Mohd. Saiful Monek, 40, sebelum ini bekerja sebagai penghantar surat di sebuah syarikat namun terpaksa mengambil cuti sakit yang agak lama kerana tidak mampu melakukan kerja berat apatah lagi untuk berjalan ke sana sini.

Penderitaannya lebih dirasai apabila terpaksa berjauhan dengan anak-anak yang dijaga bekas isteri di kampung.

Dengan pendapatan sekitar RM1,600 sebulan sahaja, dia khuatir akan dibuang kerja jika mengambil cuti sakit panjang meskipun doktor di hospital memberitahu dia tidak berupaya untuk bekerja.

“Saya sepatutnya kembali bertugas pada 7 November ini, tetapi melihat keadaan kaki saya yang tidak menunjukkan perkembangan positif saya risau bagaimana mahu meneruskan kerja. Apapun saya perlu juga gagahkan diri untuk mencari rezeki demi anak-anak.

“Jujur cakap, saya perlukan wang bukan untuk makan minum saya tetapi untuk anak-anak di kampung. Saya mempunyai seorang anak berstatus orang kurang upaya (OKU) berusia 9 tahun dan seorang lagi berusia 7 tahun.Perbelanjaan bulanan mereka sahaja kira-kira RM850.

“Walaupun bawah jagaan bekas isteri, mereka adalah tanggungjawab saya. Kalau saya tidak bekerja bagaimana saya mahu menyara mereka. Rumah sewa yang saya tinggal sekarang juga perlu dibayar iaitu RM450 sebulan,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Baru, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bukan mahu meminta simpati apatah lagi memohon sumbangan daripada orang ramai kerana dia tahu ramai orang susah yang lebih memerlukan, namun apa yang diharapkan agar permohonan untuk dirujuk kepada Jemaah Doktor Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dapat dipertimbang secepat mungkin. Ini kerana, dua kemalangan yang berlaku adalah ketika dia sedang bekerja.

Menurut Mohd. Saiful, dia telah menerima tuntutan bayaran untuk cuti sakit daripada Perkeso, tetapi masih perlu menghantar dokumen yang sama ke pertubuhan itu untuk dirujuk ke jemaah doktor bagi mengesahkan status kesihatan.

Dari situ, baru dia dipertimbang sama ada layak untuk mendapatkan rawatan fisioterapi atau mendapat status hilang upaya sementara mahupun hilang upaya kekal, yang akan mempengaruhi pekerjaannya nanti.

Terbeban dengan kos ulang alik ke hospital yang perlu ditanggung, faedah yang sepatutnya diterima sebagai pekerja seakan-akan tidak diendahkan.

“Saya terkilan kerana majikan telah mencarum setiap bulan tetapi apabila mahu menuntut, pelbagai perkara perlu dilakukan. Buat masa ini saya menggunakan wang simpanan sendiri untuk menanggung kos rawatan,” katanya.

Maklumat lanjut boleh menghubungi Mohd. Saiful 
melalui talian 
019-2991015.