Malah, makanan berbentuk pastri berasaskan tepung gandum ini telah melalui pelbagai inovasi dalam teknologi makanan sehingga boleh dihasilkan secara sejuk beku.

Lebih menarik, daripada sekeping roti paratha bergabung dengan sedikit kreativiti mampu menghasilkan pelbagai sajian lain termasuk tat telur, waffle, piza, kastard danish orange mahupun kuih bulan.

Walaupun dihasilkan daripada bahan asas yang sama iaitu, kepingan paratha, rasanya tetap berbeza dan enak dijadikan sajian minum petang yang menarik.

Tidak lagi perlu bersusah payah menguli tepung untuk dijadikan pastri, kerana hari ini di mana-mana sahaja boleh dibeli roti paratha sejuk beku dengan pelbagai jenama.

Fatihah Frozen Food Sdn. Bhd., antara syarikat pengeluar produk sejuk beku tempatan yang tidak ketinggalan menghasilkan roti paratha.

Diusahakan dan dimiliki 100 peratus Bumiputera, syarikat ini terkenal dengan keenakan roti paratha bawah jenama Royale Paratha, selain roti boom.

Menarik, kedua-dua produk tersebut bukan sahaja mudah disediakan bahkan lebih menyihatkan kerana penyediaannya di rumah tanpa menggunakan minyak.

Sudah berada di pasaran lebih 35 tahun, hari ini syarikat tersebut mempunyai lebih daripada 20 jenis produk sejuk beku, antaranya cucur badak, karipap pusing, samosa, dan roti sardin.

Sementara itu pengasas dan Pengarah Urusan Fatihah Frozen Food Sdn Bhd, Fatihah Anis Ibrahim, 55, berkata, dia memulakan perniagaan tersebut dengan menjual karipap pusing segar ketika di bangku sekolah lagi. Dia menjadi seronok berniaga apabila karipapnya laris dan mendapat sambutan di luar jangkaan.

Bermula dari situ, dia mengambil keputusan untuk meneruskan perniagaan sehinggalah dia berkahwin dan mengikut suami yang melanjutkan pelajaran ke Britain.

Kembali semula ke tanah air, Fatihah mula terfikir untuk menjadikan produk-produknya sejuk beku.

“Idea untuk menghasilkan makanan sejuk beku tercetus apabila melihat di Britain pelbagai jenis makanan disejukbekukan.

“Jadi apabila pulang ke tanah air saya ‘meminjam’ idea tersebut untuk dicuba ke atas semua produk-produk makanan yang saya hasilkan.

“Lagipun ketika itu tiada lagi Bumiputera yang menghasilkan makanan sejuk beku.

“Alhamdulillah, segala pembangunan dan penyelidikan (R&D) yang dilakukan berjaya,” ujarnya ketika ditemui di Kompleks Industri Makanan Mara (Kimar), Batu Caves, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Bercerita lebih lanjut mengenai perniagaannya, Fatihah menjelaskan, dia menggunakan inovasi blast freezer dengan suhu -38 darjah celsius (-38oC) untuk membekukan makanan dengan pantas agar dapat bertahan dengan lebih lama.

Selain dapat bertahan sehingga setahun, semua produk sejuk beku keluarannya juga tidak menggunakan bahan pengawet.

Hari ini, produk sejuk beku syarikat tersebut bukan sahaja berjaya menguasai pasaran tempatan, bahkan semakin diterima di Singapura, Brunei, China dan New Zealand.

Adat berniaga, Fatihah juga antara usahawan yang tidak terlepas daripada dugaan dan cabaran.

Sepanjang tempoh bergelar peniaga, ibu kepada tiga orang cahaya mata ini, pernah beberapa kali mengalami kejatuhan.

Begitupun setiap kali jatuh, dia akan berusaha untuk bangun dan mengorak langkah ke hadapan bagi memastikan produk-produknya dapat memenuhi ruang sejuk beku di pasar raya seperti Giant, Tesco, AEON Big dan Mydin.

Dalam usaha memperbanyak dan memberikan pelbagai pilihan kepada pengguna, Fatihah kini dalam perancangan untuk mengeluarkan roti paratha berperisa bawang putih dan pisang.

Buat masa ini, di pasaran hanya ada dua perisa iaitu asli dan durian.

“Apabila bercakap mengenai perancangan masa depan perniagaan, pastinya kami ingin memperbanyak lagi produk sedia ada.

“Selain itu, kami turut merancang untuk menembusi lebih banyak pasaran luar negara seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jepun dan Korea. Insya-Allah impian tersebut akan menjadi kenyataan

“Kami juga berbangga kerana telah mendapat pensijilan halal sejak 2011 lagi,” katanya yang mengakui roti paratha berperisa pisang yang bakal diperkenal tidak lama lagi akan menjadi yang pertama di dunia.