak zaman sekarang bukan macam anak-anak zaman dulu. Anak-anak dulu tidak terdedah dengan komputer, gajet dan televisyen yang membuatkan mereka duduk sahaja di rumah tanpa keluar. Anak-anak dahulu ramai yang masuk hutan, mendaki bukit, panjat pokok, mandi-manda di sungai dan sebagainya. Anak-anak sekarang terutamanya yang di bandar tidak berpeluang untuk merasai itu semua. Oleh itu kemahiran ‘survival’ mereka rendah.

Agak-agaknya tahukah anak-anak kita apa yang perlu mereka lakukan jika berlaku kecemasan seperti kebakaran, kemalangan, lemas, terkurung, dan sebagainya? Adakah mereka hafal atau simpan nombor-nombor kecemasan? Agak-agaknya mereka tahu atau tidak memasak nasi, menyiang ikan, menyembelih ayam, mencari air bersih untuk diminum jika kawasan itu tiada air? Bagaimana pula jika mereka sesat di dalam hutan? Tahukah mereka bagaimana mencari jalan keluar? Tahukah mereka cara mengikat tali seperti yang kawan-kawan mereka yang menyertai pasukan pengakap telah dilatih.

Di saat kecemasan, apakah alatan atau kit yang penting yang perlu dibawa bersama? Bagaimana pula dengan alat bantuan kecemasan serta ubat-ubatan? Semua ini adalah perkara penting yang perlu diajarkan kepada anak-anak kita. Oleh itu, cuti sekolah sebegini tunjuk ajarlah mereka.

Tingkatkan Kemahiran Hidup Anak-anak

Anak-anak yang memiliki kemahiran hidup akan mudah mencari rezeki. Jika anak-anak mencari rezeki berdasarkan kelayakan akademik semata-mata maka mereka mempunyai risiko hilang pekerjaan apabila ekonomi meleset. Ramai mereka yang dibuang kerja buntu fikiran kerana tidak tahu apa yang boleh dilakukan bagi menyara hidup dan keluarga. Sebaliknya, bagi mereka yang mempunyai kemahiran-kemahiran seperti berniaga, memasak, fotografi, mengandam, bertukang, membaik pulih, mengurut, menggunting rambut dan sebagainya, mereka ini tahu bagaimana untuk terus hidup.

Sebab itulah penting untuk ibu bapa menghantar anak-anak ke kelas-kelas yang meningkatkan kemahiran hidup anak-anak. Hantar juga mereka ke kelas komputer, belajar bagaimana membangunkan laman web, mahirkan mereka dengan perisian seperti Adobe Photoshop, Illustrator, Microsof Office, dan sebagainya. Pengetahuan ini bukan sahaja berguna ketika mereka belajar di universiti nanti, tetapi juga berguna di alam pekerjaan. Malah mereka boleh buat duit dengannya. Selain itu, libatkan mereka dengan pelbagai kelas atau aktiviti keusahawanan seawal mungkin.

Pastikan anak-anak kita bijak wang dengan mengajarkan mereka cara mencari, melabur, menyimpan dan mengurus wang dengan betul. Cukup dengan ilmu-ilmu yang asas yang penting mereka ada pengetahuan tentangnya. Dedahkan anak-anak dengan perniagaan dalam talian yang mana mereka mungkin boleh fikirkan sesuatu untuk memulakan bisnes nanti. Ramai anak-anak di peringkat sekolah menengah yang terdedah kepada jual beli online ini, oleh itu kenapa tidak pastikan anak-anak kita mempelajari skil ini.