Allah SWT mengurniakan kepada Nabi Adam a.s. ilmu sebagaimana firman-Nya: “Dan Dia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Dia berfirman: Terangkanlah kepada-Ku nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar,’’ (al-Baqarah, ayat 31)

Justeru, apabila kerajaan memperkenalkan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dalam sistem pendidikan nasional, bukannya bertujuan ‘menyeksa’ pelajar tetapi sebaliknya amat bersesuaian dengan fitrah penciptaan manusia itu sendiri.

Bertepatan dengan itu, Pensyarah Kanan German Malaysian Institute (GMI), sebuah institusi pengajian tinggi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Mohd. Azri Ibrahim tampil membantu pelajar menerusi buku beliau, ‘Belajar Guna Masalah’ yang kini sudah berada dalam pasaran.

Buku ini merupakan karya awal beliau dalam membina strategi belajar secara fitrah atau semula jadi untuk membantu meningkatkan kecemerlangan.

Buku setebal 131 halaman ini membawa pendekatan bersahaja dan mudah untuk difahami ketika membacanya.

Ia dipadatkan dalam dua bentuk strategi untuk dibangunkan bagi menghadapi cabaran membina KBAT di sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) .

Ditanya, apakah yang mendorongnya untuk menghasilkan karya pertamanya itu, Mohd. Azri berkata: “Pengalaman melanjutkan pengajian dan dijemput menjadi felo penyelidik di bawah Kerusi Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dalam Pembelajaran Berasaskan Masalah (PBL) di bidang Kejuruteraan dan Sains Universiti Aalborg, Denmark memberikan pendedahan dan pengalaman dalam membina generasi pelajar berfikir pada aras tinggi dalam pembelajaran mereka.

“Situasi pembelajaran dan pencapaian Denmark sebagai antara negara teratas dalam ranking pencapaian pelajarnya dalam Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) antara bukti awal tentang cara dan trend pembelajaran yang boleh kita pelajari.”

Tambah Mohd. Azri, pengalaman berkenaan mendorongnya untuk berkongsi perspektif yang betul dan strategi berkesan untuk membantu pelajar di negara ini melengkapkan diri mereka sebagai penuntut abad ke-21.

“Saya datang daripada keluarga susah dan mahukan peluang memajukan diri ini turut dinikmati oleh pelajar tidak berkemampuan tanpa dikecualikan.

“Saya menyambung pengajian dengan duit masyarakat Malaysia melalui Sistem Tindikan Tenaga Pengajar Mara, biarlah hasil ini dipulangkan kembali kepada masyarakat sebagai tanda syukur dan terima kasih,” katanya yang sekarang aktif turun padang mempromosikan bukunya melalui seminar Strategi Belajar Guna Masalah secara percuma di sekolah-sekolah menengah.

Buku ini boleh dibeli secara dalam talian dengan menggunakan platform whatsApp (019-6270855) atau menghantar mesej dan whatsApp penulis di talian 010-9001709 untuk mendapatkan naskhahnya. Harga buku RM25 tidak termasuk caj penghantaran. Buku ini diatur cetak oleh Kalam Printing Sdn. Bhd. di Jalan Reko Kajang, Selangor.

Dua strategi KBAT:

1 Memulakan aktiviti pembelajaran dengan menjadikan masalah sebagai teras.

  •  Pelajar belajar secara kendiri, tidak perlu menunggu arahan guru untuk memulakan proses belajar.
  •  Pelajar menjelajah ruang lingkup maklumat dikehendaki mata pelajaran, buat nota, bentuk kefahaman awal sebelum disahkan oleh guru.

2 Garap strategi berhadapan dengan soalan peperiksaan memerlukan KBAT.

  • Pendekatan ini memudahkan melancarkan inisiatif pelajar, sekali gus mendapat manfaat berpanjangan.