Hawa Rizwana Ahmad Redzuan

Banyak cabaran yang perlu ditempuh lebih-lebih jika perlu bertindak sekali gus sebagai wartawan dan pembaca berita di televisyen.

Pendatang baharu di stesen televisyen tempatan, TV9, Hawa Rizwana Ahmad Redzuan tidak menafikan pengalaman yang baru setahun jagung dalam industri tersebut sedikit sebanyak menyukarkannya.

Namun, itu bukan menjadi halangan untuk dia mempelajari lebih banyak perkara baharu, yang dapat membantunya meningkatkan keyakinan diri, sekali gus mengembangkan bakatnya dalam dunia penyiaran.

Mahu membuktikan mampu mengorak langkah lebih jauh dalam bidang tersebut, gadis berusia 22 tahun ini, tidak mahu bersandarkan rupa paras dan fizikal semata-mata.

Baginya, penguasaan dalam bidang tersebut lebih penting.

Baru menamatkan pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dalam jurusan Kewartawanan, Hawa Rizwana pernah tular di media sosial apabila wajahnya dikatakan mirip pelakon dan pengacara Neelofa.

Namun, dia menafikan populariti tersebut yang menyebabkan mahu terjun ke dunia penyiaran.

“Sejak dahulu lagi saya suka membaca dan sentiasa ingin tahu tentang isu-isu semasa. Disebabkan itulah saya memberanikan diri untuk menukar latar akademik daripada bidang perundangan kepada bidang komunikasi massa ketika mahu menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda dahulu.

“Ketika itu saya sudah tanamkan dalam diri bahawa saya sudah bersedia untuk menghadapi cabaran baharu dalam hidup. Bagi saya hidup ini satu pembelajaran jadi saya perlu bersedia untuk melakukan yang terbaik, akur dengan kekurangan diri dan cuba memperbaiki diri dari semasa ke semasa.

“Saya mahu dikenali bukan kerana orang cakap muka saya macam Neelofa tetapi kerana kebolehan yang saya ada,” katanya.

Dia mengakui, pembabitan dalam dunia penyiaran sedikit sebanyak kerana mahu menyambung legasi bapanya, Ahmad Redzuan Abdul Rahman, yang pernah bergelar pengacara sambilan Selamat Pagi Malaysia (SPM) sekitar tahun 90-an dan kini merupakan pensyarah penyiaran di UiTM.

Malah, bapanya menjadi pemangkin semangat untuk Hawa Rizwana melakukan yang terbaik,

Dia masih ingat lagi ketika kecil dalam perjalanan pulang ke rumah dari sekolah, bapanya akan membacakan isu-isu semasa yang ada dalam surat khabar dan disampaikan seperti gaya seorang pembaca berita.

Usaha itu bagi menggalakkan dia dan adik-beradiknya mengambil tahu tentang isu semasa.

Bapa turut merestui keputusan Hawa Rizwana untuk beralih bidang daripada undang-undang kepada komunikasi, bahkan menyarankan agar mengambil jurusan kewartawanan kerana cabang kerjayanya lebih meluas.

Ditawarkan sebagai pembaca berita ketika masih lagi mengikuti latihan industri sebagai wartawan penyiaran untuk program Wanita Hari Ini (WHI), merupakan pencapaian paling manis bagi gadis ini.

Dia menganggap peluang tersebut bagaikan bulan jatuh ke riba, lalu menggunakan sebaik-baiknya untuk menjadi seperti idolanya, bekas pembaca berita, Nor Azlina Redzuan, di samping mengimpikan untuk mengendalikan slot berita pada waktu perdana.

Ditanya bagaimana pula berhadapan dengan cabaran kerja sebagai wartawan di bilik berita, katanya, pada permulaan agak sukar untuk menentukan fokus dalam aspek pemberitaan, namun kini mula membiasakan diri.

“Bagi saya bergelar wartawan di lapangan lebih mencabar tetapi mengujakan kerana setiap hari saya melalui pengalaman yang berbeza dan memberi perspektif baharu kepada saya.

“Apabila menjadi pembaca berita pula, saya perlu bijak mengawal intonasi suara, malah penting untuk saya bermain dengan mimik wajah. Pergerakan yang dilakukan di hadapan kamera juga perlu terhad dan gaya bahasa yang digunakan perlu tepat,” katanya yang menggalas tanggungjawab sebagai pembaca berita untuk slot tengah hari bersama seorang lagi rakan setugas, Mas Zharif Zhafri Abdul Azid.

Katanya, walaupun segmen berita yang dibaca lebih santai kerana tertumpu kepada berita sukan, gaya hidup dan hiburan, tetapi sebagai pendatang baharu sepertinya ia tetap mencabar.

Menurut Hawa Rizwana, mengendalikan berita santai, tidak boleh nampak kaku dan dalam masa yang sama tidak boleh berlebihan.

“Jika menyampaikan berita sukan pula, saya perlu lebih bersemangat dan dalam masa yang sama elemen santai perlu juga diperlihat,” kata anak kedua daripada tiga beradik itu.

Melihat penampilannya yang bersahaja, Hawa Rizwana adalah seorang gadis yang ringkas dan tidak terlalu mengikut aliran fesyen untuk bergaya.

Baginya, bergaya jika perlu sahaja dan tidak gemar kelihatan berlebihan dalam berpakaian.

“Ibu saya bising juga kalau tengok pakaian saya. Dia suruh saya pakai cantik-cantik. Saya akui ada betulnya, kerana pandangan dari mata yang melihat itu penting untuk menunjukkan bahawa kita seorang yang berketerampilan.

“Jadi, perlahan-lahan saya belajar untuk menguasai tatarias diri lebih-lebih lagi apabila sudah menceburkan diri dalam industri penyiaran,” katanya.