Biarpun wanita sering kali dilabelkan sebagai insan lemah, apatah lagi jika pernah gagal dalam perkahwinan. Namun ia tidak menghalang insan seperti Datuk Faridah Ab. Jabbar untuk bangkit dan berjaya dalam hidup.

Faridah juga telah membuktikan status sebagai ibu tunggal dengan empat orang anak tidak menghalang beliau berjaya dalam dunia perniagaan yang diceburinya lebih 30 tahun lalu.

Beliau yang kini merupakan Yang Dipertua, Persatuan Usahawan Wanita Bumiputera Malaysia (Usahanita) berkata, keperitan membesarkan anak-anak telah banyak memberi kekuatan kepadanya untuk menempa kejayaan.

“Saya memulakan perniagaan selepas saya bercerai dengan suami dan ketika itu empat orang anak saya masih kecil. Empat orang anak saya itu pula berada di bawah jagaan saya.

“Saya terima takdir hidup kerana saya yakin qada dan qadar manusia ini umpama sebuah 'skrip' yang telah disediakan oleh Allah dan kita hanya perlu melaluinya dengan reda, insya-Allah ada jalan,” katanya.

Komitmen membesarkan anak-anak sambil mencuba pelbagai jenis perniagaan dan berdepan dengan cabaran jatuh bangun dalam bidang itu secara tidak langsung telah menguatkan semangat beliau.

Namun, sebagai seorang ahli perniagaan yang berani menyahut apa jua cabaran, beliau bersama syarikatnya, Lebarina Jaya Sdn. Bhd., semakin kukuh dan berdaya saing dalam bidang tersebut.

Beliau yang antaranya pernah membekalkan barang-barang keperluan makmal di hospital-hospital kerajaan dan universiti-universiti tempatan semakin yakin dengan bakat serta minatnya itu.

Lantaran itu, tidak hairanlah beliau yang terpaksa menapak sedikit demi sedikit untuk maju dalam perniagaan, kini muncul antara usahawan wanita Melayu disegani ramai dalam bidang yang diceburinya.

Ketabahan

“Saya bukan terus berada pada tahap sekarang. Saya masih ingat ketika mula terbabit dalam perniagaan saya gunakan kereta pertama yang saya beli iaitu Kancil dengan plat PEG 416.

“Dengan kereta itulah juga saya bawa barang saya jual ke sana sini selain menghantar anak-anak pergi dan balik sekolah hingga ke Kelantan. Memang penat,” ujarnya.

Nenek kepada tiga orang cucu ini tidak menganggap kepayahan hidupnya di masa lampau sebagai tekanan, sebaliknya ia sarat dengan pengalaman berguna untuk beliau menjadi lebih tabah.

Lulusan bidang Pentadbiran Perniagaan dari University of Hull, England ini turut berkongsi pengalamannya itu dengan golongan wanita lain terutama dalam Usahanita yang diterajuinya.

Usahanita yang kini mempunyai 34,000 ahli di seluruh negara banyak mendapat sumber inspirasi daripada beliau dalam pelbagai aktiviti yang dijalankan termasuk dalam kerja-kerja kebajikan membabitkan ahli-ahlinya.

Malah, pada masa sama Faridah sedikit sebanyak turut mencetuskan inspirasi kepada anak-anak dan kaum keluarga beliau agar menuruti jejak langkahnya menceburi bidang yang amat mencabar itu.

“Anak saya, Tengku Alduosri Fathi juga terbabit dalam perniagaan dan menubuhkan syarikatnya sendiri iaitu Skala Furnishing. Saya amat menggalakkannya mencuba bidang ini.

“Selain itu, saya juga mempunyai satu lagi syarikat aitu Skala Holding Sdn. Bhd. yang mempunyai 40 kakitangan. Ramai di antaranya terdiri daripada saudara mara saya sendiri,” katanya tersenyum puas.

Selain aktif dalam Usahanita sejak 32 tahun dan memegang jawatan sebagai Yang Dipertua persatuan itu sejak empat tahun lalu, beliau juga aktif dalam sebuah lagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Majlis Perundingan Melayu (MPM). Dalam MPM, beliau yang merupakan Ketua Sekretariat NGO itu juga aktif dalam pelbagai aktiviti terutama dalam membela kepentingan orang Melayu dan bumiputera.

Sebab itu, tidak hairanlah Faridah banyak menggunakan pengalaman jatuh bangunnya dalam bidang perniagaan untuk dikongsi bersama ahli-ahli Usahanita dan MPM bagi mencapai matlamat tersebut.

Beliau yang merupakan Kontraktor Kelas A berasa puas kerana berjaya membina kehidupan dan perniagaan yang diceburinya, sekali gus mencurahkan bakti kepada mereka yang amat memerlukan.

“Selain berkongsi pengalaman dengan ahli-ahli Usahanita, persatuan itu juga banyak turun padang dalam menjalankan kerja-kerja kebajikan bagi membantu orang Melayu yang memerlukan bantuan.

“Dalam MPM pula, saya sentiasa berusaha membantu apa juga aktiviti yang dijalankan oleh NGO itu dalam membantu orang Melayu dan bumiputera berjaya dalam pelbagai aspek terutama perniagaan,” jelasnya.

Semoga niat, usaha dan harapan Faridah untuk melihat lebih ramai usahawan Melayu terutama golongan wanita dapat dilahirkan lebih ramai lagi pada masa depan demi memenuhi impian murni beliau itu.