Ada yang bercinta macam orang muda, bergayut di telefon siang malam, tak jumpa sehari terasa rindu dan apabila berjumpa tidak mahu berpisah pula.

Ragam orang tua berkasih menyakitkan mata jika tidak kena gaya dan pastinya keluarga yang akan terkena tempiasnya. Mana tidak, jika bercinta sesama usia tidak menjadi masalah, bagaimana jika pasangannya lebih muda daripada yang perempuannya?

Inilah kisah yang ingin dikongsi dengan pembaca minggu ini. Kisah ini kiriman anak kepada wanita bernama Kak Siti (bukan nama sebenar) yang saya sebut sebagai Zaid (bukan nama sebenar).

Begini ceritanya.

“Mak saya seorang usahawan berjaya sejak zaman mudanya hingga kini. Bisnes keluarga kami menjadi disebabkan usaha gigih arwah ayah yang menjaganya dengan baik sehingga berjaya seperti sekarang.

“Ayah bekas askar yang sangat bijak mengatur kehidupannya selepas bersara. Mak pula suka bisnes. Semua bisnes mak buat, jadi tidak hairan bagaimana perniagaan kami terus berkembang sehingga kini.

“Ayah meninggal dunia dua tahun lalu kerana sakit jantung. Urusan bisnes sekarang sepenuhnya dijaga oleh mak. Saya, abang dan adik perempuan kami tidak mahu campur kerana kami masing-masing ada kerjaya sendiri.

“Setahun setelah ayah meninggal, mak menikah lagi. Kali ini, suaminya seorang lelaki berusia lewat 30-an, seorang mekanik bernama Razi. Kami tiga beradik tidak tahu di mana mak kenal lelaki ini yang sebaya dengan adik bongsu saya.

“Di awal pernikahannya, nampak lelaki ini serasi dengan mak walaupun kami adik beradik tidak berapa berkenan dengan sikapnya. Mengada-ngada dan sangat manja dengan mak.

“Adik perempuan saya sampai tidak mahu balik ke rumah mak kerana malu dengan perangai mak dan suaminya itu. Tapi kami diamkan sahaja sebab nak jaga hati mak.

“Seperti yang saya duga, jodoh mak dengan lelaki ini tidak lama, setahun kemudian mereka berpisah sebab mak terjumpa dia dengan perempuan lain di pekan. Bila mak tanya dia mengaku ada perempuan lain. Mak marah dan terus minta cerai.

“Tambahan pula dia tidak bekerja dan hanya mengharapkan duit mak untuk belanjanya setiap hari. Rokok, minyak kereta dan pakaian, semua mak yang sediakan. Saya sudah nampak sikapnya itu sejak awal tetapi diamkan sahaja sebab nak jaga hati mak.

“Mak bercerai dengan Razi setelah dia menuntut macam-macam dari mak sebagai ganjaran. Tidak mahu kecoh, mak tunaikan walaupun kami adik beradik tidak setuju.

“Tapi mak kata biar dia puas dan tidak ganggu mak lagi selepas berpisah. Kami lega setelah mak kembali hidup seorang diri. Tapi tidak lama, empat bulan selepas itu, mak berkenalan pula dengan seorang lelaki, kali ini lagi muda dari suaminya sebelum ini.

“Namanya Amin, berusia awal 30-an…. berbeza hampir 35 tahun dari mak. Ini cinta mak yang ketiga setelah ayah dan suami keduanya. Mak macam orang mabuk cinta, siang malam bergayut dengan telefon.

“Hujung minggu selalu ke pekan dan sesekali keluar daerah kononnya bercuti dengan kawan-kawan tetapi kami tahu mak pergi dating dengan teman lelakinya itu.

“Menghidu sikap mak yang macam kemaruk cinta, saya cuba memujuknya supaya berfikir banyak kali untuk berkawan dengan budak muda itu. Sebabnya yang saya nampak mak banyak menghabiskan duit untuk budak lelaki ini yang saya namakan Amin.

“Paling ketara bila mak belikan dia motosikal berkuasa tinggi, puluh ribu juga harganya. Saya tanya mak, kata mak jangan campur urusan hidupnya. Sebab saya, anak dan mak belanja guna duit dia, tidak minta dengan kami.

“Saya faham memang duit mak, tapi itu hak kami juga sebab duit itu peninggalan arwah ayah. Dan arwah ayah meminta kami untuk menjaga harta yang dia tinggalkan dengan baik termasuk juga mak.

“Tetapi mak marah dan kata saya dan abang menganggu urusan hidupnya. Mak memang sudah betul-betul kemaruk cinta, memang tidak boleh buat apa lagi. Saya sangat sedih dengan apa yang mak lalui.

“Kami minta bantuan bapa saudara sebelah mak menasihati mak tetapi mereka juga gagal sebab mak tidak mahu mendengar cakap mereka. Mak sudah sampai ke tahap hendak bernikah dengan budak lelaki itu.

“Nasib kami baik, seorang kenalan bapa saudara saya kenal dengan abang Amin. Dia bagi tahu bapa saudara saya yang Amin sebenarnya sudah bernikah dan ada dua orang anak. Isterinya tidak bekerja.

“Khabar yang kami dapat juga mengatakan Amin memang lelaki pengikis dan mangsanya adalah wanita berumur yang kaya dan ada duit. Sebab dia perlukan duit untuk menguruskan isteri dan anak-anaknya.

“Setelah pasti orang yang diceritakan itu adalah sama dengan Amin, saya dan abang berjumpa dengan isterinya tanpa pengetahuan mak. Kami maklumkan kepadanya tentang perangai suaminya.

“Sedihnya hati saya apabila si isteri mengaku memang suaminya tidak ada kerja dan menipu wanita kaya untuk mendapatkan duit. Masya-Allah, terkejut saya dengan pengakuan isterinya itu. Tergamak dia bagi makan anak isterinya dengan duit yang diperoleh seperti itu.

“Saya bagi tahu kepadanya yang sekarang suaminya sedang berkawan dengan mak saya yang jauh lebih tua daripadanya. Saya beritahu dia juga, saya mahu dia bagi tahu suaminya supaya jangan ganggu mak saya lagi. Jika tidak kami akan buat laporan polis.

“Wanita itu menangis dan berjanji akan memujuk suaminya supaya berhenti melakukan kerja tidak baik itu. Dia minta maaf dan berkata dia tidak sangka suaminya sanggup menipu mak saya yang sebaya dengan ibunya.

“Kami tinggalkan rumah perempuan itu dengan sebak di dada, saya sangat sedih kerana ada lelaki yang sanggup melakukan kerja seperti itu untuk menyara keluarga pada hal tenaga masih muda. Banyak kerja yang boleh dibuatnya.

“Satu hari ketika lelaki itu datang ke rumah untuk berjumpa mak bagi meminta izin bernikah dengan mak, kami sepakat membersihkan minda dia. Terkejut mak tapi kami nekad.

“Kami minta dia buktikan yang dia belum bernikah dan tidak ada anak serta di mana dia kerja dan asal usulnya. Mati-mati dia berkata tidak bernikah lagi dan mak adalah teman wanita pertamanya.

“Nak meloya tekak kami mendengarnya. Lalu abang saya tunjukkan gambar isteri dan anaknya dari telefon bimbit. Terkejut dia. Mak lagi terkejut dan terus menangis. Mak marah dia cukup-cukup dengan kata- kata kesat.

“Selepas dia selesai mendengar apa yang kami tiga beradik kata, dia terus keluar dari rumah. Saya bagi amaran supaya dia jangan ganggu mak dan minta dia pulangkan motor berkuasa tinggi yang mak belikan untuk dia.

“Walau malu dengan keluarga dan jiran tetangga terhadap apa yang berlaku kepada mak, kami tiga beradik tetap menyokong mak. Mungkin ini pengajaran untuk mak.

“Selepas tragedi itu, mak tidak seperti dulu lagi, mak mula diam dan tidak banyak cakap. Mak minta abang berhenti kerja dan jaga bisnes arwah ayah. Abang ikut cakap mak. Saya pula sedang dalam proses untuk berhenti dan menyertai abang untuk menguruskan bisnes arwah ayah.

“Mak benar-benar berubah selepas itu. Saya tahu mak benar-benar telah insaf dan menerima hakikat, umurnya semakin meningkat dan bukan masanya lagi untuk bercinta macam orang muda.

“Semua itu ketentuan Allah, jodoh Dia tentukan dan saya berharap jika mak ada jodoh, biarlah dengan lelaki yang dapat membimbing mak mencari bekalan untuk dibawa ke akhirat. Itu doa kami tiga beradik.

“Apa pun saya gembira kerana mak sudah kembali seperti dirinya yang sebenar. Alhamdulillah, kami akan membahagiakan mak selamanya. Kami harap mak sedar dengan kesilapannya dan tidak akan mengulanginya lagi.

“Selepas kejadian itu, kami juga tidak pernah mengungkitnya lagi. Apa yang berlaku biarkan berlalu, hidup mesti diteruskan. Itu doa dan matlamat kami. Semoga Allah kurniakan mak kesihatan yang baik dan murahkan rezeki mak.

“Semoga bisnes keluarga kami ini mendapat keredaan Allah dan dimurahkan rezeki kami untuk membantu mereka yang memerlukan seperti mana amanat arwah ayah. Bukan niat mengaibkan mak tetapi ia sebagai teladan untuk masyarakat di luar sana.

“Walaupun kes seperti ini jarang kedengaran tetapi realitinya ia ada berlaku. Wanita warga emas memang laku di mata anak muda sebab mereka pandai mengambil hati dan ada duit.

“Semoga Allah merahmati kita semua dan kurniakan kebaikan untuk kita dalam menghadapi cabaran hidup,” kata Amin menamatkan ceritanya.

Tergamam saya sebaik selesai membaca kiriman kisah ini daripada Zaid. Ingatkan dalam filem atau drama sahaja tetapi realiti hidup juga ada berlaku cerita seperti ini.

Syabas kepada anak-anak Kak Siti kerana memahami masalah ibu mereka. Saya pasti ada sebabnya Kak Siti jadi begitu, mungkin sunyi atau terkena kejutan dan godaan lelaki muda setelah suaminya pergi mengadap Ilahi.

Syukur anak-anaknya berjaya menyedarkan Kak Siti akan masalah yang dihadapi dan bagaimana lelaki muda yang dikenalinya hanya hendakkan hartanya sahaja.

Semua orang buat silap Kak Siti, jadikan pengajaran positif di dalam semua perkara. Saya doakan yang baik-baik untuk Kak Siti di dunia dan akhirat.

Alhamdulillah semuanya telah selesai dengan baik. Saya bangga anak-anak Kak Siti bersikap positif dalam menangani masalah mak mereka. Semoga Kak Siti dan anak-anaknya sentiasa di dalam rahmat Allah dan bahagia selamanya.

Seperti biasa menamatkan catatan, pesanan saya, bahagia dalam keluarga itu bukan setakat wang ringgit dan kemewahan tetapi saling bergantung dan menegur kesilapan antara satu sama lain dengan hati yang tulus ikhlas agar silaturahim keluarga terpelihara.

Salam