Bukan sehari dua tetapi berbelas tahun hidup bersama suami yang tidak mahu bekerja. Akibatnya isteri makan hati. Disuruh cari kerja alasannya susah dapat kerja sedangkan berusaha pun tidak. Asyik makan tidur dan keluar berfoya-foya dengan kawan-kawan.

Kita ikuti luahan hati Tijah (bukan nama sebenar) yang berkongsi ceritanya hidup bersama suami yang tidak bekerja. Kisah yang sangat menarik untuk dijadikan teladan khasnya kepada para suami yang mengambil mudah amanah Allah.

Begini ceritanya.

“Usia saya 40 tahun, berkahwin sejak 15 tahun lalu dan dikurniakan tiga orang anak, seorang lelaki dan dua perempuan yang sedang belajar. Suami penganggur kehormat, tidak bekerja selepas anak sulung kami lahir sampai sekarang.

“Saya berkahwin pada usia awal 20-an setelah setahun lebih bercinta. Suami anak bongsu kesayangan ibu bapanya. Kira anak orang berada jugalah. Duit tidak menjadi masalah kepadanya kerana ibu-bapanya bila-bila masa akan membantu jika dia mahukan duit.

“Semasa berkenalan dengan suami dia bekerja di syarikat bapanya. Apa jawatannya saya tidak tahu. Melihat kepada bisnes bapanya yang boleh tahan maju, saya yakin dia boleh menyara saya dan anak anak kami yang bakal lahir.

“Memang dia suami dan bapa yang penyayang tetapi tidak ada rasa tanggungjawab terhadap rumah tangga. Setahun selepas bernikah, bisnes mula merosot. Dia berhenti kerja kerana katanya tidak ada kerja hendak dibuat di pejabat. Ibu-bapanya tidak menghalang, ikut sahaja kehendak anak kesayangan mereka itu tanpa berfikir yang saya perlu perbelanjaan dan sara hidup.

“Saya suruh cari kerja lain tetapi dia enggan, bapanya pula menyokong dan sanggup menyara kami. Kerana sayangkan suami saya mengikut sahaja. Saya terus bekerja di sebuah syarikat guaman. Walaupun gajinya kecil tetapi cukup untuk menyara hidup saya.

“Setahun selepas suami berhenti kerja, anak sulung kami lahir sedangkan suami masih tidak bekerja. Alasan yang sama diberikan kepada saya, ibu bapa mentua pula sanggup menyara kami tiga beranak. Puas saya nasihat supaya mencari kerja, dia tetap tidak endahkan, malah memarahi saya kerana memaksanya bekerja.

“Saya terus makan hati, sudahlah suami tidak bekerja, tinggal pula bersama mentua, bayangkan bagaimana tertekannya saya. Dua tahun kemudian anak kedua kami lahir, begitulah juga keadaannya sehingga anak ketiga kami melihat dunia, suami masih begitu juga, tidak berubah.

“Memang betul, kami tidak ada masalah sebab perbelanjaan anak-anak semua ibu bapanya yag keluarkan, saya hanya guna duit gaji saya untuk keperluan saya. Tapi sampai bila?.

“Mentua juga melarang saya bekerja dengan alasan dia boleh membantu dan menyara kami anak beranak. Sebagai isteri saya perlukan hak dan kebebasan saya besama suami dan anak-anak. Saya teringin bersama suami keluar makan dengan anak-anak bila ada kelapangan tetapi suami tidak boleh bagi apa yang saya mahu.

“Disebabkan saya berkeras hendak kerja, suami dan mentua memberi kata dua kepada saya supaya memilih sama ada mendengar kata mereka atau saya boleh bebas dan buat apa yang saya mahukan.

“Keluarga saya masuk campur dan akhirnya saya mengambil keputusan menuntut cerai. Saya nekad berbuat demikian kerana memikirkan sampai bila saya harus bergantung kepada mentua dengan perangai suami yang langsung tidak bertanggungjawab.

“Kerana marah saya berdegil, suami akhirnya menceraikan saya dengan talak tiga di hadapan keluarga saya setelah usaha kami untuk berbincang dengan baik tidak dilayan. Bagai nak gugur jantung saya mendengar lafaznya itu, tetapi semuanya saya reda.

“Perceraian itu juga menyebabkan saya kehilangan hak penjagaan ke atas anak-anak tetapi saya bersyukur kerana saya mendapat hak berjumpa anak-anak bila masa saya mahu. Cuti sekolah mereka boleh bersama saya.

“Setelah berpisah saya balik tinggal bersama ibu bapa saya dan seorang kakak yang kematian suami. Mereka menjadi kekuatan saya. Siapa yang tidak rindukan anak-anak, malah saya selalu menangis kerana teringatkan mereka terutama di waktu malam. Mujur teknologi ada membolehkan saya untuk berhubung dengan anak-anak bila bila saya suka… mendengar suara mereka hilanglah rindu saya.

“ Saya bukan tidak sayangkan anak tetapi di dalam keadaan tertentu kita sebagai ibu dan isteri ini harus membuat pertimbangan yang mana baik untuk masa depan anak-anak. Saya terima takdir Allah kepada saya dengan mengetepikan perasaan rindu kepada anak-anak sebab saya tahu bersama suami dan keluarganya anak-anak saya akan hidup senang dan pelajaran mereka juga terjamin. Jika bersama saya belum tentu.

“Saya tidak boleh selamanya hidup di bawa telunjuk mentua. Wang ringgit bukanlah segala-galanya. Saya inginkan rumah tangga yang harmoni, suami yang penyayang dan bertanggungjawab. Dalam hidup ini kita ada pilihan. Kita perlu utamakan yang penting.

“Dalam masalah saya, masa depan saya juga penting. Saya tidak boleh selamanya hidup dengan bergantung kepada keluarga mentua dan suami yang tidak ada hala tuju hidup. Saya berharap para isteri yang di luar sana jika menghadapi masalah seperti saya berfikirlah untuk kebaikan masa depan anda.

“Berhati-hatilah dengan suami yang menjadi ‘anak mak’. Susah kita hendak hidup dan dapatkan privacy. Semua perkara dalam hidup kita mereka hendak tahu. Sepatutnya mereka mengubah perangai anak mereka supaya lebih bertanggungjawab, bukan meyokong dan membiarkan anak menjadi biawak hidup dalam rumah.

“Saya pula setelah bercerai menyambung pelajaran di sebuah universiti tempatan secara sambilan dan kini berada di tahun akhir. Insya-Allah hujung tahun ini saya akan tamat belajar. Saya berharap ini dapat mengubah hidup saya dan membawa anak-anak tinggal bersama saya satu hari nanti. Saya akan buktikan kepada bekas mentua yang tanpa duit dia pun saya boleh hidup dan berjaya. Kepada Allah saya berserah,” pinta Tijah penuh mengharap.

Saya kagum dengan semangat yang ditunjukkan oleh Tijah.

Keberaniannya patut menjadi contoh kepada wanita lain. Memang kita tidak boleh menolak ketentuan Allah tetapi kita boleh berusaha menanganinya dengan baik. Tindakannya tidak bermakna Tijah tidak sayangkan anak-anaknya. Dia ada sebab dan alasan manasabah untuk berbuat demikian. Setiap usaha yang disertakan dengan kesabaran akan diterima Allah.

Menamatkan catatan pesanan saya, ada masanya kita harus melepaskan apa yang kita sayang tapi bukan kerana kita sudah tidak sayang tetapi kerana kita lebih menyayangi diri kita dan tidak mau membiarkan ia terus disakiti.

Salam

[email protected]