Akibat insiden itu, Kwan Leong lumpuh sepenuhnya dari paras pinggang hingga ke kaki dan terpaksa menggunakan kerusi roda seumur hidup selepas mengalami kecederaan di bahagian spinal apabila motosikal yang dinaiki terbabas akibat terlanggar lubang.

Sejak kejadian malang itu, Kwan Leong yang dulunya seorang yang aktif serta sangat rajin bekerja, terlantar di rumah akibat tidak dapat bergerak dan hanya bergantung kepada bantuan kerusi roda setiap masa.

Enggan meratapi nasib malang yang menimpanya, Kwan Leong berusaha bangkit dan kembali meneruskan sisa hidupnya walaupun telah bergelar orang kurang upaya (OKU) apabila doktor mengesahkan dia mungkin tidak akan sembuh seperti sedia kala.

Akuinya, tidak mudah untuk menerima keadaan seperti itu memandangkan dia sebelum ini sangat gemar menghabiskan masa bersama rakan-rakan jika ada waktu kelapangan, namun kini dia lebih banyak menghabiskan masa di rumah.

“Malang tidak berbau. Saya juga tidak sangka hidup saya berakhir seperti ini. Perkara sudah berlaku, jadi saya perlu terima dan laluinya. Saya tidak mahu terus bersedih menunggu mati sahaja.

“Selepas kemalangan itu, saya memang yakin dapat sembuh seperti sedia kala. Namun, selepas tiga tahun berlalu tiada perubahan pada kaki saya, menyebabkan saya belajar menerima keadaan ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Perkasa, Jalan Cochrane, Kuala Lumpur.

Tidak seperti sesetengah OKU lain, Kwan Leong tidak pernah menganggap kecacatan yang dialaminya sebagai penghalang untuk dia terus mencari rezeki termasuk bagi menyara ibunya, Loh Loy Thai, 80, selepas kematian bapanya beberapa tahun lalu.

Setiap hari apabila bangun tidur, dia akan berfikiran positif serta sering memberi semangat kepada diri sendiri bahawa dia boleh menikmati hidup seperti orang normal.

Menurutnya yang sebelum ini bekerja sebagai juru kimpal, sejak lumpuh, dia tidak dapat bekerja seperti biasa akibat pergerakan terhad.

Oleh itu, dia memilih untuk berniaga di sekitar ibu kota dengan menjual cenderamata kepada pelancong.

Walaupun lumpuh dari paras pinggang, dia masih mampu menunggang motosikal khas roda tiga dan akan keluar setiap hari ke sekitar Jalan Binjai, Jalan Bukit Bintang dan berhampiran Menara Felda seawal pukul 9 pagi hingga 2 petang untuk menjual cenderamata berkenaan.

Dia yang dikenali sebagai Ah Long dalam kalangan rakan-rakannya, memilih untuk berniaga bagi memudahkannya bergerak selain tidak mahu terikat dengan majikan memandangkan dia perlu pulang menjenguk ibunya yang tidak sihat.

Akuinya, sebelum ini dia membuat sendiri cenderamata seperti rantai kunci, namun sejak dua bulan lalu dia terpaksa berhenti membuat sendiri cenderamata berkenaan selepas kesihatannya tidak mengizinkan.

“Awal Mac lalu, saya menjalani satu pembedahan di bahagian spinal kerana terdapat darah beku pada bahagian berkenaan yang menyebabkan saya berasa sakit dan tidak boleh duduk apatah lagi bekerja.

“Doktor menasihatkan agar saya tidak melakukan kerja berat dan tidak banyak bergerak kerana badan saya sudah tidak ada kudrat lagi apatah lagi selepas menjalani pembedahan kali kedua ini.

“Namun, apa yang membimbangkan, jika saya tidak keluar bekerja, duit simpanan yang ada tidak cukup untuk menampung keluarga,” jelasnya yang masih belum berkahwin dan kini mengharapkan bantuan ahli keluarga yang lain.

Ujar Kwan Leong, ketika ini dia mampu menguruskan diri sendiri seperti mandi dan makan tanpa bantuan ibunya. Untuk membuang air kecil dia hanya menggunakan tiub yang dipasang khas pada badannya.

Jelasnya, setiap empat jam sekali dia akan memasang tiub berkenaan bagi memastikan dia dapat membuang air kecil dengan selesa dan bersih.

“Tidak sukar untuk menguruskan diri sendiri. Lagipun setiap hari ibu saya masih menyediakan makanan. Malah rumah kami juga terletak di tingkat bawah, jadi tidak ada masalah untuk saya bergerak dengan kerusi roda,” jelasnya.

Ketika ini, Kwan Leong menerima bantuan OKU daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM350 sebulan, manakala ibunya juga menerima bantuan warga emas dari JKM sebanyak RM300 sebulan.

Bagi mereka yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) Lee Kwan Leong di nombor 1455029000164605.