Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Madu meroyan suami bawa saya bercuti

BUKAN mudah hendak menyesuaikan diri dengan hidup bermadu, tetapi jika reda pasti ada hikmahnya. Ini semua ketentuan Allah. Bukan kita untuk menidakkan ketentuan Allah.

Namun kesabaran akan mengajar kita reda dan menerimanya dengan positif, tambahan pula jika suami boleh berlaku adil.

Inilah kisah catatan saya minggu ini, kiriman seorang isteri yang mahu dikenali sebagai Mazni (bukan nama sebenar). Ingin tahu kisah Mazni selanjutnya, jom kita baca.

Ini kisahnya.

“Saya seorang pesara kerajaan, berusia lewat 50-an, bersuami dan bermadu dengan seorang wanita muda berusia lewat 30-an.

“Kami dikurniakan tiga orang anak yang kesemuanya sudah berumah tangga dan mempunyai tujuh orang cucu. Saya hidup bahagia walaupun lima tahun lalu, saya diuji dengan pernikahan kedua suami. Sejak itu, saya hidup bermadu.

“Saya bersikap profesional dalam perkara ini, saya anggap ia jodoh suami. Walau dia tidak minta izin tapi saya terima dengan lapang dada, meskipun saya dapat tahu seminggu setelah mereka selamat diijabkabulkan.

“Saya tidak terkejut,marah dan mengamuk sebab saya tahu mesti ada sebab suami berbuat demikian. Kenapa dia melanggar janji kami untuk sehidup semati, saya tidak mahu tahu sebab saya tahu, janji manusia tidak sama dengan janji Allah.

“Lima tahun saya belajar tentang hidup bermadu, tentang giliran bermalam, tentang berkongsi suami dan menerimanya dengan reda. Alhamdulillah Allah makbulkan segala doa-doa saya.

“Madu saya masih muda, cantik orangnya. Saya tidak pernah berjumpa tetapi hanya melihat gambar. Orangnya memang menjaga penampilan berbanding saya yang lebih sederhana.

“Perempuan kampung. Walau bekerja, saya tidak hebat dalam menjaga penampilan diri. Sebab saya mahu jadi diri saya, bukan orang. Saya tidak mahu jadi isteri dan ibu ‘plastik’ di mata suami dan anak-anak.

“Syukur suami tetap sayang kepada saya di sebalik kekurangan yang saya miliki. Kasihnya tetap sama, giliran saya diutamakan. Saya bangga ada suami macam dia.

“Sayangnya ujian untuk saya tidak berhenti. Madu saya agak pelik perangainya. Dia sangat cemburu dengan saya. Kalau suami balik rumah saya, dia akan ganggu. Telefon berdering macam pejabat saham.

“Ada-ada sahaja yang dia hendak minta suami buat. Suruh baliklah. Nak makan itulah, nak makan inilah. Mengalahkan orang muda.

“Sampaikan kadangkala saya suruh suami balik sahaja, tidak payah bermalam di rumah saya. Biar lebihkan dia dalam segala hal. Saya tidak mahu suami stres dengan masalah madu saya yang suka meroyan itu.

“Baru-baru ini, suami bawa saya bercuti ke luar negara sebab dia dapat hadiah cabutan bertuah. Kata suami dia beritahu madu saya tentang perkara itu.

“Apa lagi mengamuklah dia. Memaki hamun suami saya, siap dengan amaran lagi, kalau pergi juga, dia akan balas dendam. Tapi suami buat tak kisah, sebab dia sudah nekad hendak bawa saya bercuti.

“Hendak tahu apa terjadi. Seminggu kami di luar negara, seminggu dia meroyan. Telefon bimbit suami penuh dengan mesej, WhatsApp dan berderingnya tidak tahu berapa ratus kali. Naik bingit telinga kami.

“Suami tidak layan, angkat pun tidak. Saya tidak tahu apa yang dia rasa ketika itu. Akhirnya kami nekad tutup telefon. Nak jadikan ceritakan, sebaik sahaja kami sampai di rumah, dia sudah menunggu. Cekak pinggang bagai, macam orang hilang akal.

“Dituduhnya saya buat ubat guna-guna sampai suami tidak ingatkan dia. Tidak layan dia. Dia tidak sedar, dia datang serang rumah saya. Jiran keliling yang tidak tahu hujung pangkal, semua tahu saya dimadukan suami.

“Malunya saya hanya Allah sahaja yang tahu, tapi nak buat macam mana, perkara sudah berlaku. Suami bawa dia balik ke rumah yang mereka sewa di taman bersebelahan.

“Belum hilang penat bercuti, saya diuji lagi. Itulah pertama kali saya melihat wajah madu saya. Sayang sekali rupanya yang cantik, tidak sama dengan hatinya yang buruk sangka dengan saya.

“Sepatutnya, saya yang tuduh dia rampas suami saya tetapi lain pula yang berlaku. Bagaimanapun, saya bangga dengan suami, berulang kali dia minta maaf kepada saya dengan sikap isterinya itu.

“Selepas kejadian itu, suami nampak murung. Saya tahu masalah dengan isteri keduanya yang jadi punca. Dia bagi tahu saya dia hendak ceraikan isteri keduanya. Mulanya saya bantah.

“Tetapi suami ada alasan kukuh untuk berbuat demikian. Katanya, isteri keduanya itu ada hubungan dengan lelaki lain. Lama sudah dia tahu, tapi belum ada bukti kukuh untuk tuduh dia. Sekarang semuanya telah menyerlah. Dia nekad.

“Suami akhirnya menjatuhkan talak satu kepada madu saya. Saya tidak bertepuk tangan dengan keputusan suami tetapi saya sedih kerana perkahwinan suami berakhir seperti ini.

“Mungkin ada hikmahnya untuk kami. Saya terus reda dan pasrah. Semoga selepas ini, hidup kami bahagia sampai ke akhir hayat,”kata Mazni menamatkan ceritanya.

Itulah lumrah hidup berumah tangga. Kesabaran akan berakhir dengan kebahagiaan. Saya kagum dengan sikap Mazni.

Tidak semua hidup bermadu itu pahit, semuanya bergantung kepada bagaimana setiap pasangan terbabit menerimanya. Dalam kes Mazni, beliau reda dan menyifatkan semua itu sudah takdir Allah kepadanya.

Semoga rumah tangga Mazni sentiasa dalam rahmat dan kasih sayang Allah.

Mengundur diri, pesanan saya, kehidupan hanyalah sebuah perjalanan, Allah dan syurgaNya tujuan sebenar kita.

Salam

[email protected]

Artikel Berkaitan
Artikel Lain
Video Pilihan